Jangan buat main-main bila anak terjatuh. Walaupun tak luka, mungkin kecederaan dalaman yang kita tak tahu boleh menyebabkan masalah lebih serius.

Bagaimanapun, masih ada lagi ibu bapa yang beranggapan kalau anak mengadu sakit selepas jatuh yang terlintas di fikiran adalah untuk bawa anak pergi berurut dulu.

Bab berurut tak salah tapi adakah ibu bapa tahu punca yang sebenarnya berlaku? Sepatutnya rujuk kepada pihak doktor terlebih dahulu untuk mengetahui apa di sebaliknya yang berlaku.

Ikuti perkongsian dari Pakar Ortopedik, Dr Mahyuddin Mohamed.

Seorang bapa datang ke hospital membawa anaknya berusia 6 tahun yang jatuh 3 hari sebelumnya semasa bermain monkey-bar di taman. Anak beliau terjatuh dengan bahu kanannya terhempas ke tanah dahulu. Anak malang ini mengadu kesakitan pada bahu kanannya.

Tipikal seperti ramai ibu bapa Malaysia, Si Bapa ini terus membawa anak malang ini pergi berurut. Bahu anaknya semakin sakit. Menjerit-jerit anak ini ketika bahunya diurut dengan ramuan minyak istimewa. Bahu yang asalnya tidak bengkak menjadi bengkak dan merah.

Atas desakan isterinya, bapa ini membawa anak mereka ke hospital. Apabila kami lihat, bahunya merah menyala & bengkak. Kondisi ini kami panggil sebagai Cellulitis.

IKLAN

Cara Ini Perlu Yang Perlu Dibuat

Xray menunjukkan ada kepatahan pada tulang tangan (humerus) anak malang ini. Kami tidak tahu patah ini disebabkan oleh jatuh atau sebab diurut.

Kami terpaksa memasukkan anak ini ke wad bagi rawatan antibiotik. Kepatahan itu kami cuma pasangkan anduh. Ye tuan-tuan, bukan semua perkara perlu dibedah.

Tuan-tuan, jika anda atau anak anda jatuh & sakit pada tangan, kaki atau sendi, perkara pertama yang perlu anda buat ialah letak AIS & bukannya pergi mengurut.

Mengurut boleh membuatkan sendi lebih bengkak, sakit lebih kuat & jika ada retak, boleh patah & teralih.

Gunakan Prinsip RICE tuan-tuan. RICE ni BUKANNYA NASI ye tuan. Ia adalah singkatan atau mnemonic untuk:

IKLAN

R (Rest) – rehatkan bahagian yang tercedera, boleh immobilise dengan simen, kalau di hutan, boleh guna batang kayu

I (Ice) – letakkan air batu (ais) 20 minit setiap 2 jam. InsyaAllah bengkak akan surut. Elakkan daripada meletakkan ais secara terus ke kulit (direct contact). Letakkan ais ke dalam plastik dahulu dan balut dengan kain nipis sebelum digunakan.

C (Compression) – Anda boleh balut dengan elastic bandage untuk mengurangkan bengkak. Namun berhati-hati, jangan terlalu ketat. Jika terlalu ketat, ia boleh menyebabkan tekanan pada peredaran darah dan saraf.

E (Elevation) – Anda perlu tinggikan bahagian yang tercedera. Boleh letakkan tangan atau kaki di atas bantal. InsyaAllah bengkak akan surut nanti.

IKLAN

Tuan-tuan, udah-udah ler berurut tu. Orang Malaysia ni suka sangat berurut, bukan sahaja yang di kampung, tapi golongan professional pun sama. Jika anak anda jatuh, saya harap anda buat RICE yang saya kongsi ni dan jika bengkak tidak surut, segera ke hospital dahulu untuk memastikan tulang tidak patah & sendi tidak teralih.

Kalau nak urut juga, saya tak boleh kata apa. “Ikut panda mung la” kata orang Tranung.

Anda boleh baca penulisan saya mengenai Cellulitis di sini: http://www.mmgazette.com/tag/cellulitis/

Gambar: Kredit kepada Google

Dr Mahyuddin Mohamed
Pakar Ortopedik

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI