Awas bila nak bawa bayi mandi di kolam awam pada musim raya ini. Tempat tertutup yang sibuk juga tingkatkan risiko jangkitan paru-pau bayi. Hati-hati mama papa!

Bayi mempunyai antibodi yang masih lemah. Mereka sangat mudah mendapat jangkitan. Jangkitan paru-paru selalunya terjadi melalui pemindahan cecair ataurembesan pernafasan daripada pesakit yang mengalami simptom seperti batuk, selesema dan demam.

Oleh itu, elakkan bayi daripada berada di dalam tempat yang tertutup dimana terdapat ramai orang yang mungkin tidak begitu sihat. Ini adalah antara faktor risiko yang kerap dikaitkan dengan jangkitan paru-paru.

HATI-HATI KE KOLAM RENANG AWAM

Walaupun jarang berlaku, terdapat juga sebahagian kuman yang boleh merebak melalui air sekiranya air tercemar oleh sisa kumuh manusia atau haiwan seperti tikusJangkitan boleh berlaku sekiranya bayi tertelan atau tersedut air ke dalam sistem pernafasan.

Oleh itu, langkah-langkah  harus diambil untuk memastikan kebersihan air kolam  terjamin dari pencemaran dan memantau bayi semasa aktiviti berenang agar tidak tertelan atau tersedut air kolam.

MANDI MALAM DAN ASMA

Penyebab jangkitan ialah kuman sama ada virus atau bakteria yang berjaya masuk ke dalam sistem pernafasan manusia dan menyebabkan radang pada paru-paru. Ramai yang mengatakan mandi malam bukanlah penyebab langsung penyakit asma dalam kanak-kanak.

‘Bronchial asthma’ atau asma merupakan penyakit yang  boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor (multifactorial). Sebahagian faktor risiko asma termasuk faktor keturunan atau genetik, gaya hidup seperti aktiviti fizikal, tabiat pemakanan, tabiat merokok, faktor persekitaran seperti habuk atau debu, dan juga faktor alergi seperti alahan kepada makanan atau bahan tertentu. Sekiranya anak puan menghidap asma, suhu persekitaran yang sejuk atau penggunaan air sejuk mungkin boleh merangsang serangan asma. Jadi, anda bolehlah menggunakan air suam untuk mandi pada waktu malam.

Malahan semasa menghidap jangkitan sistem pernafasan seperti ‘rhinitis’ (jangkitan selsema) , ‘pharyngitis’ (jangkitan tekak), anak yang tiada penyakit asma juga boleh mengalami kesukaran pernafasan disebabkan hidung tersumbat dan kahak yang lebih banyak dan pekat sekiranya dalam kesejukan.

TERAPI NEBULIZER, FAHAMI FUNGSINYA

Terapi nebulizer (nebulized medication) merupakan salah satu rawatan yang diberikan untuk pelbagai jenis penyakit/jangkitan sistem pernafasan seperti bronchiolitis, bronchitis, pneumonia, asma dan lain-lain. Pelbagai jenis ubat-ubatan boleh digunakan menerusi terapi nebulizer mengikut preskripsi doktor bergantung kepada jenis penyakit yang dirawat.

Antara kesan yang paling  ketara ialah ianya boleh membantu mengurangkan pengeluaran kahak, mencairkan kahak, dan juga membantu mengurangkan radang pada rongga pernafasan. Selain penyakit asma, kebanyakan masalah dan jangkitan paru-paru dikalangan kanak-kanak merupakan penyakit yang tidak kronik. Oleh itu penggunaan terapi nebulizer untuk penyakit-penyakit berkenaan tidak akan menyebabkan kebergantungan pesakit kepada nebulizer.

Walaubagaimanapun, sekiranya pesakit yang menghidap asma tidak menerima rawatan asma yang bersesuaian dan asma tidak dikawal dengan baik, pesakit tersebut boleh sering mendapat serangan asma yang teruk dan  akhirnya kerap memerlukan terapi nebulizer.

Secara ringkasnya, penyakit asma yang tidak dikawal dengan baik lah yang menyebabkan pesakit terpaksa seringkali mendapatkan rawatan nebulizer.

Tinggalkan Komen