Perasan tak anak-anak sekarang kerap tantrum dan agresif? Puncanya sebab mereka fokus bermain gajet dan sukar dikawal tingkah lakunya terutama bila disuruh berhenti.

Bila anak semakin besar dan masih terus dibiarkan leka dengan gajet, jangan terkejut kalau anak anda akan mempunyai masalah tingkah laku terutama apabila dia mula melangkah ke sekolah.

Puan Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator berkongsi kisah benar kesan kanak-kanak yang mengalami ketagihan gajet melampau sehingga mempunyai masalah semasa di dalam kelas tadikanya.

Semoga kisah ini mampu menjadi contoh teladan kepada ibu ayah lain dan berusahalah untuk menghentikan terus anak-anak daripada berdamping erat dengan gajet.

Saya kasihankan guru tersebut.

Saya juga kagum dengan kegigihannya untuk ‘menyelamatkan’ anak muridnya. Sebelum ini dia pernah menghubungi saya melalui ‘whatsapp’ menceritakan perihal muridnya. Tidak cukup dengan itu, dia bersemuka pula dengan saya untuk mendengar sendiri pendapat dari mulut saya tentang masalah yang sama.

Dia kecewa tetapi dia tidak berputus asa.

Anak muridnya yang berusia 5 tahun sering letih dan lesu apabila di sekolah. Sentiasa mengantuk dan tidak bersemangat. Sentiasa kelihatan khayal atau ‘high’. Tidak memberi apa-apa respon apabila guru cuba berinteraksi dengan dia. Dia tidak secergas dan secerdas kebanyakan kanak-kanak tipikal yang lain.

Dia ketagihan gajet.

Ini diakui sendiri oleh ibunya yang seakan tidak kisah dan tidak peduli. Guru sudah pun mengingatkan si ibu dengan cara baik tetapi anak tetap begitu juga, tiada perubahan.

Apa lagi yang boleh dilakukan oleh guru jika ibubapa sendiri tidak kisah dengan ketagihan itu?

Guru hanya boleh berusaha dan membantu di sekolah tetapi di rumah?

Bukankah ibubapa guru pertama seorang anak?

IKLAN

Ini bukanlah kes terpencil.

Gajet Bukan “Educational Game”

Ayah dan ibu…

Jangan tertipu dengan perkataan “educational” yang diselitkan bersama youtube, apps atau game yang menjadi santapan anak-anak. Jangan tertipu dengan menyangkakan dengan gajet anak hanyut dalam alam kreativiti yang memberi kebaikan untuk perkembangan anak. Orang dewasa yang mempunyai akal dan fikiran seharusnya berupaya untuk menilai adakah apa yang diketagihkan oleh anak adalah sesuatu yang educational ataupun sesuatu yang harmful?

Jika anak mengamuk dan menjadi agresif apabila gajet diambil sehinggakan kita terpaksa mengalah setiap kali, itu petanda bahawa apa yang disantap oleh si anak bukanlah sesuatu yang ‘educational’. Ia tidak mendidik emosi anak. Ia tidak mendidik kawalan diri dan disiplin diri anak. Di manakah ‘educational’ nya?

Jika penggunaan gajet menyebabkan anak meninggalkan tugas hakiki mereka untuk bermain, melompat, memanjat, mendaki, berguling, meneroka, membaca, dan membuat kerja-kerja kreatif, maka di manakah ciri educational nya?

Jika penggunaan gajet menyebabkan fizikal anak terabai, makan dengan gajet, tidur dengan gajet, berjalan sambil membelek gajet, kalau boleh mandi dan ke tandas pun dengan gajet, maka di manakah educational nya? Ia hanya merosakkan perkembangan tubuh badan anak.

Jika anak ke sekolah dengan keadaan letih lesu, mata kuyu, penglihatan merayau, pemikiran bercelaru, perhatian kacau, fokus tidak tentu hala, maka di manakah educational nya?

Anak Tantrum Dan Agresif Sebab Ketagihan Gajet, Ibu Ayah Tolong Hentikan Terus Main Gajet

IKLAN

Jangan Sampai Anak Macam ‘Penagih Dadah’

Dr. Peter Whybrow, Pengarah Sainsneuro di UCLA menggelarkan skrin sebagai “electronic cocaine” kerana ia menyebabkan kesan ketagihan yang sama seperti ketagihan dadah dan alkohol. Ketagihan skrin mempengaruhi bahagian ‘frontal cortex’ otak yang mengawal ‘executive function’ termasuklah keupayaan untuk mengawal diri (impulse control) sama sebagaimana berlaku pada mereka yang ketagihkan dadah dan alkohol.

Sebab itulah anak tantrum.
Sebab itulah anak lesu.
Sebab itulah anak sukar beri tumpuan.
Sebab itulah anak khayal.
Sebab itulah anak ‘high’.

Tidak kasihankah kita kepada anak yang sama seperti penagih dadah?

Hentikan!

Hentikan terus skrin termasuklah TV.

Otak dan rutin anak perlu di ‘re-set.’ Bawa mereka keluar bermain. Lakukan aktiviti fizikal dengan anak. Bacakan buku untuk anak.

Main ‘lego’ sebagai ganti game, bacakan buku sebagai ganti tablet dan bersukan sebagai ganti TV.

Pakar psikologi perkembangan mengatakan perkembangan anak yang sihat melibatkan interaksi sosial, aktiviti kreatif dan imaginatif dan juga penerokaan alam sekitar.

IKLAN

Jika anak tidak pernah didedahkan kepada aktiviti lain selain dari gajet, tentulah anak tidak tahu alternatifnya.

Jangan mengalah dengan anak jika anak mengamuk dan berguling mahukan juga gajet. Kuasa terletak di tangan kita sebagai ibubapa, bukannya pada anak. Kita yang memulakan.

Kita yang menyebabkan ketagihan itu berlaku, maka kita yang bertanggungjawab menghentikannya.

Kita yang berbuat silap dalam permasalahan ini, itu sudah tentu.

Jangan berterusan dengan kesilapan itu hingga merosakkan fizikal, emosi, pertuturan dan kognitif anak hingga meninggalkan kesan yang berpanjangan.

Ya betul, kita ada hak ke atas anak-anak kita. Kita ada hak untuk melakukan apa saja.

Siapalah orang lain untuk mengkritik?

Siapalah guru yang hendak sibukkan diri dengan hal anak kita?

Jangan lupa, anak kita juga adalah sebahagian dari anggota masyarakat. Masyarakat juga ada hak untuk turut sama mendidik anak kerana kepincangan yang bermula dari kita akan merosakkan masyarakat juga dan bukan hanya anak kita di penghujungnya.

Hentikanlah sebelum terlambat.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Sumber: Parent Connect

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI