Setiap ibu pasti mengharapkan dapat menyusukan si manja sepenuhnya. Namun mungkin kerana kekangan tertentu segelitir ibu terpaksa mencampurkan susu ibu dengan susu formula kepada bayi. Adakah ia membahayakan? Baca penjelasan pakar ini.

Saya seorang ibu yang bekerja. Masalah saya ialah tidak dapat memberikan anak susu ibu sepenuhnya. Bukan sahaja kerana masalah bekerja tetapi susu juga kurang. Jadi saya terpaksa campurkan anak saya dengan susu formula. Sejauh mana kebenaran mencampurkan susu formula dan susu ibu membuatkan antibodi anak lemah seperti mudah demam dan lain-lain? Harap dapat penjelasan.

Aina, Klang

Jawapan:

Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi, dan kebaikan penyusuan susu ibu terus berlanjutan melebihi pemakanan asas. Selain mengandungi vitamin dan nutrien yang bayi perlukan dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan, susu ibu mengandungi kandungan khasiat yang mampu melindungi bayi daripada penyakit. Bahan tersebut melindungi bayi anda terhadap pelbagai penyakit dan jangkitan dan bukan ketika dia masih menyusu sahaja tetapi dalam sesetengah kes, sehingga anak sudah bercerai susu. Susu formula tidak boleh menawarkan perlindungan ini.

American Academy of Pediatricians dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) mengesyorkan penyusuan susu ibu eksklusif untuk enam bulan pertama usia bayi (walaupun mana-mana tempoh penyusuan susu ibu adalah berfaedah).

Penyusuan eksklusif (bermakna tanpa pengambilan makanan pejal, susu formula atau air) sekurang-kurangnya enam bulan menawarkan perlindungan yang terbaik. Ia menghalang alahan dan melindungi daripada beberapa keadaan kronik.

Walaupun pakar mempercayai susu ibu  adalah pilihan pemakanan yang terbaik untuk bayi, penyusuan susu ibu mungkin tidak mampu dilakukan oleh semua ibu. Bagi kebanyakan ibu, keputusan untuk menyusukan anak atau memberi susu formula adalah berdasarkan tahap keselesaan, gaya hidup dan keadaan perubatan tertentu. Walau bagaimanapun, tiada bukti atau kajian menunjukkan dengan mencampurkan penyusuan (susu ibu dan susu formula) boleh mengurangkan imuniti kepada bayi.

Soalan berikut dijawab oleh Dr Shariza Lukman, Pakar Perunding Pediatrik (BSC MEDICAL SCIENCE (SCOTLAND), MBCHB (UK), MRCPCH (UK), MSC CHILD HEALTH (UK), Pantai Hospital Klang.

 

Tinggalkan Komen