Mempunyai sikap tanggungjawab menjadi salah satu kunci kejayaan anak di sekolah dan dalam kehidupannya bila dia dewasa nanti. Kalau nak anak kita bijak, berdikari dan bertanggungjawab maka biasakan dia diasuh dengan nilai-nilai murni sejak kecil lagi.

Kadang-kala sikap ibu bapa yang tak mahu anaknya membuat kerja atau berdikari akan menjadikan anak tidak tahu bertanggungjawab dan terlalu manja. Anak yang bertanggungjawab biasanya akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Jadi macam mana cara nak didik supaya boleh berdikari dan bertanggungjawab?

Mula-mula sekali ayah kena mainkan peranan penting. Ayah kena jadi role model kepada anak kerana anak memerhati tingkah laku dan akhlak yang ditunjukkan oleh ayah. Ini antara perkara-perkara yang anda mesti ajarkan pada anak kalau nak mereka membesar sebagai anak yang bertanggungjawab dan berdikari.

1. Ajar anak solat dan mengenal Allah SWT dan Rasulullah s.a.w

Ini perkara asas paling penting yang ayah kena ajar pada anak. Kenalkan Allah dan Rasul kepada anak anda. Ajar mereka solat dan beritahu kenapa kita wajib bersolat. Ia satu tanggungjawab yang mesti dilakukan oleh semua hamba Allah. Bila anak tahu bersolat dan tahu solat itu wajib, Insya-Allah dia automatik akan jadi anak yang bertangggungjawab.

2. Ciptakan suasana keluarga yang bahagia supaya hubungan antara anak dan ibu bapa tetap terjaga dengan baik

Keluarga yang bahagia akan memberi kesan kepada perkembangan positif anak. Bila mereka selalu melihat kebahagiaan ibu ayah maka secara tak langsung si kecil mudah mendengar kata. Amalan makan sekeluarga, menonton TV sekeluarga atau beriadah sekeluarga antara perkara mudah yang boleh membentuk sikap tanggungjawab dalam diri si kecil.

3. Mengajar anak tentang sesuatu perkara yang baik dan buruk sehingga mereka dapat membezakan mana yang boleh dan tak boleh buat

Biasakan anak diberitahu tentang perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan. Berikan contoh dan kerap berpesan kepada mereka supaya sentiasa berbuat baik dan berusaha menjadi orang yang baik.

4. Didik anak bertanggungjawab menjaga semua barang kepunyaannya

Sejak kecil lagi biasakan anak tahu menjaga barang kepunyaannya. Contohnya kemaskan mainan selepas bermain, simpan kasut di rak kasut, dan lain-lain perkara mudah yang boleh menjadikan tanggungjawab itu satu kebiasaannya.

5. Ajar anak mengenal masa dan menghargainya

Disiplinkan anak untuk sentiasa menjaga masa. Mula-mula kenalkan jam dan masa kepada mereka dan beritahu kenapa pentingnya manusia menjaga dan menepati masa. Tunjukkan juga contoh anda seorang ayah yang menepati masa.

6. Biasakan anak pandai menggunakan masa dengan cara menyediakan jadual waktu kegiatan seharian

Untuk lebih memahamkan anak betapa pentingnya menjaga masa, sediakan jadual waktu untuknya. Dengan cara ini dia boleh lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

7. Memberikan tanggungjawab pada anak untuk membersihkan barang-barang kepunyaannya

Ajar anak supaya tahu menjaga dan membersihkan barang-barang kepunyaanya. Dengan cara ini dia akan sayang dan menghargai semua barang miliknya. Tanggungjawab ini penting supaya dia tidak mempersiakan barang yang orang beri kepadanya.

8. Didik anak mengakui kesalahan dan tidak berbohong

Ajar anak supaya sentiasa mengakui kesalahannya jika dia berbuat salah. Jangan takut untuk bercakap benar dan bertanggungjawab atas setiap perbuatannya.

9. Melatih anak tidur sendiri sejak kecil dalam biliknya sendiri

Ini juga satu cara ajar anak bertanggungjawab dan berani. Jika anak sudah ada bilik sendiri, sebaiknya ajar mereka tidur dan jaga bilik tidur mereka.

10. Mengajar anak cara membersihkan dirinya seperti mandi, menggosok gigi, mencuci tangan dan sebagainya

Kemahiran ini mesti diajar pada anak sejak kecil. Biarkan dia belajar berdikari dan bertanggungjawab menjaga kebersihan dirinya. Kalau anak nak buat sendiri biarkan sahaja tetapi anda pantau keselamatan mereka di bilik air.

11. Melatih anak memakai pakaian sendiri tanpa bantuan dan menyikat rambut

Biasakan anak dengan kemahiran ini sejak kecil lagi. Kalau mereka sibuk hendak pakai pakaian sendiri sejak usia kecil, biarkan sahaja. Jangan halang atau anda sendiri sibuk nak tolong buatkan. Walaupun silap pada awalnya tapi lama-kelamaan dia akan mahir.

12. Mengajar anak mengemas tempat tidurnya setiap kali selepas bangun dari tidur

Bila sudah tidur di bilik sendiri, ajar anak supaya kemas katil dan bilik mereka sebaik bangun dari tidur. Jangan manjakan anak dengan cara anda yang tolong kemaskan.

13. Mengajar anak untuk menolong membuat kerja-kerja rumah yang bersesuaian mengikut tahap usianya

Jangan biarkan anak duduk bersenang-lenang bermain game dan menonton TV sahaja. Biasakan mereka menolong ibu ayah membuat kerja-kerja rumah. Barulah anak ringan tulang dan tahu tanggungjawab!

14. Membiasakan anak untuk tidak malu meluahkan kasih sayang kepada ahli keluarga

Ayah, jangan malu beritahu isteri dan anak-anak yang anda sayangkan mereka. Bila anak tengok dan terbiasa dengan suasana ini, maka dia pun akan hargai ibu ayah dan adik-beradiknya serta tidak malu meluahkan kasih sayangnya.

15. Mengajar anak tentang adab sopan dan peraturan yang mesti dipatuhi dalam kehidupan

Sebagai ketua keluarga, ayah wajib mengajar anak tentang adab sopan dan peraturan penting yang mesti dipatuhi dalam kehidupan untuk menjadi orang yang berjaya dunia dan akhirat.

Okey semua ayah, pastikan anda ajarkan anak anda semua perkara ini kalau nak mereka bertanggungjawab nanti. Ingat, anak yang bertanggungjawab lebih berkeyakinan diri dan mudah berjaya dunia dan akhirat.

Rancangan realiti keibubapaan edutainment, Rockstar Junior Arrian dan Andra di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) setiap Rabu, jam 9 malam bermula 11 Oktober 2017  menampilkan kehidupan Tomok, isteri dan anak-anaknya termasuk interview eksklusif, tip keibubapaan dan cabarannya. Ia juga memuatkan perjalanan bagaimana Tomok mencipta single pertama yang diinspirasikan daripada anak-anaknya.

#RockstarJr #ArrianAndra

Tinggalkan Komen