Setiap kali tibanya Ramadan, pasti ada ibu bapa yang menjanjikan ganjaran untuk anak jika dapat berpuasa penuh. Cara ini sebagai cara memotivasi dan menaikkan semangat anak. Sebenarnya terpulang pada ibu bapa asalkan ia memberi kebaikan.
Bagaimanapun pelakon, Datuk Aaron Aziz pula tidak pernah mengamalkan langkah memberi ganjaran seperti wang atau hadiah dalam menggalakkan anak-anaknya berpuasa penuh dalam bulan Ramadan.
Sebaliknya kata Aaron, dia sentiasa mengingatkan mereka mengenai tujuan sebenar berpuasa dan keberkatan yang diperoleh sekiranya ia dilakukan kerana Allah tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Saya sering beritahu mereka kalau tak boleh buat untuk Allah, macam mana Allah hendak dengar apa permintaan kita?
“Saya tidak amalkan ganjaran tetapi sentiasa ingatkan berpuasa di bulan Ramadan adalah diri mereka dengan Tuhan,” katanya.
Bagaimanapun kata Aaron, itu bukan bererti dia menentang sekiranya ada ibu-bapa memberi ganjaran dalam menggalakkan anak-anak mereka berpuasa.
“Tiada apa yang betul dan salah dalam memberi motivasi kepada anak-anak dan setiap orang ada cara masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aaron mengakui dia seorang bapa yang tegas terhadap tiga anaknya setiap kali tiba bulan Ramadan kerana tidak mahu mereka ambil acuh tak acuh mengenainya.
Kata Aaron, dia mendidik mereka agar berpuasa seawal usia tujuh tahun kerana ingin mereka membiasakan diri dengan rukun Islam yang ketiga itu.
“Dua anak saya mula berpuasa ketika mereka berusia lapan tahun manakala yang bongsu tujuh tahun.
“Sebagai bapa saya memang tegas tentang berpuasa dan tidak mahu mereka ambil sambil lewa akan perkara itu.
“Sementara mereka masih kecil, saya mahu tegas tentang soal itu agar mereka terbiasa dengan tanggungjawab sebagai seorang Islam,” katanya.
Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Datin Diyana Halik, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 13, Dwi Ariana, 11, dan Dahlia Arissa, 7.
Sumber: mstar & instagram Aaron Aziz
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nasihat Ustazah Isfadiah, Manjakan Anak Tak Salah. Cuma Bila Manja Mengada-Ngada Jangan Dibiarkan.
Anak suka bermanja tu tak salah. Namun, adakala memang buntu dibuatnya bila anak terlampau manja dan mengada-ngada. Serba serbi nak ikut kehendak dan kemahuan dia. Seringkali juga terfikir adalah kesilapan dalam mendidik anak-anak, kekurangan skil keibubapaan menjadi punca anak berperangai begini.
Berikut merupakan perkongsian yang dikongsikan oleh Ustazah Isfadiah. 3 sebab yang menjadi punca anak jadi manja mengada-ngada sebagai panduan bersama.
Anak-anak dilahirkan dalam keadaan pasrah dan tersedia untuk dibentuk. Manja dan mengada-mengada bukanlah sifat aslinya. Dia lahir bersih dari sifat-sifat itu. Kalau anak manja mesti ada yang memanjakan, kalau anak mengada-ngada mesti ada yang suka melayan kemengadaannya.
Namun manja tidak salah kerana melalui sifat manja dia bersedia menzahirkan emosinya yang ingin dibelai dan dikasihi. Anak yang manja ada potensi untuk dibangunkan kecerdasan emosinya, kita boleh sarankan dia meletakkan dirinya di tempat orang lain lantas memupuk empati diri.
Yang agak merisaukan adalah bila manja membawa kepada mengada-ngada, semoga saranan berikut dapat membantu ibubapa mengesan sebab kenapa anak-anak menjadi manja mengada-ngada tak dengar kata.
Ikut Cakap Anak
Kesannya anak merasakan suaranya mempunyai kuasa arahan dan ibu atau bapa WAJIB dengar arahan tersebut. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika setiap jeritannya dan tangisannya akan disusuli dengan kepatuhan ibu dan ayah. Apa sahaja yang dingini anak akan dituruti oleh si ibu atau si ayah.
Cara Terbaik: Biasakan anak sabar menunggu, di saat dia meminta sesuatu jelaskan padanya apa yang diingininya perlu melalui proses persediaan, kalau perlu terangkan langkah-langkahnya terangkanlah.
Contoh: Nak buat air susu; harus dimulai dengan mencari botol susu terlebih dahulu diikuti dengaan cuci dan rebus dalam air mendidih, perlu masak air dan jadikan suam kuku sebelum dicampur dengan susu.
Ada masanya libatkanlah anak dalam mana-mana langkah yang sesuai dengan tahapnya seperti mencari botol susunya, atau langkah terakhir menggoncang campuran susu dalam botol.
Serba Salah Nak Tegur Dan Tegah Anak
Perasaan ini menyebabkan anak rasa apa yang dilakukannya adalah ok. Diam kan tandanya setuju. Sedari kecil anak perlu diajar tentang apa yang salah dan apa yang betul, jika panjat meja adalah etika yang salah segeralah sampaikan maklumat tersebut pada anak, sama ada mengangkatnya turun dari meja atau kenalkan padanya tentang perbuatan itu salah atau beri alternatif aktiviti yang lain.
Anggap Anak Kecil Lagi
Anggapan ini menyebabkan kita ambil mudah potensi berdikari pada diri anak. Mengharapkan anak akan faham bila dewasa nanti dan mengambil alih potensi mandirinya akan menjadikan anak itu terbiasa jadi “tuan” serta tidak kenal keupayaan diri.
Anak yang biasa dengan kerja di rumah, diberi kepercayaan untuk mengurus dan membersihkan dirinya di samping ibubapa sebagai pemantau yang rapi, akan menjadi anak yang matang dan berjiwa pemimpin.
Semoga Allah pandang dan sayang usaha kita.
Sumber: Ustazah Isfadiah/ragamanak.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Guna 7 Cara Ini Untuk Elak Mama Papa Jadi Singa Bila Anak Mengamuk, Kaedah Psikologi Tanpa Perlu Pukul & Cubit
Bila anak mengamuk, mama papa boleh jadi singa. Sebenarnya ia boleh dielak, ada 7 tip ini boleh diguna, yang penting ia bukan pukul dan cubit. Bab taktik psikologi ini semua ibu ayah perlu terror!
Kita sering lihat kanak-kanak kecil menjerit dan menangis sambil menghentak-hentakkan kaki jika tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Jika dipujuk dan dijanjikan untuk memenuhi keinginan mereka, maka berhentilah mereka daripada membuat perangai.
Namun, kejadian anak membuat perangai atau tantrum pasti akan berulang. Adakah betul cara si ibu tersebut menangani tantrum anak? Ketahui tips yang betul tentang bagaimana untuk bertindak jika anak menunjukkan tantrum. Cara ini boleh digunakan tidak kiralah di manapun anak anda menunjukkan tantrum; baik di rumah mahupun di tempat awam.
7 PERKARA INI ELAKKAN TANTRUM
Jika boleh, cuba untuk mengelakkan tantrum. Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi mengurangkan tantrum daripada berlaku:
- Kurangkan tekanan. Kanak-kanak yang penat, lapar dan terlebih rangsangan lebih mudah untuk menunjukkan tantrum
- Berikan perhatian yang positif. Jika anak anda menunjukkan perilaku yang baik, berikan pujian dan perhatian kepada kelakuan positif
- Fahami perubahan emosi anak. Kenal pasti perubahan mood mereka. Anda boleh bercakap tentang perubahan mereka dan membantunya untuk menguruskan perasaan. Jika anda dapat mengenali lebih awal akan perasaan mereka, anda boleh cuba untuk mengalih perhatian kanak-kanak daripada melayani emosi mereka yang tidak stabil
- Cuba berikan kanak-kanak kawalan untuk sesetengah perkara. Tawarkan sedikit pilihan seperti “Adik nak jus oren atau jus epal?” ataupun “Adik nak berus gigi sebelum mandi ke ataupun selepas mandi?” Dengan cara ini anda membantu anak anda untuk memilih, berbanding dengan jika anda bertanyakan “Adik nak berus gigi sekarang?”- yang jawapannya sudah tentu “taknak”
- Kenal pasti punca tantrum. Contohnya, si kecil mungkin akan mengalami tantrum semasa anda berada di pusat membeli-belah. Jadi, anda boleh rancang lebih awal untuk menghadapi kemungkinan situasi tersebut atau menukar persekitaran bagi mengelakkan tantrum. Sebagai contoh, mungkin anda boleh pergi ke pusat membeli-belah selepas waktu meridap anak anda ataupun selepas mereka menikmati snek
- Alih perhatian anak anda. Ambil peluang untuk mengubah sekejap perhatian anak anda dengan cara menawarkan mereka benda lain. Mulakan aktiviti baru untuk menggantikan barang yang mereka tidak dapat
- Bercakap tentang emosi dengan anak anda. Apabila anak anda berperang dengan emosi sendiri, galakkan mereka untuk bercerita tentang perasaan yang mereka alami dan puncanya. Contohnya, “Adik buang mainan tu sebab apa? Dah tak boleh guna? Apa lagi yang adik boleh buat?”
KALAU DAH ANAK TANTRUM, APA PERLU IBU AYAH BUAT?
Tantrum akan tetap berlaku walau bagaimana cara pun anda cuba untuk mengelakkannya. Kadangkala ia di luar kawalan, ia perlu diakui! Berikut merupakan cara untuk membantu anda mengendalikan anak tantrum:
#1 Ambil masa untuk bertenang jika anda perlukannya. Situasi akan menjadi lebih sukar jika anda berada dalam keadaan marah. Tarik nafas dalam-dalam dan kawal emosi anda. Jika anda perlu bersuara, pastikan anda mengawal suara anda dan jangan melenting.
#2 Akui akan perasaan anak anda. Contohnya, “Adik kecewa kan tengok aiskrim adik jatuh?” Dengan cara ini, anda dapat membantu mengelakkan anak anda berkelakuan luar kawalan dan memberikan si kecil peluang untuk membetulkan semula emosinya
Tunggu sehingga anak habis tantrum sebelum mula bercakap. Dekati anak anda supaya dia tahu anda berada dengannya. Akan tetapi, jangan cuba untuk bertanyakannya sebab ataupun mengganggunya.
#3 Bertanggungjawab apabila perlu. Jika tantrum berlaku disebabkan anak anda mahukan sesuatu barang, jangan berikannya apa yang dia inginkan. Jika anak anda tidak mahu membuat sesuatu, gunakan pertimbangan anda. Contohnya, jika anak anda tidak mahu keluar dari bilik mandi, lebih selamat jika anda menarik keluar palam berbanding mengangkatnya keluar.
#4 Sentiasa konsisten dan bertenang dalam pendekatan anda. Jika kadangkala anda menurut kemahuan anak semasa dia menunjukkan tantrum, dan adakalanya tidak mahu mengikut kehendaknya, maka masalah akan menjadi lebih teruk.
#5 Jika anak anda berada di luar kawalan, pegang anak anda erat-erat dan tenangkannya. Beritahunya bahawa anda sayangkannya dan tidak akan memberikan apa yang dia mahukan. Biar anak anda tahu bahawa tantrum bukanlah perlakuan yang baik. Jika ia masih tidak membantu, keluarkannya daripada situasi itu dengan cara meletakkannya pada fasa time-out untuk membiarkannya bertenang.
#6 Apabila anak anda berkelakuan baik, berikannya ganjaran berbentuk pujian.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Kecil Pun Boleh Stres. Jika Anak Ada 7 Tanda Ini, Ibu Jangan Ambil Mudah!
Siapa kata anak kecil tak mengalami stres? Mungkin kita yang tidak perasan kerana kita terlalu sibuk menguruskan keluarga setiap hari.
Menurut Dr Putri Afzan Maria Zulkifli, hampir 1juta orang kanak-kanak di Malaysia mengalami stres. Beliau menjelaskan bahawa hal ini amat membimbangkan memandangkan 90% bahagian otak terbentuk dari 0 hingga 6 tahun. Manakala 10% lagi, yang melibatkan kognitif akan mula terbentuk pada umur 7 tahun, sehinggalah anak anda berumur 23 tahun.
Oleh itu, penting untuk kita mengesan tanda stres pada anak, terutamanya anak-anak di bawah usia 6 tahun.
Berikut adalah 7 tanda stres pada kanak-kanak yang tak patut dipandang ringan oleh ibu bapa yang dikongsikan oleh zuriat.my
- SERING BERMIMPI BURUK
Semenjak kebelakangan ini, adakah anak anda kerap menjerit ketakutan atau mengigau dalam tidur? Mimpi ngeri sekali-sekala adalah biasa. Tetapi jika terlalu kerap, ia mungkin tanda stres disebabkan suatu kejadian sehingga menyebabkan trauma seperti dibuli atau terlihat kemalangan.
Pujuk anak untuk berkongsi pengalaman tersebut dan bantu mereka untuk melupakan kejadian tersebut.
- MULA TABIAT BARU
Salah satu tanda stres pada anak adalah dia akan melakukan tabiat baru yang tidak pernah dia buat sebelum ini. Antaranya ialah perbuatan berulang-ulang seperti mengigit kuku atau memintal-mintal rambut. Apabila anak mulakan tabiat buruk ini, jangan terus melenting.
Cuba cari waktu yang sesuai untuk mendalami hati anak. Perlahan-lahan tanyakan anak jika ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka. Ceritakan juga masalah anda pada zaman kanak-kanak contohnya pada mereka supaya mereka faham yang orang lain juga punya masalah. Dengan cara ini, akan akan lebih terbuka untuk bercerita.
- SELALU MENYISIHKAN DIRI
Anak yang mengalami tekanan cenderung untuk mengasingkan diri dari ahli keluarga lain. Mereka tidak seceria dulu dan lebih suka bersendirian di dalam bilik. Mereka juga lebih sukar untuk menceritakan masalah yang dihadapi. Mereka mungkin mengalami konflik dengan ahli keluarga lain atau di sekolah.
Jangan biarkan anak bersendirian. Libatkan anak dalam setiap perbualan dan perbincangan keluarga. Ajak dia turut serta dalam aktiviti keluarga.
- MULA BERKELAKUAN KASAR
Sesetengah anak sulung mungkin akan mula bertindak kasar apabila mereka mendapat adik baru. Stres boleh menjadi punca kepada perangai agresif tersebut. Selain menggigit, menendang atau memukul, mereka juga lebih kerap bercakap dengan nada yang lebih nyaring, kurang sopan dan tidak mendengar cakap.
Kita sebagai ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik pada mulanya. Tenangkan anak dan jadi pendengar yang baik untuknya. Berikan ruang untuk anak meluahkan perasaan.
- MAHU ‘BERKEPIT’ DENGAN KITA
Rimas betul jika anak kita suka berkepit dengan kita tidak kira masa. Sebelum ini jika kita tinggalkan sekejap ok je. Tetapi sejak kebelakangan ini, ditinggalkan sekejap, terus merengek tak tentu pasal. Macam bayi kecil pula!
Namun, jangan terlalu cepat marahkan anak. Cuba cari puncanya kerana anak yang berkelakuan begini mungkin sedang mengalami penyesuaian diri pada persekitaran yang berubah.
- CEPAT MELENTING
Perubahan lain yang terjadi pada anak adalah mereka lebih cepat emosional. Walaupun dalam perkara kecil seperti tidak boleh mengikat tali kasut sudah boleh membuatkan anak naik angin. Anak juga lebih mudah putus asa.
Perkara ini berlaku apabila anak terlalu ingin mencapai kesempurnaan (perfectionist) dan gagal menyenangkan hati kita. Hal ini mungkin terjadi kerana mereka juga ingin menyerlah seperti adik-beradik yang lain atau kita sebagai ibu bapa terlalu mendesak anak. Bina keyakinan diri pada anak dan jangan terlalu mendesak melebihi kemampuan mereka.
- PRESTASI AKADEMIK MENURUN
Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikiran si anak sehingga menyebabkan pencapaiannya di sekolah merosot. Dia juga sukar untuk menumpukan perhatian ketika membuat kerja rumah. Barangkali ada masalah dengan rakan sekelas atau mungkin masalah itu datang daripada kita sendiri.
Jika masalah ini berlarutan, berbincanglah dengan anak. Capai satu penyelesaian.
ANAK-ANAK PERLUKAN PERHATIAN DAN KASIH SAYANG
Walaupun dunia anak-anak semakin canggih pada hari ini, tiada satu apa pun yang dapat menggantikan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Oleh itu, hargailah masa berkualiti bersama anak dan jangan hanya menumpukan kepada akademik atau prestasi pendidikan mereka sahaja.
Sebaliknya, didik mereka menjadi insan yang seimbang, terapkan nilai-nilai positif, dan beri masa untuk mereka menjadi kanak-kanak sebenar!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI