Masa anak umur 2 tahun, mereka terkenal kuat mengamuk. Bila dah genap umur 3 tahun apa pula ragamnya? Ibu ayah kena guna cara tepat untuk didik mereka supaya boleh menjadi insan yang hebat nanti.

Bila dah masuk umur 3 tahun, anak semakin bijak kerana kemampuannya sudah semakin meningkat.

Ibu ayah kena didik mereka dengan kaedah yang tepat agar memberi pengaruh positif terhadap perkembangan anak pada tahap seterusnya. Oleh itu ibu bapa mesti faham apa yang harus dilakukan untuk mendidik anak ketika dia sudah berusia 3 tahun.

Ini antara beberapa tips dan cara tepat mendidik anak umur 3 tahun yang boleh dicontohi oleh ibu ayah.

1. Kerap ajak anak buat aktiviti di luar rumah

Anak umur 3 tahun semakin kenal dan faham dunia di luar rumahnya, terutama dalam persekitaran yang dia biasa. Dia mula faham siapa sahaja orang-orang di sekelilingnya dan siapa kawan-kawan sebayanya.

Semakin kerap anak berinteraksi dengan orang di sekelilingnya maka semakin bagus kemahiran sosialnya.

Ini akan memberi kesan positif terhadap perkembangan anak bila dewasa nanti. Si kecil akan membesar sebagai individu yang mudah mesra, menyenangkan dan berkeyakinan. Ini berbeza dengan anak yang jarang keluar rumah semasa kecil, biasanya akan membesar sebagai individu yang pemalu, anti sosial dan kurang pandai bergaul.

2. Ajar anak biasa berkongsi

Sikap tak kedekut dan biasa berkongsi barang atau makanan dengan orang lain mesti diajar sejak anak kecil lagi supaya dia ada sifat bertimbang rasa yang tinggi. Anak umur 3 tahun yang sudah mula berminat untuk berinteraksi dengan orang lain selain ahli keluarganya mesti dibiasakan untuk berkongsi apa yang dimiliki.

Contohnya, ketika anak sedang makan biskut, biasakan dia berkongsi dengan kawan-kawannya. Terangkan kepada anak yang kawannya juga teringin nak rasa biskut tersebut. Penting untuk ajar anak umur 3 tahun supaya tidak kedekut dan boleh berkongsi barang miliknya kerana ia akan membentuk peribadi dirinya bila dewasa dan sudah bercampur gaul dalam masyarakat nanti.

3. Beri pemahaman jelas

Anak umur 3 tahun memang biasa meniru apa yang kerap didengar atau dilihat walaupun dia belum faham tujuan dan maksud perbuatan yang ditirunya. Maka sebaga ibu ayah, anda bertanggungjawab menerangkan kepada anak tentang hal tersebut.

Memberi pemahaman yang betul kepada anak akan memberi kesan besar kepada dirinya. Contohnya, sejak kecil anak sudah biasa melihat ibu ayah bersolat, walaupun awalnya dia hanya meniru perbuatan tersebut tetapi dengan memberi pemahanan apa tujuan bersolat akan menjadikan anak faham tujuan dan pentingnya untuk melakukan ibadah tersebut selari dengan pertambahan usianya nanti.

4. Bawa anak meneroka dunia

Memang seronok bawa anak umur 3 tahun berjalan dan melancong meneroka dunia luar kerana mereka sudah semakin faham dan tertarik dengan banyak perkara baru. Bawalah anak berjalan di tempat-tempat yang mempunyai nilai pendidikan seperti zoo, muzium, pantai, pasar dan lain-lain tempat yang boleh merangsang pemikiran anak.

Biasanya si kecil akan bertanya banyak soalan berdasarkan apa yang diperhatikan. Jangan jemu atau malas hendak melayan pertanyaan anak kerana ia penting untuk membantu membentuk kecerdasan otak anak. Ibu ayah hendaklah menjelaskan dengan cara yang tepat dan mudah difahami oleh si kecil.

Anda juga mesti rajin berkongsi maklumat tentang hal-hal lain yang ditemui sepanjang perjalanan. Ketahuilah ketika inilah usia efektif si kecil mendapat pengajaran dan pendidikan dari setiap pengalaman yang dialaminya dan akan diingati sampai dewasa.

Ini antara sebahagian tips mendidik si manja umur 3 tahun yang anda boleh contohi. Sebenarnya ada banyak lagi cara lain yang dipraktiskan oleh ibu bapa semua kan?

 

 

Tinggalkan Komen