Anak pandai sebut nama objek tetapi tak pandai mintak, tak pandai tanya dan jawab soalan, tak pandai ikut arahan dan macam-macam lagi. Kenapa ini terjadi?
Ini adalah kerana, bertanya dan menjawab soalan, meminta, berbual dan mengikut arahan, semua itu adalah merupakan komunikasi dua hala. Menamakan objek dan berkomunikasi adalah dua kemahiran yang berbeza.
Berdasarkan perkongsian dari Patologis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassim diterangkan bagaimana untuk mengetahui perbezaannya.
Sama ada kita sedar atau tidak, apabila kita berkomunikasi contohnya seperti ketika berbual, kita sebenarnya sedang mengambil giliran untuk bercakap. Contohnya seperti:
Seorang bercakap dan yang lain akan mendengar
Seorang bertanya soalan dan seorang menjawab soalan
Seorang tunjuk dan seorang melihat
Jadi samalah juga seperti kita, kemahiran mengambil giliran adalah penting untuk kanak-kanak berkomunikasi. Tapi bagi kanak-kanak, mereka perlu belajar perkara asas dalam kemahiran mengambil giliran. Antara contoh-contoh kemahiran mengambil giliran adalah seperti berikut:
Semasa bermain bola, kita membaling bola pada kanak-kanak dan mereka membalingnya kembali pada kita
Beratur dan menunggu giliran untuk membasuh tangan
Bergilir-gilir meletakkan barang di dalam bekas
Memasukkan bola ke dalam bakul secara bergilir-gilir
Berkongsi mainan seperti puzzle dan memasukkannya secara bergilir
Dan macam-macam perkara atau aktiviti yang mereka boleh lakukan secara bergilir.
Kemahiran mengambil giliran ini boleh melatih kanak-kanak untuk menunggu dan memberi respon pada sesuatu (situasi, perbualan dan aktiviti) dan juga penting untuk mereka belajar berkongsi.
Ads
Bagaimana Mengajar Kanak-Kanak Mengambil Giliran
Lakukan aktiviti yang melibatkan giliran seperti:
– Bermain bola – membaling dan menangkap bola secara bergilir. Bantu kanak-kanak jika mereka tidak tahu membaling semula bola kepada anda.
Bantu anak anda sekiranya mereka tidak tahu untuk melakukannya
Sebut nama mengikut giliran seperti “giliran mama, giliran adik”
Lakukan aktiviti sehingga kanak-kanak tahu yang mereka perlu menunggu giliran secara spontan
Anda juga boleh menggunakan aktiviti harian seperti mencuci tangan, menyuap makanan dan lain-lain lagi
Kemahiran untuk mengambil giliran dalam melakukan sesuatu aktiviti adalah penting untuk membentuk komunikasi dua hala di kalangan kanak-kanak. Jadi selalulah untuk melatih kanak-kanak demi mengasah kemahiran mengambil giliran mereka!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak membina keperibadian anak-anak sememangnya perlu bermula dari awal usia. Apabila mempunyai keperibadian yang baik, perkembangan minda mereka juga akan lebih baik. Dalam hal ini ibu dan ayah memainkan peranan dalam membentuk peribadi si kecil dari usia dini.
Dalam satu perkongsian oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, beliau senaraikan 10 tip buat ibu dan ayah praktikkan buat si kecil tersayang bagi menjadikan mereka lebih pintar dan mempunyai keperibadian yang tinggi.
Ini yang dikongsikan oleh beliau:
Pendidikan awal kanak-kanak sangat dekat di hati saya sebab saya belajar kaunseling dan percaya perkembangan minda dan peribadi kanak-kanak itu bermula dari pendidikan awalnya. Saya ingin kongsikan 10 untuk menjadikan anak lebih pintar dan berperibadi yang tinggi.
1. Jaga Pemakanan Berikan makanan yang halal dan bernutrisi (toyyiban). Makanan yang natural dan dimasak sendiri. Galakkan mereka minum air mineral dan makan sayur/buah. Elakkan makanan yang mempunyai kalori yang tinggi (manis) seperti kek, coklat dan minuman dalam kotak.
2. Banyak Berkomunikasi Dengan Anak Banyaklah berkomunikasi dengan mereka. Bicara dengan penuh emosi. Jangan malu untuk berkomunikasi dengan cara mereka. Bercakap dengan nada, mimik muka, ketawa dan suara-suara yang mencuit hati mereka.
3. Bermain Dengan Anak Bermain dengan mereka. Mereka ibarat anak-anak singa yang memerlukan pergerakan fizikal untuk menguatkan otot-otot tubuh mereka. Kita perlu pantau, dan bukan hanya berada di sisi. Memerhatikan keselamatan dan melihat perkembangan mereka. Mereka juga perlukan permainan minda. Soal jawab dengan mereka dan kita akan kagum dengan jawaban mereka. Kita bukan mahu jawaban yang betul, tetapi jawaban yang logik pada tahap pemikiran mereka. Cuba bertanya "Kenapa kenapa kentut kita busuk?" Tentu kita dapat jawaban yang mencuit hati kita.
4. Menyanyi Bersama-sama Bernyanyi bersama mereka. Dalam perjalanan yang jauh bersama keluarga kita boleh nyanyi bersama-sama, sama ada lagu kanak-kanak, lagu nasyid atau lagu patriotik. Mereka pasti mengenangkan pengalaman ini apabila mereka dewasa. "Lagu ini lagu kesukaan bapa saya. Kami pernah nyanyi bersama-sama dalam kereta. Itu saat manis yang saya ingat. Selepas itu ayah saya sentiasa sibuk dan tiada lagi masa untuk saya"
5. Ajar Anak Ilmu Baru Bawa anak berjalan dan ajarkan ilmu baru. Ajak ke tepi rumah dan tunjukkan tumbuhan/haiwan kecil yang tidak pernah dia lihat. Berjalan di waktu malam, dan bertanyakan "mengapa bulan itu bulat?" Temani anak menonton TV. Bila anak menonton TV, luang masa bersama mereka walaupun hanya cerita kartun. Luangkan sedikit masa 10-15 min untuk melayan emosi mereka kita menonton.
6. Tutur Perkataan Yang Baik-baik Ucapkan perkataan yang baik-baik saja di hadapan mereka. Tegur mereka jika mereka menggunakan perkataan yang buruk. Selalu sebutkan perkataan "terima kasih, saya sayang awak" apabila dia melakukan perkara yang baik walaupun kecil. Ajar mereka dengan minta mengulangi perkataan baik depan kita.
7. Selalu Peluk & Cium Anak Selalu memeluk dan mencium anak. Peluk dan cium mereka paling kurang sehari sekali. Apabila kita baru balik rumah dan mereka telah tidur, peluk dan cium mereka juga. Jadikan rutin hidup. Mulakan dari kecil. Anak yang sentiasa dipeluk dan dicium selalunya akan mengikut kata kita.
8. Beri Perhatian Pada Anak Dengar rintihan mereka dan beri perhatian. Apabila mereka takut, kita dengar dan bantu. Tidak semua kanak-kanak akan memberikan respon yang serupa. Ada kanak-kanak yang menjadi kuat bila dibiarkan, ada kanak-kanak yang semakin lemah.
9. Perhatikan Bakat & Kebolehan Anak Perhatikan kebolehan anak dan apa bakat dan kekuatan dia. Ada anak yang cemerlang dalam akademik, ada yang cemerlang dalam kemahiran pertukangan, ada yang cemerlang dalam komunikasi, ada yang cemerlang dalam sukan. Jangan memaksa anak untuk memenuhi cita-cita kita. Tetapi bantu anak memenuhi cita-cita mereka.
10. Ajar Lebih Dari Satu Bahasa Perkenalkan lebih dari satu bahasa. Bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, french, Spain etc. Mereka mudah mengingat perkataan-perkataan itu. Otak mereka seperti sponge.
Yang terakhir selalu doakan anak untuk menjadi manusia yang terbaik. Baca doa depan mereka supaya mereka dapat dengar.
Kecerdasan anak-anak tidak hanya bergantung kepada faktor genetik, tetapi cara kita mendidik mereka. Semoga bermanfaat.
Cara asuhan sejak kecil menurut Islam memainkan peranan besar dalam membentuk peribadi anak yang seimbang dan berakhlak mulia. Membentuk sikap positif dalam diri anak sebenarnya bermula dari rumah. Anak yang dibesarkan dengan didikan yang baik akan membesar dengan jiwa yang lembut, peka terhadap perasaan orang lain serta sensitif dengan keadaan sekeliling. Sebab itu, Islam sangat menekankan pendekatan kasih sayang dan kesabaran dalam mendidik anak sejak kecil, tanpa perlu menggunakan kekerasan.
Ikuti perkongsian daripada Pakar Motivasi, Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad tentang bagaimana pendekatan didikan positif mampu membentuk anak-anak yang lebih seimbang dari segi emosi dan sahsiah.
Dalam mendidik anak-anak, perkara paling utama dalam Islam ialah pastikan mereka mengenal Allah dan menyembah Allah. Sebab itulah penting ibu bapa memperkukuhkan tauhid anak-anak sejak daripada bayi lagi. Sejak kecil lagi anak-anak perlu didedahkan bahawa setiap ciptaan itu adalah penciptanya iaitu Allah swt. Apabila anak bertanya kenapa hujan turun? Ibu bapa perlu terangkan dahulu dari aspek ketuhanan sebelum aspek sains. Jawablah, “Hujan itu turun kerana Allah yang menciptakan hujan. Ia turun sebagai rahmat Allah kepada manusia. Allah boleh turunkan hujan di bumi mana sahaja yang Allah mahukan. Cuba fikirkan apa yang berlaku sekiranya Allah murka lalu tidak diturunkan hujan? Tiada air untuk diminum, mandi, dan sebagainya.” Bukan setakat faham sahaja, apabila anak sudah tahu dan faham maka Allah sahajanya tempat untuk dia meminta dan menyembah. Allahlah yang patut sentiasa dipuji melalui fikir dan zikir. Oleh itu jadilah ibu bapa yang bertanggung jawab memperkukuhkan tauhid anak-anak sebelum mereka diserahkan kepada guru-guru di sekolah.
Anak-anak yang terbentuk akhlak dan sikap positif juga akan lebih berjaya apabila masuk alam persekolahan dan pekerjaan. Sikap dan akhlak ini akan mudah terbentuk apabila ibu bapa menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. IQ yang tinggi dan cerdik tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan hikmah dan kebijaksaanan. Ilmu yang tinggi tidak bermakna jika tidak seiring dengan adab. Sebab itulah membentuk adab dan akhlak perlu diberikan keutamaan dalam mendidik anak-anak. Disamping menggalakkan anak-anak menghidupkan sunnah, didik juga mereka dengan adat orang Melayu dulu-dulu yang penuh dengan sopan dan santun. Misalnya, bongkokkan badan meminta izin ketika melintas depan orang, tidak duduk sekali dalam kelompok orang-orang tua yang sedang bercakap, ringankan mulut dengan ucapan salam dan terima kasih, dan banyak lagi. Ia membina rasa hormat dalam diri anak terhadap orang lain.
Dengar percakapan anak-anak dengan teliti. Ada ketikanya mereka bercakap secara kasar atau menggunakan intonasi suara yang tidak sesuai. Didik anak untuk bercakap dengan nada yang lembut terutamanya dengan orang yang lebih dewasa. Anak-anak seawal usia tiga tahun sudah mula pandai bercakap bohong bagi mengelakkan dirinya daripada dimarahi oleh ibu bapanya. Sebab itulah apabila kita tahu bahawa anak telah melakukan kesalahan maka usah bertanya saya ada dia lakukan atau tidak, sebab ia akan mendorong anak berbohong. Misalnya, kita tahu yang adik telah mengambil mainan abangnya laku disorokkan. Kita pula bertanya, “Adik ada ambil barang abang ker?”. Agaknya apa jawapan adik? secara logiknya dia tidak akan mengaku lantar menjawab, “Tidak”. Secara tidak langsung ibu bapa telah mendorong anaknya untuk berbohong. Sepatutnya, ibu terus sahaja mendekti anaknya lalu berkata, “Adik, mak tahu adik ambil barang abang. Sekarang mak cuma nak tahu kenapa adik ambil?”.
Tiada ibadah yang lebih penting daripada ibadah solat. Solat adalah tiang agama dan amalan pertama yang dihisab di akhirat nanti adalah solat. Adalah satu kesilapan apabila masuk sahaja bulan Ramadan ibu bapa lebih utamakan puasa berbanding solat anak-anak mereka. Dalam satu hadis, daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.” Jelas sekali Allah mahukan ibu bapa menjadi contoh dalam bab solat ini dan mesti bertegas apabila usianya masuk 10 tahun.
Ibu bapa perlu menjadi contoh dengan mengajak anak bersolat bersama mereka meski pun anak sekadar main-main.
Malah jika anak duduk di tepi memerhati pun sudah memadai. Anak-anak perlu dipaksa untuk solat dan usah ragu-ragu untuk bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak pada usia ini.
Dalam mendidik anak-anak bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Bercakaplah dengan anak dengan nada yang sederhana dan tidak meninggikan suara tanpa sebab. Dalam percakapan itu pula lebihkan kata-kata positif, fokus kepada kebaikan dan kekuatan anak dan bukannya menyebut akan kelemahan dan kekurangan mereka. Sebahagian besar daripada didikan dan pengajaran dalam al-quran disampaikan dalam bentuk cerita-cerita. Maka ambillah iktibar dari al-quran ini dengan mendidik anak-anak melalui cerita.
Ceritakan kepada anak-anak kisah-kisah para nabi dan para sahabat. Ceritakan juga tentang pemimpin-pemimpin Islam yang hebat, para huffaz dan ulamak.
Ceritakan juga kisah-kisah kejayaan orang lain untuk anak-anak jadikan ikutan. Dengan selalu bercerita, jiwa anak-anak terbentuk secara positif. Tanpa disedari cerita-cerita ini membentuk watak, karakter dan mindset anak-anak dan menjadi panduan hidup mereka dalam menjalani setiap ujian dan cabaran.
Tiada perkara yang lebih utama kepada anak-anak selain daripada mereka sedar bahawa ibu bapa memang menyayangi mereka tanpa syarat. Oleh itu usah membanding-banding anak-anak sebab setiap anak itu punya rezekinya masing-masing. Keupayaan dan bakat mereka juga berbeza. Jika ada anak yang kurang menyerlah dalam pelajaran maka tidak mengapa. Ingatkan anak itu untuk berikan yang terbaik dalam hidupnya. Yang penting dia menjadi anak yang baik, beriman dan sentiasa doakan kita sebagai ibu bapa. Sebab, semasa hidup anak-anak perlukan doa ibu bapanya untuk berjaya dan setelah kita meninggalkan dunia ini kita perlukan pula doa anak-anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila suruh tolong kemas barang permainan, anak buat tak dengar cakap atau tak ikut arahan je, memang buat hilang sabar sehingga rasa anak seorang yang degil . Mana taknya hari-hari kena buat perkara yang sama. Hakikatnya, begitulah kanak-kanak, namun pada usia dua hingga lima tahun mereka sedang meneroka persekitarannya termasuk cara komunikasi.
Jadi, jangan labelkan seorang yang tidak mendengar kata atau degil. Sedangkan tanpa kita sedari bahawa terdapat konflik komunikasi antara kita dengan anak.
Puan Ayu Amir kongsi pengalaman mengenai hal ini dalam mendidik anaknya. Moga ia menjadi panduan berguna buat kita semua.
Syu dulu pun mempunyai masalah komunikasi dengan Ahmad. Maklumlah Ahmad masa tu di fasa ‘exploration’. Syu cakap apa pun dia tak nak dengar. Kalau Syu suruh tutup game yang dia tengah main, mesti Ahmad marah-marah. Last-last, Syu terpaksa ambil je dan biarkan Ahmad menangis. Kesian dan sedih masa tu Allah je yang tahu. Syu rasa masa tu Syu adalah ummi yang paling jahat dalam dunia.
Lama Syu stuggle nak buat Ahmad ikut arahan. Syu cuba macam-macam cara tapi tak berjaya. Sampailah satu ketika Syu jumpa teknik-teknik yang boleh diguna pakai. Teknik-teknik ini bukanlah datang dari satu sumber sahaja, tapi bermacam-macam sumber yang Syu cuba jaya. Alhamdulillah, Ahmad sekarang lebih mendengar dan kurang dah tantrumnya.
Pertama sekali sebelum kita mengharapkan anak ikut arahan kita, kita sebagai ibu ayah mestilah mendengar kata anak terlebih dahulu. Bukan maksudnya ikut telunjuk anak, tapi dengarlah anak kita bercerita pasal hari mereka, pasal permainan mereka, pasal apa-apalah. Jadilah pendengar yang baik kepada anak sebelum kita nak anak kita mendengar kata kita pula.
Sekarang ini, ramai ibu ayah yang tak larat pun nak melayan kerenah anak sebab dah penat bekerja. Bila anak nak bercerita, ibu ayah layan tak layan ataupun terus tolak anak ke tepi. Kalau anak kacau, kita marah-marah. Sedih anak sebab tiada orang nak dengar cakap mereka. Jadi, salah siapa sebenarnya kalau anak tak dengar cakap dan ikut arahan? Kita pun tak tunjuk contoh yang baik untuk mereka ikut, jadi jangan salahkan mereka.
Jadi, lepas nie, jadilah kawan anak. Kerapkan melayan mereka bercerita dan keraplah bercerita kepada mereka. Anak kita akan gembira bila kita beri perhatian kepada mereka. Mereka kecil hanya sekejap. Nanti dah mula sekolah dan ada kawan baru, takut nanti mereka nie tak nak langsung bercakap dengan kita. Masa tu nanti baru la kita tercari-cari nak cakap dengan anak kita. Janganlah menyesal nanti.
2 Gunakan Nada Suara Yang Baik
Apabila ibu ayah bercakap dengan anak-anak, gunalah nada suara yang baik. Bukannya terjerit-jerit marah-marah anak. Bila anak buat salah, jangan terus melenting nak marah “itulah kan ummi dah cakap pegang cawan tu elok-elok barulah tak tumah. Sekarang nie siapa yang susah? Ummi juga nak kena lap kan?”, tapi cakap elok-elok dan terangkan cara yang betul melakukan sesuatu perkara.
Sebagai contoh, anak kita tumpahkan air. Jangan terus marah anak kita. Nanti mereka akan takut dengan kita dan takut nak bawa air lagi sebab takut tumpah dan kena marah. Bila mereka takut, secara tak langsung kita sebenarnya dah matikan sifat suka mencuba mereka. Kalau selalu sangat kena marah, lama-lama nanti anak kita jadi penakut. Mesti ibu ayah tak nak kan anak kita jadi begitu?
Sepatutnya, kita tunjukkan contoh macam mana nak pegang cawan supaya tak jatuh lagi lain kali. Selain itu, kita tunjukkan juga apa yang perlu buat bila air dah tumpah tu – ambil kain, tunjukkan cara lap air tumpah, dan sambil lap tu cakap dengan anak “lain kali kakak hati-hati ye, barulah rumah kita sentiasa bersih”. Akhir sekali, peluklah anak dan cakaplah, “tak apa, kakak masih belajar nak kuatkan tangan. Lain kali kakak cuba pegang cawan kuat-kuat ye. Ummi sayang kakak.”
Bila ibu ayah menggunakan nada suara yang baik, senanglah anak kita nak mendengar dan mengikut arahan kita. Kalau kita marah dan meninggi suara, lagi anak kita buat keras kepala dan memberontak tak nak dengar cakap. Nanti kita yang sakit kepala asyik marah-marah je.
Masa kita bercakap dengan anak, pastikan kita rendahkan badan kita sampailah ke paras mata anak kita. Kita boleh membongkokkan badan ataupun kita boleh letak anak kita atas pangku. Pastikan kita memandang mata mereka ketika berrcakap dan pastikan anak kita juga fokus kepada apa yang kita tengah katakan. Jangan kita bercakap dari jauh, “Abang tolong ambilkan baju untuk adik”. Bila anak kita tak buat, kita marah padahal kita tak pasti pun anak kita sebenarnya dengar ataupun tak.
Bila kita nak anak kita buat sesuatu, kita kenalah dapatkan perhatian anak kita dahulu. Jangan main sedap mulut je terus cakap. Mungkin otak anak kita tak fokus untuk terima arahan kita. Pastikan anak kita pandang kita dulu barulah bagi arahan. Selagi dia tak pandang, jangan cakap apa-apa. Buat penat je sebab mereka tak dengar.
4 .Guna Bahasa Mudah Difahami
Budak kecil masih belum boleh memahami arahan yang panjang lebar. Kalau kita guna ayat yang panjang, mereka takkan dapat tangkat apa yang kita nak mereka lakukan.
Ibu ayah kenalah guna bahasa yang mudah difahami oleh anak. Kena straight to the point. Contohnya:
Untuk anak berumur 2 tahun: “Adik, tuala” (sambil tunjuk ke arah tuala).
Untuk umur 3 -4 tahun: “Adik, ambilkan tuala” (menggunakan ayat penuh tapi masih pendek)
Elakkan dari menggunakan ayat panjang lebar. Otak mereka masih belum boleh nak proses ayat panjang-panjang nie. Yang penting, anak-anak faham.
Ibu ayah mestilah ulang arahan beberapa kali sehingga anak faham, barulah boleh harapkan anak kita buat. Ulang depan mata dia. Tanya anak kita semula apa yang kita nak dia lakukan pada masa itu. Contohnya, lepas bagi arahan, tanya semula “Ummi nak kakak buat apa?” Kalau anak kita jawab dengan betul, barulah bagi dia buat. Takut nanti, kita suruh buat lain, anak kita buat lain.
6.Set Masa
Apabila kita nakkan anak kita buat sesuatu, kita kena set masa. Janganlah beritahu masa tu, masa tu juga kita harapkan anak kita buat. Contohnya:
Ummi: Abang, dah petang ni. Cukup main game. Pergi mandi ok?
Anak: Nanti la ummi.
Ummi: Ummi bagi abang main lagi 10 minit ok? Lepas 10 minit ummi nak abang mandi.
Anak: OK.
Lepas 10 minit, arahkan anak untuk mandi. Jika masa nie dia tak ikut, tutupkan game yang dia tengah main. Pada awalnya, anak kita akan marah dan menangis, tapi kita kena tegas supaya anak kita tahu yang kita tak main-main. Kalau kita ikutkan kata anak, nanti anak kita hilang hormat dan kepercayaan mereka kepada kita. Nanti mereka akan fikir, “ala ummi nie, bukannya boleh percaya. Tadi kata 10 minit lagi, lepas tu bagi lagi aku main”. Anak kita takkan percaya apa yang kita cakap nanti.
Nak suruh anak dengar dan ikut arahan bukannya sesuatu yang mudah, tapi dengan sabar dan konsisten, anak akan dengar. Ibu ayah janganlah melenting marah-marah tak tentu pasal bila anak tak nak dengar arahan kita. Cakap je ulang kali. Biar mereka tahu yang kita serius dengan apa yang kita katakan.
Zuhayr dulu pun sama. Memang asyik marah-marah je bila Syu suruh buat sesuatu. Syu cuba cara-cara nie tapi lama juga baru berjaya.
Yang penting kena buat juga. Jadikannya rutin, baru mereka mudah untuk ikut. Jangan sekejap buat sekejap tidak. Takut nanti anak kita keliru mana yang boleh sebenarnya.
Jadi, lepas ni cubalah untuk buat sehabis baik untuk menjadi kawan anak kita, tapi pada masa yang sama jadi contoh yang baik supaya anak kita boleh ikut. Moga anak kita jadi anak yang mendengar kata dan mengikut arahan. Amin.
Jenis-jenis najis bayi boleh berubah mengikut usia, susu dan pemakanan. Ketahui warna najis yang normal, tanda bahaya serta bila ibu ayah perlu membawa bayi berjumpa doktor.