Demam berulang semasa hamil seharusnya tidak dipandang mudah kerana ia mungkin boleh jejaskan janin.

Ada sesetengah ibu yang kerap mengalami demam semasa hamil perlu bertindak segera agar janin dalam kandungan tidak terjejas. Apakah puncanya dan apa yang boleh dilakukan ibu untuk mengelakkan diri daripada selalu mengalami demam?

RAWATAN SEGERA
Menurut Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban jika suhu badan meningkat 38°C ketika hamil di trimester pertama, pemeriksaan segera amat diperlukan. Suhu badan yang tinggi dikatakan mengganggu protein dalam pembentukan organ dan tumbesaran janin. Suhu badan yang tinggi daripada demam dan sauna pernah dikaitkan dengan masalah spina bifida dalam janin.

Di trimester kedua dan ketiga, masalah demam selalunya tidak akan memberi kesan bahaya kepada janin tetapi tidak bermakna ibu tidak perlu berjumpa doktor. Segera dapatkan rawatan jika demam berlarutan atau berulang-ulang.

PUNCA KEBANYAKAN KES DEMAM SEMASA HAMIL
Secara amnya kebanyakan kes demam ketika hamil adalah disebabkan oleh:

-Batuk selesema.
-Jangkitan tekak, tonsil dan telinga.
-Cirit-birit atau keracunan makanan.
-Semua kes-kes di atas kadang-kala pulih dengan sendiri ataupun sembuh menerusi ubat yang dibekalkan oleh doktor puan.

PUNCA DEMAM BERULANG SEMASA HAMIL
Kes-kes demam yang berulang-ulang pula mungkin disebabkan oleh:
1. Jangkitan tekak, telinga atau di dalam pundi air kencing.
2. Masalah radang misalnya radang sendi atau tulang.
3. Masalah hormon tiroid (hyperthyroidism)
4. Masalah autoimmune disease seperti rheumatoid athritis dan lupus.
5. Masalah darah beku ketika hamil (deep vein thrombosis).

PERLU TAHU PUNCA DEMAM
Kes-kes seperti yang dinyatakan ini memerlukan rawatan doktor dengan segera. Kes-kes sebeginilah yang sering menyebabkan pesakit mengalami demam yang berulang-ulang. Oleh itu ibu hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan meminta beliau melakukan penyiasatan terperinci untuk mencari punca sebenar demam. Pemeriksaan mungkin mengambil masa tetapi langkah ini perlu dilakukan untuk kesihatan ibu dan keselamatan si bayi dalam kandungan.

 

Tinggalkan Komen