Biasa tak ibu ayah alami masalah seperti ini- Anak faham semua apa yang kita cakapkan, tapi susah sangat nak sebut. Anak pelat sangat. Minta anak tiru, tapi tak boleh tiru. Kita sebut lain, anak sebut lain. Anak sebut kadang-kadang betul, kadang-kadang salah.

Jika ada tanda-tanda ini, mungkin anak anda adalah masalah Apraxia.

Menurut Patologis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassim, Apraxia merujuk kepada masalah pada pertuturan pada kanak-kanak yang mana ia melibatkan masalah pada sistem saraf. Tapi perlu diingat di sini bahawa, masalah ini tidak dapat dilihat oleh pakar neurologi atau melalui scan dan ianya tidak boleh didiagnos melalui scan.

Bagi Arahan Anak Faham Tapi Nak Suruh Cakap Susahnya! Mungkin Ini Tanda Apraxia

APA BEZA DENGAN MASALAH PERTUTURAN YANG LAIN?

Kebanyakan kanak-kanak dengan masalah pertuturan biasanya sukar untuk menyebut bunyi seperti bunyi /k/, bunyi /s/, bunyi /r/ dan mereka menukarnya dengan bunyi yang lain. Tetapi bagi kanak-kanak dengan apraxia, mereka memang tau apa yang mereka perlu sebut, tetapi otak mereka menghantar mesej yang salah kepada otot-otot dimulut dan menyebabkan bunyi yang disebut juga salah.

Untuk lebih mudah faham, bayangkan kita sedang memandu kereta. Kita nak ke kiri, kita pun menekan butang untuk signal kiri, tapi sebab ada masalah pada wiring kereta, lampu lain yang menyala. Padahal lampu signal kita ok. Macam itulah halnya dengan masalah apraxia ini. Kanak-kanak memang tahu apa yang mereka perlu sebut tapi lain yang keluar.

Kanak-kanak ini biasanya mempunyai organ artikulasi yang normal seperti lidah, rahang, gigi, bibir, otot mulut dll.

Oleh itu, kanak-kanak dengan apraxia ini memerlukan latihan yang konsisten dan kerap. Ini adalah supaya kanak-kanak mendapat feedback samada mereka menyebut bunyi dengan betul atau tidak. Feedback ini penting supaya otak boleh membetulkan semula bahagian yang bermasalah dan memberi signal yang betul pada organ articulator.

IKLAN

APA YANG MENYEBABKAN APRAXIA?

Terdapat beberapa sebab terjadinya apraxia ini seperti kecederaan otak, kerosakan bahagian pada otak, dan juga kecelaruan neurobehavior complex seperti ADHD dan Autism. Tetapi dalam kebanyakan kes, sebabnya tidak diketahui.

Masalah ini hanya boleh dilihat melalui ciri-ciri yang ditunjukkan oleh kanak-kanak. Penilaian perlu dilakukan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa untuk mengesahkan masalah.

Bagi Arahan Anak Faham Tapi Nak Suruh Cakap Susahnya! Mungkin Ini Tanda Apraxia

3 KRITERIA PENTING APRAXIA OF SPEECH

Terdapat banyak kriteria-kriteria yang ditunjukkan oleh kanak-kanak, tetapi 3 kriteria ini adalah yang paling ketara dan penting untuk diagnosis.

IKLAN

Kesalahan sebutan yang tidak konsisten pada bunyi konsosnan dan vocal yang sama. Iaitu kanak-kanak menyebut 1 perkataan berulang kali tetapi bunyinya berbeza setiap kali.

Contoh:

Perkataan: Bola

Sebutan kanak-kanak mungkin menjadi – boya, labo, biya, boa, dll

Pemanjangan atau gangguan semasa perubahan antara bunyi atau sukukata. Iaitu pertuturan kanak-kanak seperti terputus kerana kesukaran menyambung bunyi atau perkataan

IKLAN

Prosodi yang tidak sesuai iaitu rentak dan intonasi. Kanak-kanak bertutur mungkin akan kedengaran seperti robot, ayat yang tidak lengkap/sesuai atau tekanan yang salah pada sukukata atau perkataan

Kanak-kanak apraxia mungkin mempunyai 1 atau semua ciri-ciri ini.

Ciri-ciri lain yang mungkin dapat dilihat pada kanak-kanak apraxia adalah

  • Bunyi vocal yang terhad semasa bayi
  • Kesalahan pada bunyi vocal (a,I,u,o,e)
  • Kesalahan bertambah pada perkataan yang lebih panjang atau ayat yang lebih kompleks
  • Groping (reaksi kesukaran pada muka dan organ articulator)
  • Kehilangan perkataan atau bunyi yang pernah disebut sebelum ini
  • Sebutan dengan meniru lebih jelas berbanding secara spontan

RAWATAN BAGI KANAK-KANAK APRAXIA

Rawatan bagi apraxia adalah berbeza bagi setiap kanak-kanak mengikut ciri-ciri yang ditunjukkan. Oleh itu penilaian dari Terapis Pertuturan-bahasa adalah sangat penting untuk mengenalpasti masalah pada kanak-kanak dan tahap keterukannya. Secara umumnya, rawatan yang biasa dilakukan adalah:

  • Latihan koordinasi organ pertuturan seperti lidah, bibir, rahang dll
  • Pembetulan sebutan bunyi, sukukata dan perkataan secara berperingkat dan konsisten
  • Komunikasi alternatif seperti bahasa isyarat, gambar, gesture dll bagi kanak-kanak yang mengalami apraxia yang teruk

Untuk sebarang pertanyaan dan penjelasan, berjumpalah terapis-pertuturan berhampiran anda.

Sumber: Aishah Kassim

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI