Saya mempunyai anak saudara berusia 6 tahun yang suka minum air manis dan berais. Tidak kiralah sama ada waktu pagi, tengah hari ataupun malam, dia tetap mahukan air manis dan kurang minum air kosong. Dalam pada itu, dia tidak suka makan nasi dan akan menikmatinya sekali sehari sahaja. Adakah pemakanan sebegini membahayakan kesihatannya? Apakah yang harus saya lakukan untuk membantu?

Norlaila Ali – Segamat, Johor.

 

Makanan dan minuman manis adalah syurga bagi kanak-kanak. Bukan sahaja kanak-kanak, malahan orang dewasa pun turut menggemarinya. Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kenali terlebih dahulu apakah itu gula? Gula adalah sejenis karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang diserap terus oleh tubuh badan manusia.

 

Terdapat dua jenis karbohidrat iaitu karbohidrat ringkas dan karbohidrat kompleks. Karbohidrat ringkas juga dikenali sebagai gula ringkas. Gula ringkas boleh didapati daripada gula pasir, buah-buahan, madu dan sebagainya. Karbohidrat kompleks pula dikenali sebagai kanji. Kanji terkandung dalam makanan harian kita seperti nasi, mi, pasta, roti, biskut dan pelbagai kumpulan bijirin.

 

Seorang kanak-kanak sememangnya memerlukan karbohidrat sebagai sumber tenaga. Bagaimanapun, ibu bapa haruslah memastikan karbohidrat yang diperoleh adalah daripada sumber yang sihat dan hadkan gula ringkas dalam pemakanan harian anak. Pengambilan gula ringkas khususnya dalam minuman akan mengakibatkan pengambilan tenaga harian yang berlebihan. Seterusnya boleh menyebabkan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

 

Bukan itu sahaja, kanak-kanak lebih berisiko tinggi untuk mendapat karies gigi dan lebih membimbangkan, dia akan mendapat penyakit diabetes di usia yang masih muda. Ini kerana gula ringkas terutamanya gula pasir atau gula putih digelar empty calories iaitu makanan yang hanya membekalkan tenaga semata-mata tanpa nutrien lain. Namun begitu, pemberian gula daripada buah-buahan digalakkan kerana buah-buahan mengandungi serat, vitamin dan mineral yang berkhasiat.

 

Bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa harus memainkan peranan. Tidak susah untuk menggalakkan anak-anak di usia ini mengamalkan minum air kosong. Antara kaedah yang boleh dipraktikkan adalah seperti menyediakan botol air kosong masing-masing, menyediakan pelbagai bekas minuman yang menarik dan memberi peluang kepadanya untuk menyediakan minuman serta menghidangkannya sendiri. Apa yang paling utama, ibu bapa mesti menjadi contoh dalam mengamalkan pengambilan air kosong dan pemakanan yang sihat.

 

Untuk pengetahuan, kanak-kanak di usia sebegini haruslah mendapatkan zat dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran dan perkembangan fizikal, mental dan emosi. Nasi adalah daripada kumpulan karbohidrat yang akan membekalkan tenaga kepada tubuh. Sekiranya tidak menggemari nasi, anak saudara puan boleh mencuba memberi sumber karbohidrat kompleks yang lain seperti yang telah saya sebutkan di atas. Kepelbagaian sumber makanan dari piramid makanan boleh diperkenalkan kepada kanak-kanak untuk mengelakkan dia bosan dengan sejenis makanan sahaja.

SOALAN INI DI JAWAB OLEH NUR HIDAYAH ASMA ALIAS,  PEGAWAI DIETIK 

 

 

 

 

Tinggalkan Komen