Anak susah nak belajar pakai baju dan seluar sendiri. Anak bermain dan bergurau terlalu kasar. Anak umur 6 tahun masih memegang pensil menggunakan 5 jari.  Anak tak mahu makan dengan sendiri walaupun semasa umur 5 tahun.

Masalah diatas adalah masalah biasa bagi anak yang mempunyai masalah terhadap sensitiviti deria sendi. Deria sendi tidaklah sepopular seperti deria visual, auditori, rasa, sentuhan dan bau tetapi deria ini sangat penting dalam setiap urusan kita seharian.

Nak ambil barang, nak buka pintu, nak seluk beg ambil dompet, nak pakai baju dan seluar, nak makan, nak garu belakang badan dan lain-lain. Semua aktiviti yang menggunakan anggota badan menggunakan deria ini.

APA ITU DERIA SENDI?

Deria sendi (propioception) adalah deria yang memberi info kepada otak dimana anggota badan kita berada. Setiap kali kita menggerakkan badan (tangan atau kaki), setiap kali itu juga kita akan menggunakan deria sendi untuk memberi input kepada otak untuk mengawal pergerakan anggota badan dan berapa tekanan yang sepatutnya.

Bayi selepas lahir akan rasa badannya seperti “terawang-awangan”, mereka tidak sedar keberadaan tangan dan kaki menyebabkan mereka tidak pandai mengawal pergerakan anggota badan disebabkan deria sendi yang “belum cukup kuat” ataupun “belum cukup develop”. Jika kita tidak merangsang deria sendi dari awal ia akan menyebabkan masalah di masa akan datang terutamanya skil urus diri (makan, pakai dan buka baju) malah akan menyebabkan masalah akademik juga.

Anak yang ada masalah deria sendi selalu disalah erti kan dengan malas, lembab atau “hyper”. Mereka tak nak pun dilahirkan atau “dibesarkan” ada masalah deria sendi. Ya, faktor persekitaran memang boleh menyebabkan masalah ini menjadi lebih parah apabila anak dibesarkan dalam keadaan yang terlalu “manja” dan tak diberi peluang untuk berdikari sendiri.

Semua benda mak ayah nak buatkan, semua benda nenek atuk nak “tolong” buatkan sampai anak dah ada mindset “tak perlulah belajar berdikari, orang lain akan jaga badan ini”. Jangan terkejut jika saya katakan, kebanyakan anak yang “malas” untuk belajar (pakai baju seluar, makan sendiri, menulis) adalah berpunca dari sikap mak ayah yang terlalu memanjakan anak dengan “membantu” benda yang tidak sepatutnya dalam urusan seharian.

Kalau bawah 2 tahun, masih diterima lagi. Tapi kalau umur 6 tahun? Tepuk dada tanya minda.

PUNCA ANAK “MALAS”

  1. Anak susah nak belajar pakai baju dan seluar?

Setiap kali anak mencari lubang baju atau lubang seluar tak jumpa, kadang-kadang masuk tangan dalam lubang kepala, kadang-kadang 2-2 kaki masuk dalam 1 lubang seluar.

Berjuta kali cuba tak dapat, mak ayah dah bising-bising sebab nak cepat. Anak stres terus tak nak buat. Mak ayah stres terus pakaikan.

Macam mana nak pakai sendiri kalau deria sendi tak cukup kuat untuk “merasa” sesuatu tanpa melihatnya?

  1. Anak bermain dan bergurau terlampau kasar.

Niat nak bergurau dengan kawan atau adik, tetapi gurauan bertukar jadi drama air mata apabila orang lain takut nak bermain sama. Orang lain gurau cuit sikit-sikit, dia tolak dan pukul “kaw kaw” macam bertinju betul.

Macam mana nak bermain sama, kalau tak pandai mengawal “tekanan” cuitan, pukulan, tolakan dan sepakan?

  1. Memegang pensil menggunakan 5 jari di umur 6 tahun.

Sebenarnya skil memegang pensil tidak perlu diajar atau dipaksa, ia adalah secara semulajadi.

Semakin deria sendi anak “kuat”, semakin dia akan membetulkan jari-jarinya sendiri semasa memegang pensil. Dari 5 jari ke 4 jari seterusnya 3 jari dan skil menulis ada tahapnya untuk setiap umur anak. Tidak perlu terlalu taksub untuk mengajar anak menulis di awal usia dan memaksa anak menulis menggunakan 3 jari sebelum umurnya sebenar.

Anak gunakan 5 jari kerana deria sendi belum cukup kuat untuk mengawal tangan semasa menulis, maka memerlukan lebih sokongan.

Kini, banyak sangat produk-produk untuk mengajar anak memegang pensil dengan betul. Tapi sampai bila nak guna? Gunakan alat bantuan memang bagus untuk membantu tetapi kalau tidak disusuli dengan rangsangan deria sendi tiada gunanya kerana anak tetap akan cepat penat semasa menulis disebabkan perlu “effort” lebih untuk mengawal jari.

Sebenarnya banyak sangat masalah-masalah harian yang akan timbul disebabkan masalah deria sendi. Nampak kan betapa pentingnya deria sendi dalam hidup anak kita?

TIP MERANGSANG DERIA SENDI

  1. Belajar skil urus diri.

Normal fasa anak umur 18 bulan hingga 3 tahun akan teruja untuk melakukan semuanya sendiri termasuklah pakai buka baju, makan sendiri, belajar memegang pensil dan sebagainya. Gunakan fasa ini dengan baik untuk melatih anak menguasai skil urus diri yang secara tak langsung merangsang dan “menguatkan” deria sendi.

Sokong dan beri pujian setiap kali anak berjaya buat sendiri. Selesaikan penguasaan skil ini sehingga anak umur 4 tahun.

Ini adalah tahap normal skil urus diri untuk anak umur 4 tahun:

Bebas diaper + pakai baju seluar sendiri + makan dengan sendiri+ pakai kasut dan stokin dengan sendiri + kemas mainan + mandi dan keringkan badan sendiri + berus gigi sendiri dll

  1. Main conteng-conteng.

Sebenarnya sejak bayi bawah umur 1 tahun, mak ayah dah boleh beri dan dedahkan dengan pensil. Bukan untuk belajar menulis atau mewarna ya, hanya untuk conteng-conteng dan belajar mengawal tangan dan jari. Conteng bukan hanya di kertas, tetapi di atas pelbagai permukaan. Bukan hanya menggunakan pensil, malah boleh juga krayon, kapur dll.

Kalau menggunakan pensil, beri yang jenis pendek dan “gemuk” demi keselamatan dan membantu anak mengawalnya. Kalau takut anak conteng dinding atau perabot, boleh cat dinding menggunakan “cat kalis conteng” ataupun beri pensil warna yang boleh dipadam.

Sebenarnya tak menjadi masalah kalau mak ayah beri pengawasan penuh setiap kali anak memegang pensil.

  1. Merangkak.

Fasa merangkak sangat penting untuk bayi, semasa merangkak bayi secara semulajadinya akan merangsang deria sendi di tangan dan jari yang sangat diperlukan untuk mereka belajar mengawalnya seharian terutamanya skil urus diri dan skil motor halus.

Kurangkan atau elakkan menggunakan walker, sokong anak merangkak dengan merangkak bersama anak.

Yang mana anak berjalan cepat dan kurang fasa merangkak boleh kerapkan bermain kejar-kejar secara merangkak dengan anak ya.

  1. Urutan dan pelukan.

Pendapat saya, urutan adalah wajib untuk bayi bawah 12 bulan, banyak sangat manfaat urutan dalam perkembangan bayi yang saya sudah selalu kongsi di post saya sebelum ini. Anak membesar hanya sekali, 80% perkembangan otak anak adalah semasa umur 0-2 tahun.

Sumber: Maryam Jamadi (Occupational Therapist)

Tinggalkan Komen