Soalan:

Usia kehamilan masih baru dan saya tiada masalah untuk menunaikan ibadah puasa. Menyentuh tentang soal pemakanan semasa berpuasa, apa yang patut saya titikberatkan?

Jawapan:

Cara pemakanan ibu hamil dapat membantu anda untuk terus bertenaga dan membolehkan diri meneruskan ibadah puasa. Tiga kali makan utama iaitu ketika berbuka, bersahur dan sela waktu antara masa berbuka dan sahur perlu digunakan sebaik mungkin.

Bahkan makan makanan seimbang dan berkhasiat juga penting kerana ia dapat membantu mengelakkan masalah seperti sembelit, sakit kepala, lesu, pedih ulu hati dan lain-lain. Ketahuilah bahawa waktu makan sahur adalah sangat penting. Ia membantu anda mengekalkan tahap tenaga dengan membekalkan nutrien penting yang diperlukan untuk kekal cergas.

Sewaktu berbuka, anda disarankan mengutamakan makanan berkarbohidrat yang mudah dihadam. Elakkan daripada mengambil hidangan makanan yang berlemak tinggi. Ini untuk mencegah pertambahan berat berlebihan malahan ia kurang berkhasiat.Anda juga digalakkan minum jus buah-buahan segar ataupun smoothie yang mengandungi susu, yogurt, dan buah-buahan. Ia adalah minuman yang menyegarkan dan mampu membekalkan khasiat pemakanan yang diperlukan.

IKLAN

Berikut adalah tip pemakanan yang perlu diamalkan ibu hamil sepanjang berpuasa:

1. Wajibkan bersahur setiap hari bagi mengelakkan kurang gula (hypoglisemia) pada waktu petang.

2. Elakkan pengambilan minuman berkafein pada waktu sahur bagi mengelakkan dehidrasi.

3. Banyakkan minum air masak.

IKLAN

4. Ketika bersahur, ambil makanan yang lengkap di mana setiap nutrien ada di dalamya termasuklah karbohidrat, protein, lemak, serat daripada sayur dan buah; susu atau sumber tenusu.

5. Makan secara sedikit tetapi kerap selepas berbuka, dicadangkan ada snek malam bagi mengelakkan rasa lapar di tengah malam.

6. Makanan jenis bersup, bakar atau stim digalakkan semasa mengandung. Cuba kurangkan makanan yang digoreng dengan minyak yang banyak dan berlemak bagi mengelakkan kenaikan berat badan terlalu banyak semasa mengandung.

IKLAN

7. Lebihkan juga pemakanan daripada kumpulan kacang dan kekacang yang dibakar atau dipanggang bagi mendapatkan lebih banyak zat besi dan serat.

8. Bagi wanita hamil yang tiada apa-apa masalah seperti gastrik, makanan pedas tiada masalah untuk diambil. Tetapi bagi yang ada gastrik memang tidak digalakkan mengambil makanan pedas atau makanan jenis berasid tinggi.

9. Makanan atau minuman yang manis atau berlemak tidak digalakkan semasa mengandung kerana ia boleh menyebabkan kenaikan berat badan yang berlebihan. Malah ia baik untuk mencegah kencing manis semasa mengandung. Jika ingin minum, hanya ambil dalam kuantiti yang sedikit.

10. Makanan atau minuman yang berasid tinggi serta pedas boleh menyebabkan pedih ulu hati serta gastrik. Pada awal kehamilan biasanya ibu akan mengalami alahan, jadi pada peringkat ini anda mesti mengelakkan makanan yang berbau, berminyak dan berlemak. Makanan yang kering sahaja digalakkan kepada yang mengalami morning sickness.

Semoga dengan mengamalkan tip berikut, anda mampu berpuasa penuh dan kekal bertenaga untuk memastikan kesihatan diri sendiri dan anak dalam kandungan sentiasa dalam keadaan baik. Inilah peluang untuk berpuasa penuh selama sebulan!

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI