Pentingnya belaian kasih sayang dari seorang ibu terhadap anak dari awal usia sehingga ia dikatakan mampu memberi kesan positif pada perkembangan bahagian otak si kecil.
Satu kajian yang dilakukan mendapati, pendidikan awal yang diterima oleh anak sejak awal usianya boleh membantu si kecil untuk membangunkan bahagian otak (hippocampus). Ia adalah bahagian otak yang penting untuk proses pembelajaran, daya ingatan dan tindak balas tekanan
Para penyelidik yang menjalankan kajian terhadap anak tikus mendapati belaian dan kasih sayang yang diberikan seawal usia anak, memberi kesan positif terhadap pertumbuhan hippocampal, penghasilan sel otak dan keupayaan untuk berurusan dengan stres.
Kajian terhadap anak manusia pula menemui perkaitan di antara pengalaman awal sosial dan jumlah amygdala, yang membantu mengawal pemprosesan dan ingatan reaksi emosi.
Banyak kajian juga mendapati kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang biasanya akan mempunyai prestasi yang baik ketika bersekolah dan mempunyai emosi yang baik.
Imej otak mendedahkan kasih sayang ibu secara fizikal memberi kesan kepada jumlah isipadu hippocampus (bahagian otak) anak.
Dalam kajian tersebut, kanak-kanak yang mendapat bimbingan ibu mempunyai isipadu hippocampal 10 peratus lebih besar berbanding kanak-kanak yang ibunya kurang memberi bimbingan.
Kajian telah mencadangkan satu hubungan antara hippocampus yang besar dengan daya ingatan yang lebih baik.
“Kami sekarang berkeyakinan memberitahu yang persekitaran psikososial mempunyai kesan material dalam pembangunan otak manusia,” kata Dr. Joan Luby, ketua penyelidik dan Pakar Psikiatris di Washington University School of Medicine di St. Louis, Mo.
“Sememangnya fakta betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak memberi kesan positif terhadap perkembangan mereka tidak boleh dipertikaikan lagi.”
IKLAN
Bagaimana Kasih Sayang Ibu Mengubah Otak Anak
Penyelidikan itu adalah sebahagian daripada projek berterusan untuk mengesan perkembangan kanak-kanak yang mempunyai kemurungan peringkat awal.
Luby dan para penyelidik mengukur sokongan keibuan yang anak – berusia antara 3 hingga 6 tahun dan mempunyai sama ada gejala kemurungan, gangguan psikiatri lain atau tiada masalah kesihatan mental – terima ketika itu yang dipanggil “waiting task.”
Penyelidik meletakkan ibu dan anak di dalam sebuah bilik bersama hadiah yang dibungkus menarik dan satu kaji selidik yang ibu perlu jawab. Kanak-kanak tidak dibenarkan membuka hadiah tersebut dalam tempoh lima minit – pada asasnya sehingga ibu mereka selesai menjawab soalan kaji selidik.
IKLAN
Sekumpulan pakar psikiatris, yang tidak tahu apa-apa tentang kesihatan kanak-kanak atau pembawaan ibu bapa, memberikan markah jumlah sokongan yang ibu berikan kepada anak masing-masing.
Seorang ibu yang betul-betul menolong akan memujuk si anak, menerangkan kepada anak yang mereka perlu menunggu beberapa minit untuk melihat hadiah tersebut dan dia faham situasi tersebut sangat mengecewakan anak.
“Tugasan itu menggambarkan situasi sebenar setiap hari,” beritahu Luby kepada LiveScience, bermakna ia memberikan gambaran kepada penyelidik berapa banyak sokongan yang diterima oleh anak di rumah.
Penyelidik Lihat Hasil Selepas 4 Tahun
IKLAN
Kini, selepas empat tahun berlalu, para penyelidik membuat imbasan MRI (magnetic resonance imaging) kepada 92 orang kanak-kanak yang melalui “waiting task” tersebut.
Dibandingkan antara kanak-kanak yang tiada kemurungan dengan sokongan keibuan yang tinggi, kanak-kanak tanpa kemurungan dengan sokongan keibuan yang rendah mempunyai 9.2 peratus jumlah hippocampal yang lebih kecil.
Sementara kanak-kanak yang kemurungan dengan sokongan keibuan yang tinggi dan rendah masing-masing mempunyai 6.0 dan 10.6 peratus jumlah hippocampal yang lebih kecil.
Walaupun 95 peratus ibu bapa dalam kajian itu adalah ibu kandung anak, penyelidik mengatakan bahawa kesan pendidikan di otak mungkin tetap sama untuk mana-mana penjaga utama kanak-kanak yang menerima rangsangan itu.
Luby dan pasukannya akan terus mengikuti perkembangan kanak-kanak tersebut sehingga mereka dewasa, dan bercadang untuk memerhatikan bagaimana bahagian otak lain turut terkesan oleh pendidikan ibu bapa semasa tahun pra sekolah mereka.
“Kini jelaslah, pendidikan awal yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bukan hanya baik untuk perkembangan anak, tetapi sebenarnya perubahan otak secara fizikal,” kata Luby.
Kajian ini telah diterbitkan secara online dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
Kesilapan Ibu Bapa Yang Jadi Punca Kematian Mengejut Bayi. Tahukah anda bahawa, Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) ialah kematian yang berlaku secara mengejut pada bayi.Ia biasanya berlaku tanpa apa-apa simptom yang jelas. Bayi boleh meninggal secara tiba-tiba sahaja ketika tidur. Meskipun ajal dan maut di tangan Tuhan, namun ada kalanya,kelalaian boleh menyebabkan anda menyesal seumur hidup.
Pelbagai kajian dilakukan oleh para saintis bagi mengenal pasti punca berlakunya kematian bayi secara misteri ini. Ada yang mengaitkannya dengan keadaan tempat tidur bayi, posisi tidurnya malahan ada juga yang mengaitkannya dengan jangkitan bakteria.
Kajian saintis, mendapati bahawa kehadiran bakteria turut memainkan peranan penting sebagai penyebab berlakunya SIDS. Didapati bahawa gabungan bakteria jenis Staphylococcus dan Enterobakteria yang menghuni bahagian hidung dan tekak boleh menyebabkan SIDS. Sebenarnya, sindrom ini boleh dicegah daripada berlaku. Ibu bapa mempunyai peranan besar untuk memastikan keadaan bayi mereka terutamanya ketika tidur.
Namun apa yang pasti gejala SIDS ini biasanya melibatkan bayi di bawah usia satu tahun. Menurut perangkaan, satu daripada 1,000 bayi meninggal dunia disebabkan sindrom tersebut setiap tahun. Kematian sebegini mendapat perhatian daripada ibu bapa di seluruh dunia.Di Scotland misalnya, kempen yang diadakan untuk memerangi sindrom tersebut menyaksikan pengurangan kes daripada 140 pada tahun 1989 kepada 50 pada tahun 1996.
Antara berikut yang dikatakan 5 punca kepada kematian mengejut bayi yang perlu ibu bapa beri perhatian.
1.Persekitaran
Pastikan bahawa keadaan persekitaran bilik tidur bayi sentiasa bersih dan bebas daripada mikroorganisma berbahaya. Pencahayaan dan sistem peredaran udara di dalam bilik tersebut perlu berada dalam keadaan yang sesuai. Edaran udara yang tidak sempurna, memungkinkan pengumpulan mikroorganisma tersebut. Juga, pastikan bilik anak tidak dipenuhi dengan terlalu banyak hiasan kerana ia boleh mengumpul habuk dan mikroorganisma dan tidak sihat untuk pernafasan serta kesihatannya secara menyeluruh.
2.Posisi tidur
Bayi yang tidur dalam posisi meniarap lebih mudah diserang SIDS berbanding bayi yang tidur secara terlentang. Kerana tidur secara meniarap membuatkan bayi sukar bernafas dan akhirnya menyebabkan kematiannya. Tambahan pula jika hidungnya tertindih dengan bantal (elakkan penggunaan bantal semasa tidur meniarap).
3.Botol susu di mulut
Sebelum tidur, pastikan tiada sebarang sisa minuman di dalam mulutnya, dengan kata lain jangan biarkan bayi tidur dengan botol susu di mulutnya. Jika bayi tersedak akibat meminum banyak air, ia sudah pasti akan membahayakan mereka. Gunakan cara lain untuk menidurkan mereka. Juga pastikan sendawa bayi terlebih dahulu untuk memastikan dia tidak termuntah susu semasa tidur.
4.Jangan tidur bersama
Sesetengah ibu, kerana risaukan keadaan bayi mereka ketika tidur memilih untuk tidur bersama bayi mereka. Langkah ini adalah salah dan sangat berisiko kerana bayi mungkin terhimpit terutamanya jika tilam yang digunakan adalah tilam jenis lembut. Ada baiknya sekiranya anda tidur berasingan dalam bilik yang sama. Di samping selamat ia memudahkan anda melihat keadaannya ketika tidur.
5.Beri ruang
Ada ibu yang gemar meletakkan terlalu banyak bantal dan permainan dalam katil si bayi. Perbuatan ini patut dihindari kerana ia akan melemaskan bayi tanpa disedari. Gunakan bantal seminimum mungkin (atau tanpa bantal langsung) supaya bayi selesa ketika tidur. Pastikan bayi tidur dalam keadaan yang terlentang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak saya berusia 12 bulan. Memang dari newborn kalau tiada orang, dia merengek. Smpai sekarang. Tak boleh ditinggal. Saya memang tak boleh buat kerja apa pun. Saya cuba konsep bagitahu anak sebelum ke mana-mana seperti nak pergi toilet tapi dia menangis juga. So saya kena bawa. Saya pernah biarkan dia menangis, saya buat kerja . Tapi tiada respon yang positif. Kalau ikutkan, saya dulu memang macam anak saya sekarang: tak boleh berenggang dengan ibu saya. Adakah itu personaliti semula jadi?.
Jawapan:
Tak tersebut oleh saya betapa teramat kerapnya saya menerima soalan seumpama ini hingga saya tertanya, apa yang buat ramai ibu seperti ‘takut’ dan merasa terancam dengan tangisan anak? Bagaimana harus saya buat ibu merasa selesa berdepan dengan anak yang menangis?. Baik, saya bentangkan fakta konsep tangisan berikut agar ibu faham. Jadi sila beri perhatian penuh
Pada usia 1-3 bulan: tangisan berada dalam bentuk reflek. Bermaksud bayi tak berfikir atau belajar untuk menangis. Mereka ‘just do it’. Ia dikawal oleh ratusan reflek yang membantu keseluruhan operasi sistem badannya. Sebab itu, amat biasa ibu berkata telah letih mendukung, memujuk tetapi bayi tetap menangis seolah tak perasan ibu dah cuba nak bantu tenangkan.
Selepas 4 bulan: tangisan perlahan-lahan berubah menjadi kelakuan sukarelanya. Maka amat biasa kita melihat bayi diusia ini seperti membuat proses ‘scan’ sebelum menangis bila cuba diambil individu asing.
dalam masa yang sama;
sehingga usia bayi 20 bulan: bayi mengalami 10 perubahan drastik neuron (otaknya di upgrade secara pesat) yang menyebabkan bayi lebih 3C: crying (menangis), clingy ( nak berdukung/tak boleh berpisah) & cranky (merengek).
Apa point penting di sini? :- Bermula usia 4 bulan,bayi mula memahami respon yang diterimanya dari setiap individu dan menggunakan pemahaman ini untuk menjustifikasi kelakuannya. Bayi mula bereksperimen dengan konsep autonomi (mengambil undang-undang ditangan sendiri) melalui cara mengawal beberapa aspek disekelilingnya.
Tak faham? Ok contoh begini: kerana ibunya seorang yang kalut dan segera datang bila dia menangis,maka bayi akan kerap mengguna tangisannya untuk menghalang ibu pergi. Sedangkan bila bersama pengasuh (yang berpewatakan lain dari ibunya),bayi lebih berkerjasama bila perlu diletakkan ,’diminta’ bermain sendiri atau bersama rakan.
Berbalik pada soalan puan. Kuat merengek sejak dilahirkan dan tak boleh jika tiada orang itu adalah salah satu ciri bayi ‘high demand’ (menuntut perhatian tinggi). Kesemua 12 ciri lengkap bayi high demand ini telah saya terang lengkap dalam buku tulisan saya, ‘mengapa bayi anda menangis’. Apa yang membuat bayi jadi high demand? Itu memang personaliti unik dimana dia diciptakan begitu. Ia bukan sesuatu yang bayi saja-saja pilih untuk jadi. Bayi yang sudah sedia kala berpersonaliti sukar sudah tentu makin memberi cabaran ketika memasuki fasa perubahan neuron yang saya sebut di atas.
Ibu Bapa Perlu Kawal Situasi
Baik, adakah personaliti anak dipengaruhi oleh personaliti ibubapanya semasa kecil? Tak semestinya walau ada kemungkinannya kerana ‘traits’ atau ciri itu ada dalam diri ibubapanya. Namun itu semua TIDAK PENTING. Apa yang penting? Cara bayi dibesarkan atau corak/gaya ‘parenting’ ibubapanya. Inilah yang membentuk sikap anak. Inilah yang saya maksudkan dalam contoh ibu kalut diatas.
Ya benar merengek,menangis dan bertantrum itu merimaskan dan meresahkan. Namun ibubapa perlu ingat,mereka adalah orang dewasa. Ibubapa patut jadi model tenang, terkawal dan rasional. Bayi dan anak kecil memang sudah pakar dalam bab melepas geram, membuat orang cemas dan berperangai tidak ‘cool’ langsung.Jadi, untuk apa ibubapa menjadi model dalam kelakuan yang sama?. Baca semula soalan itu baik-baik.
Sekarang jawab pula soalan ini, berapa ramai ibubapa yang boleh kekal terkawal dan rasional saat anak menangis dan merengek? Tidak ramai!. Ini lah masalahnya. Anak kecil yang belum faham ayat, adalah pembaca reaksi bahasa tubuh, intonasi,ekspresi wajah dan aura tenaga yang amat cekap. Jadi, tak kira walau anda telah membaca kesemua buku ‘parenting’ yang ada didunia ini,jika anda gagal dalam peraturan pertama menjadi ibubapa iaitu sentiasa mengawal diri dan cuba kekal rasional, ketahuilah,tidak banyak yang boleh anda ubah tentang anak anda.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana pakar psikologi mengkelaskan corak ‘parenting’ ibubapa kepada 3 golongan:
Ibubapa yang mampu membuat anak mendengar kata atau lebih berkerjasama ialah ibubapa yang konsisten. Tidak kira dalam apa situasi, ibubapa ini fokus dengan misi yang ingin dicapai. Berbalik lagi kepada soalan puan, ada disebut puan amalkan cara memberitahu sebelum kemana-mana sebagai salah satu langkah yang sering di saran pakar perkembangan kanak-kanak sebagai cara melatih mengurangkan rengekan anak kerana ibu tidak ‘hilang’ dengan drastik. Ya tahniah atas usaha puan ini. Persoalannya, sejauh mana puan konsisten bukan sahaja dari cara memberitahu setiap kali ingin beredar, tapi juga dari segi berapa konsisten respon/reaksi puan setelah bersatu semula dengan anak?. Adakah puan bersatu dalam keadaan ‘energy level’ cemas dan rasa bersalah kerana beredar dari anak? Atau adakah ‘energy level’ puan neutral dan terkawal?.
Tak Perlu Risau Jika Tak Mudaratkan Bayi
Mari lihat pula situasi dimana puan terpaksa membawa anak masuk ke dalam tandas kerana anak menangis. Soalan pertama saya, adakah puan rasa anak menangis ketika itu sebab cedera, dalam kesakitan atau dia cemas/memprotes kerana puan perlu hilang sebentar ke tandas?. Saya amat yakin puan tahu benar jawapannya.
Jadi adakah perlu untuk puan cukup cemas hingga terpaksa membawanya masuk ke dalam tandas?. Membawa anak masuk bersama-sama ke dalam tandas untuk menunaikan hajat atau mandi bukan satu kelaziman (melainkan dalam situasi seperti anda berdua di tandas awam dimana meninggalkan anak akan merisikokan anak hilang). Sudah tentu ibu perlu bijak dalam soal mencari masa sesuai untuk urusan tandas atau alih perhatian anak dengan memasang tv atau meletak mainan untuk membeli masa. Namun, apa perlunya cemas jika ia sekadar beberapa minit? . Tak kira berapa kuat dia menangis, selesaikan urusan anda dan keluar kepadanya dalam keadaan terkawal seperti ‘tiada apa yang perlu dirisaukan wahai anak’ atau jika tidak,anak akan belajar bahawa dia hanya perlu menjerit sekuat hati dan ibu pasti akan mengheretnya kemana saja hatta ke tandas!.
Saya selalu berkata pada ibubapa, fahamlah, menangis bukan selalu bererti anak dalam kesakitan dan kecemasan hingga perlu di ‘selamatkan’. BUKAN SEMUA TANGISAN PERLU DIHENTIKAN tak kira berapa teruk ia kelihatan!. Ya,anak mungkin menangis teresak-esak, ‘hilang suara’ atau muntah. Semua ini fenomena biasa dan selalunya tidak merbahaya. Ibu perlu tahu beza tangisan sebenar atau manipulasi. Saya yakin semua ibu tahu. Tetapi sebahagian ibubapa memilih untuk tunduk pada anak lalu menyampaikan mesej yang salah atau campur aduk pada anak.
Bagi Anak Faham Secara Berperingkat
Ada banyak cara untuk buat anak rasa disayangi tanpa ibu perlu tunduk pada anak. Contoh cara?. Baik,mari ambil situasi melatih anak duduk di ‘car seat’ . Amat biasa anak memprotes,menjerit, meronta malah hingga terbatuk-batuk muntah,kan?. Apa yang perlu ibu lakukan diawal proses ialah memberitahu anak bahawa anda mahu meletaknya di ‘car seat’. Kemudian, teruskan saja perjalanan walau anak mula menangis. Anda tentu lebih tahu anak menangis kerana ingin berlepas diri dari ‘car seatnya’ semata-mata. Tenangkan anak dengan kata-kata atau nyanyian. Jika amukan anak makin teruk dan anda sukar fokus, berhentikan kenderaan di tempat selamat dan tenangkan anak dengan cara anda. Setelah reda,letak kembali anak di ‘car seat’ nya dan teruskan semula perjalanan. Ya, ia mungkin memerlukan anda mengulangi hal ini beberapa kali pada setiap kali dan mengambil masa yang lama pula. Namun untuk mengalah melatih anak duduk di ‘car seat’ dan mula mengamalkan memangku anak hanya kerana dia benci ‘car seat’nya adalah salah. Anda perlu jadi orang dewasa dalam hal ini hingga anak tahu dia tidak akan menang dalam permainan protes ini.
Percayalah, dengan berlaku konsisten, anak tidak perlu masa yang lama untuk terima pelajaran ‘car seat’ ini. Sama juga dengan banyak lagi pengalaman pelajaran hidup yang lain seperti mencerai puting,mencerai buaian, belajar tidur sendiri, mencerai lampin (potty training), berkongsi mainan, mendisiplin perangai buruk anak, memasuki ‘daycare’ (berpisah dengan ibubapa), menaiki basikal dan banyak lagi. Adakah ibubapa perlu menghentikan anak dari terus belajar berbasikal hanya kerana dia pulang dengan luka dan darah serta menjerit kesakitan misalnya?. Adakah ibu perlu segera berhenti kerja kerana anak menangis setiap kali dihantar ke penjaga misalnya? Adakah anak tak perlu masuk sekolah hanya kerana dia menangis teresak-esak bila ibunya beredar misalnya?.
Kesemua situasi diatas ialah contoh respon stress positif. Dengarkan ini, SEMUA bentuk respon stress positif amat diperlukan untuk anak jadi manusia normal. Bagaimana? . Emosi dan memori manusia dikawal oleh bahagian otak yang di panggil sistem limbik. Perkembangan sistem limbik amat bergantung kepada pengalaman. Untuk membentuk sistem limbik yang normal, anak perlu ada pengalaman interaksi sosial yang NORMAL sesama rakan dan ibubapa. Apa dia pengalaman interaksi sosial yang normal ini?: IANYA SEMUA PERASAAN YANG MANUSIA BIASA PATUT RASA seperti gembira, sedih, kecewa, cemas, geram, lega dan macam-macam lagi. Jadi jelas, ibu bukan untuk memperisai anak dari semua rasa tak seronok. Ibu bukan untuk hentikan setiap tangisan, baiki perasaan anak, alih rasa sebenar anak apa lagi tidak mengendahkannya. Perasaan itu wujud.
Anda perlu buat 3 hal ini sahaja: 1. sahkan perasaan itu. 2. biar anak merasakannya dan 3. bantu dia laluinya. Contoh?. Bila anak menangis setiap kali anda perlu pergi katakan: “Adik sedih. Adik sedih mama pergi.Mama pergi 5 minit je ok..?”. Pergi terus tanpa rasa bersalah. Kembali seperti yang dijanjikan dan tenangkan anak dengan energy level yang neutral dan bukan dengan sebaliknya rasa bersalah seperti,” sorry sayang. kesian anak mama kena tinggal..” .
Adakah anak akan serta merta ok dan tak lagi merengek ? Tidak. tetapi seiring masa, pengalaman demi pengalaman, anak akan lebih pandai menghadapinya. Inilah cara sistem limbik ini berkerja. Jadi, bagaimana anak boleh cekap untuk hadapinya jika tidak diberi peluang demi peluang?.
Adakah anak stress sepanjang proses ini? Ya. Ianya stress positif yang saya sebut diatas. Jenis stress ini tidak memudaratkan. Malah diperlukan untuk anak berkembang. Bagaimana kita dapat tahu ini?. Kerana hormon stress iaitu cortisol boleh dikesan melalui air mata dan air liur. Cortisol bukanlah buruk semata-mata. Ia sangat diperlukan untuk survival. Ia benarkan kita untuk hadapi stress dan pulih dari stress. Sebagai contoh, terdapat satu kajian di mana sekumpulan bayi ‘newborn’ dihadapkan dengan beberapa ujian fizikal selama 2 hari berturut. Pada hari pertama, bayi menangis dan kadar cortisol yang direkodkan adalah tinggi. Pada hari kedua, bayi masih menangis sama banyak seperti hari pertama, tetapi tiada peningkatan dalam paras cortisol. Ia menunjukkan bayi kenal pengalaman sebelum ini (pada hari pertama) dan pengalaman itu bantu bayi pulih dan belajar dari pengalaman. Bayi kini menangis kerana marah dan tak selesa tetapi bukan kerana tekanan emosi. Sama halnya bila kajian diulang terhadap situasi bayi mendapat suntikan imunisasi. Jelas,stress bukan satu masalah. Cortisol juga bukan satu masalah melainkan jika ia terus meningkat dalam satu tempoh yang panjang seperti dalam kes anak mangsa dera.
Saya berharap,dengan maklumat ini,ibu akan lebih selesa menghadapi tangisan anak. Ada banyak tip untuk mengurangkan rengekan termasuk permainan yang dapat meningkatkan keyakinan diri anak,yang ditulis ramai pakar kanak-kanak bagi membantu ibubapa. Pada akhirnya, ibubapa yang paling layak menentukan kejayaan yang ingin dilihat pada diri anak masing-masing.
Ramai netizen suka tengok gelagat si comel Aaisyah anak Che Ta yang petah bercakap dan senang bergaul. Sejak bayi lagi kehadiran Aaisyah mendapat perhatian daripada ramai peminat.
Dengan wajah comel dan pelbagai keletahnya yang lucu dan suka meniru aksi orang dewasa terutamanya bab bermekap dan melawa, kehadiran video Aaisyah di laman Instagram Che Ta dinantikan ramai pengikutnya.
Walaupun Che Ta yang ditemubual semasa majlis pelancaran pelantikan dirinya sebagai duta produk serum Nell Aesthetica, mengakui dia jarang berkongsi video melakukan aktiviti bersama Aaisyah.
Ini bukan bermakna dia tidak meluangkan masa bersama si kecil tetapi ketika bersama anak, Che Ta memberitahu dia tak sempat nak merakamkan semua aktiviti yang dia buat bersama Aaisyah. Katanya juga masa buat aktiviti dengan anak dia tak nak pegang handphone sebaliknya lebih memberi fokus pada Aaisyah.
“Celik mata sejak baby lagi dia tengok mak dia tengah mekap je, so dia pun terikut la suka meniru kita,” ujar Che Ta ketika diajukan persoalan tersebut.
Seronok melihat Aaisyah yang petah bercakap dan banyak soalan yang keluar dari mulut comel tersebut. Selain petah bercakap, tutur percakapannya juga tidak pelat sama sekali bahkan dia juga seorang kanak-kanak yang periang, peramah dan mempunyai kemahiran sosial yang bagus.
Kalau diperhatikan, memang sejak Aaisyah bayi lagi Che Ta sudah membiasakan anaknya bergaul dengan ramai orang termasuk rakan-rakan Che Ta sendiri.
Bahkan Che Ta juga seorang ibu yang banyak memberi pendedahan dan peluang kepada anaknya untuk bereksplorasi dengan persekitarannya. Jika mengikut kaedah merangsang perkembangan anak dari sudut pendidikan awal kanak-kanak, Che Ta telah melakukan cara yang betul dengan tidak pernah memaksa anaknya untuk belajar membaca dan menulis dengan cepat.
Membiarkan anak mahir dengan survival skill terlebih dahulu sebelum mengajarnya membaca dan menulis adalah cara yang tepat kerana tidak mengganggu proses perkembangan anak mengikut fasa yang betul.
Sekarang Aaisyah Dah Ke Tadika
Walaupun kelihatan sibuk bermekap dan menyanyi tetapi Aaisyah juga sama seperti rakan-rakan sebayanya yang lain. Walaupun sibuk dengan urusan kerjayanya, Che Ta tetap menyediakan masa untuk Aaisyah belajar mengaji dengan memanggil ustazah datang mengajar.
Ramai juga netizen yang bertanya mengapa Che Ta tidak bercakap dalam bahasa Inggeris dengan Aaisyah seperti kebanyakan anak selebriti lain.
“Aaisyah kat rumah cakap banyak bahasa. Dengan maid dia cakap bahasa Indonesia tapi abang-abang dia memang cakap English dengan dia cuma dia je tak nak balas cakap English tapi dia faham. Sekarang dia dok sibuk nak cakap Cina pulak sejak dah masuk tadika Cina,” cerita Che Ta yang menghantar Aaisyah ke tadika bahasa Mandarin.
Sumber: rozitachewan1 & aaisyahdhiarana
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!