Anak ada ekzema, ibu ayah boleh bantu dengan membuat 16 perkara ini supaya kurang gatal dan rasa tidak selesa!

Ekzema ialah masalah kulit yang biasa dihidapi oleh si manja. Ia biasanya terjadi kepada si manja sejak lahir dan akan hilang dengan sendirinya sebelum si manja melangkah ke sekolah rendah.

Terdapat berjenis-jenis ekzema seperti Dyshidrotic eczema , Eczema herpeticum, Nummular eczema, Seborrheic eczema serta Atopic eczema. Atopic eczema atau dematitis adalah jenis ekzema yang paling  banyak dihidapi bayi dan kanak-kanak.

PENCETUS EKZEMA

Ekzema berkait rapat dengan keturunan dan gen. Sesetengah gen akan menyebabkan kulit individu bertambah sensitif. Sistem keimunan yang terlalu aktif juga menjadi pendorong di samping ciri tidak normal pada kulit yang menyebabkan kelembapan terbebas dan membiarkan kuman masuk.

Antara faktor yang mencetuskan ekzema pada si manja ialah:

-Pendedahan kepada bulu binatang

-Penggunaan bahan kimia pada kulit

-Pemakaian fabrik sintetik

Panas dan berpeluh

Cuaca kering dan sejuk

-Kulit terlalu kering

5 SIMPTOM EKZEMA

1.Kegatalan pada kulit yang sering terbentuk dalam bentuk tompok.

2.Lokasi tumpuan ialah di bahagian muka, bahagian berlipat pada si manja seperti leher, pelipatan lengan, belakang lutut, telinga dan pada kulit kepala.

3.Terdapat kanak-kanak mengalami ekzema di lutut atau siku.

4.Kegatalan akibat selalunya akan menyebabkan kulit kering, iritasi dan melecet serta berkuping. Ada kalanya kulit merekah dan menyebabkan terjadinya infeksi.

5.Kulit menjadi kemerah-merahan dan bersisik.

Sebaik-baiknya, bawalah anak mendapatkan rawatan dan diagnosis daripada doktor pakar kulit terlebih dahulu.

BAGAIMANA MENGAWALNYA? PASTIKAN BUAT 16 PERKARA INI!

Ekzema bukan sahaja menyebabkan kegatalan pada kulit, ia juga akan mengganggu tidur, pergaulan dan menggugat emosi si kecil. Ekzema tidak boleh dihilangkan begitu sahaja kerana ia mempunyai perkaitan dengan gen dalam badan yang tidak mungkin boleh diubah sama sekali. Yang boleh dilakukan ialah mengawalnya agar ia tidak tercetus dan menjadi semakin teruk.

Walau pun  tidak mampu menyembuhkan 100%, namun sebagai langkah rawatan, ubat-ubatan, produk penjagaan diri dan peralihan gaya hidup perlu untuk mengawal ekzema yang dihidapi si manja daripada menjadi lebih teruk.

1)Sentiasa memastikan ruang kediaman bebas habuk.

2)Elakkan permaidani

3)Elakkan memelihara binatang peliharaan yang berbulu di dalam rumah buat sementara waktu sehingga ekzema anak hilang.

4)Sapuan pelembap. Pelembap kulit yang diperbuat daripada bahan organik dan tidak mengandungi steroid adalah pilihan terbaik.

5)Kuku si manja perlulah sentiasa pendek untuk mengelakkan kulit tercalar ketika menggaru.

6)Tuaman menggunakan pek ais mengurangkan kegatalan.

7)Sentiasa memakai pakaian daripada fabrik kapas dan berpotongan longgar.

8)Tutup bahagian yang gatal dengan pakaian. Kalau ekzema tengah flare di bahagian mukanya, boleh pakaikan bayi dengan sarung tangan.

9)Menggosok bahagian kulit yang gatal perlahan-lahan untuk melegakan. Bukan garu!

10)Amalkan penyusuan susu ibu. Tapi ibu perlu elakkan dari memakan makanan yang pencetus alergi.

11) Bila anak mula makanan pejal, elakkan susu lembu, kekacang, telur dan makanan laut yang boleh menimbulkan alergi dan kegatalan. Pendedahan kepada bahan ini yang mungkin boleh menyebabkan radang ekzema tercetus.

12)Segera mencuci mulut anak setiap kalu selepas makan kerana ia juga boleh menjadi punca ekzema menjadi teruk.

13)Jangan berlengah menukar lampin untuk mengelakkan kerengsaan akibat ekzema semakin teruk.

14)Selepas mandi, elakkan mengelap dengan cara menggosok, sebaliknya hanya melalukan dan menekan lembut sahaja kulit anak untuk mengelakkan kelembapan semula jadi kulitnya hilang.

15)Pakaikan bayi dengan pakaian yang tidak menyebabkannya panas dan berpeluh. Pakaian yang berpotongan longgar, nipis dan menyerap peluh seperti kain kapas amat disarankan.

16) Sapukan bayi dengan krim pelembap setiap kali selepas mandi terutama sekali pada bahagian yang terbabit ekzema.

 

 

 

Tinggalkan Komen