Kadangkala anak akan buat tingkah laku yang membuatkan kita rasa nak marah waktu nak ajarnya bercakap.

Ini biasanya dilalui oleh ibu bapa yang mempunyai anak lewat bercakap. Sudahlah risau sebab anak lewat bercakap lepas tu bila diajar bercakap, si kecil enggan beri kerjasama.

Kalau anda salah seorang ibu bapa yang menghadapi situasi tersebut, percayalah yang anda bukan bersendirian kerana ia memang masalah normal di kalangan anak-anak yang lewat bercakap menurut Puan Siti Sarah Said, Speech Language Therapist.

Sepanjang tempoh mengajar anak bercakap, pernahkah anda lalui situasi ini?

+ susah untuk dapatkan perhatian anak, dia cuma mahu bermain sendirian.

+ anak hanya mahu bermain dengan caranya sendiri. Tak ada peluang nak tunjuk cara bermain dengan cara yang betul.

+ tidak boleh kata “tidak” atau “sudah”. Kesudahannya, ibu bapa yang terpaksa turuti kehendak anak.

Walaupun ada masanya kita rasa seperti putus asa, rasa kalah, tidak mungkin ada peluang,

Namun percayalah…Anda tidak bersendirian.

Ramai ibu bapa yang saya jumpa menyatakan masalah yang sama. Anak susah memberi kerjasama, tidak boleh mengawal tingkah laku dan selalunya akan berakhir dengan ‘kekalahan’ yang sama.

Apa kaitan PENGAWALAN TINGKAH LAKU dengan perkembangan bahasa?

Seseorang yang boleh mengawal tingkah laku,

+ mudah fokus
+ boleh menunggu giliran
+ boleh mengikut arahan

Kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak yang ada masalah lewat bercakap menunjukkan,

1. Kumpulan yang berkemahiran mengawal tingkah laku, belajar lebih banyak perkataan.

2. Kumpulan yang lewat bercakap, selalunya mengalami masalah untuk mengawal tingkah laku.

Namun, jalan penyelesaian sentiasa ada.

Di sini ada beberapa cara yang boleh dipraktikkan, bagi membantu anak meningkatkan kemahiran mengawal tingkah laku:

ajar anak bercakap
Buat aktiviti bersama anak

1. Perhatikan dan senaraikan semua perkara yang boleh menjadi pencetus kepada masalah tingkah laku anak.

Sebagai contoh, kekurangan rehat, tidur, makan, persekitaran yang terlalu bising atau ramai, alahan dan sebagainya.

Dengan cara ini, anda boleh kenalpasti masa yang sesuai untuk lakukan aktiviti bersama.

Kenalpasti masalah sensori (jika ada) bagi membantu anak menanganinya.

2. Modelkan pengawalan tingkah laku yang baik.

Apa yang anak-anak lihat, itu yang akan mereka praktikkan. Mereka akan meniru dan menggunakan cara bagaimana orang dewasa (yang diperhatikan) menyelesaikan masalah.

Berlatihlah untuk bertenang apabila berhadapan dengan cabaran. Anda adalah ‘role model’ buat mereka.

ajar anak bercakap
Anak akan tiru apa yang dia lihat

3. Setkan peraturan dan rutin yang jelas. Ini sangat penting. Anak-anak yang biasa dengan peraturan lebih tenang, rasa selamat dan tahu apa untuk dijangka.

Peraturan yang konsisten, mengurangkan peluang untuk anak mencari jalan bagi mendapatkan apa yang mereka mahu.

Boleh bina jadual bergambar, buat senarai aktiviti, atau gunakan ‘timer’ untuk proses ini.

4. Perkenalkan perkataan yang menggambarkan emosi. Sedih, marah, gembira dan lain-lain.

Kurangnya kemahiran bahasa menyebabkan kanak-kanak kurang saluran untuk meluahkan emosi.

5. Menggalakkan anak-anak terlibat dengan permainan imaginasi.

Dengan melakonkan watak tertentu, mereka akan belajar berfikir dari sudut orang lain.

Wujudkan situasi yang perlu pengawalan emosi dan tingkah laku untuk dipraktikkan semasa bermain.

ajar anak bercakap
Ajar anak kenal emosi

6. Perkenalkan cerita sosial (social stories) kepada anak. Dengan bantuan penceritaan bergambar (visual), ini dapat membantu mereka fahami dan bertindakbalas dalam situasi yang berbeza.

Jika sesuatu peraturan telah ditetapkan, kesemua individu yang terlibat dengan anak perlu bersetuju dan bekerjasama.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah berkaitan sensori pula, lebih sukar menangani isu tingkah laku. Ini memerlukan bantuan khusus daripada Occupational Therapist.

Sesuailah dengan pepatah ini,

“It takes a village to raise a child.”

Therapist akan bantu ibu bapa cari jalan, kemudian sama-sama kita usaha untuk bantu anak. Ini baru mudah nampak sinar kejayaan!

Siti Sarah Said,
Speech-Language Therapist

Tinggalkan Komen