Anda tercari-cari lokasi untuk beli kelengkapan anak dalam satu kedai? Kami kongsikan senarai pendek lokasi membeli-belah barangan bayi dan si kecil untuk kemudahan anda.

Bagi ibu bapa yang baru menyambut kelahiran anak mahupun ada anak yang sudah besar, pasti tercari-cari kedai yang menjual pelbagai barangan keperluan anak berkualiti tetapi dijual pada harga berpatutan.

Namun, anda kurang gemar membeli-belah secara maya kerana mahu membelek setiap produk sebelum memutuskan untuk membelinya. Jangan risau, masih ada kedai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan bayi dan anak-anak dalam satu kedai seperti yang anda impikan.

Malah, kedai-kedai berkenaan masing-masing menawarkan banyak kelebihan yang berbeza-beza antara satu sama lain. Tidak kiralah, sama ada harganya murah, barang berkualiti, variasi dalam warna, bentuk atau corak yang menarik dan banyak lagi.

Untuk anda, para ibu bapa yang kebetulan sedang mencari kedai kelengkapan bayi dan anak-anak yang lengkap semuanya, bolehlah menyemak saranan yang kami sediakan.

Fabulousmom

Kedai bayi dan ibu ini diasaskan sejak Julai 2004. Ia sememangnya terkenal sebagai kedai yang menjual produk keibubapaan alami dan penyusuan susu ibu. Ramai ibu menyusu suka membeli belah keperluan penyusuan susu ibu di kedai ini.

Dahulu ia beroperasi melalui talian, kini ia ada lapan buah kedai. Anda boleh pilih mana satu yang berhampiran dengan anda sama ada di Puchong, Shah Alam, Ulu Kelang dan Kajang di Selangor; TTDI di Kuala Lumpur; Kuantan di Pahang dan Johor Bharu di Johor.

Selain daripada aksesori penyusuan, boleh dikatakan semua kelengkapan anak daripada usianya bayi sehingga bergelar kanak-kanak boleh didapati di sini. Sepanjang akhir tahun 2017, ada promosi YES (Year End Sale) yang ditawarkan oleh kedai ini.

One Baby World (OBW)

Butik yang menjual produk bayi seperti kelengkapan penyusuan, pakaian, botol susu, alat mainan, produk penjagaan dan keselamatan anak serta pelbagai barangan lain, turut terkenal di kalangan ibu bapa.

Menariknya, di kedai ini selalu ditawarkan promosi Purchase With Purchase (PWP), Bargain Corner dan baucar juga. Kalau anda mahu berkunjung ke kedai ini, anda bolehlah ke kedainya sama ada di Ulu Kelang, Cheras, Shah Alam di Selangor ataupun Johor Bahru di Johor. Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak merancang untuk membeli-belah pada hari Isnin kerana semua butik OBW ditutup pada hari ini.

Mamayaya Zone (MYZ)

Kedai yang menjadi pusat sehenti semua keperluan bayi, kanak-kanak dan ibu ini memang bagus kerana memudahkan dan memberi pengalaman membeli-belah yang kondusif kepada para pelanggannya.

Ia menjual pelbagai produk berkaitan para ibu dan anak-anak, bermula daripada usia bayi baru lahir hingga ke umur remaja. Anda boleh mendapatkan produk-produk lain seperti aksesori bayi dan kanak-kanak; alat permainan, buku, kelengkapan penyusuan susu ibu, pakaian menyusu, hamper bayi, suplemen untuk ibu dan anak; makanan pejal sejuk beku bayi dan banyak lagi. Pendek kata terdapat lebih daripada 100,000 item stok sedia dijual di kedai ini.

Menariknya, buat para bapa yang bakal menyambut kelahiran anak tidak lama lagi, anda boleh dapatkan set pengurusan uri paling lengkap nombor 1 di Malaysia iaitu My Uri keluaran MYZ sendiri. Ia pasti memudahkan anda untuk mencuci dan menanam uri bayi kelak.

Memandangkan MYZ bermula dengan perniagaan pakaian Muslim bayi dan kanak-kanak di bawah jenama MamaYaya Kids, maka di sini anda mempunyai banyak pilihan baju Melayu, baju kebaya baju kurung, jubah, kurta, tudung, kopiah dan sampin. Pasti rambang mata memilih yang berkenan di hati kerana rekaannya berwarna ceria, sesuai untuk digayakan oleh si kecil.

Apa yang pasti semua koleksi pakaian MYZ menggunakan fabrik daripada 100% kapas yang mudah menyerap peluh. Paling penting kemasan jahitannya bermutu tinggi dan dijual pada harga yang berpatutan.

Yons Baby Shop

Pada asalnya, Yon Baby Shop merupakan perniagaan yang dijalankan atas talian sahaja di sekitar tahun 2013. Namun, seiring dengan perkembangan masa, ia mula melakukan langkah pertama dengan memiliki butik sendiri di Lake Field, Sg Besi pada bulan Mei 2015.

Kini, ia sudahpun menambah tiga lagi cawangannya iaitu di Kuching, Sarawak; Rawang dan Saujana Utama, Sungai Buloh di Selangor. Objektif utama perniagaan ini adalah mewujudkan pusat bayi yang menyediakan pelbagai kelengkapan dan keperluan bayi dan ibu juga. Selain daripada itu, di sini ada disediakan khidmat nasihat bagi ibu yang berpantang dan menyusukan bayi dengan susu ibu.

Memandangkan sasaran pelanggannya adalah keluarga, ibu hamil, ibu berpantang, maka produk yang ada di sini meliputi keperluan penyusuan susu ibu, pakaian si manja, produk keselamatan bayi dan kanak-kanak; kelengkapan tidur iaitu katil dan aksesorinya;
makanan bayi, permainan, kelengkapan rekreasi si kecil; kasut, stokin, aksesori kepala, alat mandian, lampin pakai buang, ubat-ubatan, beg dan banyak lagi.

Malah, Yon Baby Shop memiliki produk sendiri atas jenama YON iaitu rangkaian pakaian bayi dan bantal kekabu. Ia dijual pada harga yang berpatutan dan pasti memuaskan hati para pembeli.

Ha! Menarik bukan produk-produk yang ditawarkan oleh empat butik ini. Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan pelbagai keperluan bayi dan kanak-kanak pada harga berpatutan di kedai-kedai ini.

 

 

 

Tinggalkan Komen