Banyakkan aktiviti untuk bayi antara usia 3 hingga 6 bulan, kerana tempoh ini anak mula belajar untuk meneroka persekitarannya. Jika dia ditempatkan dalam satu kumpulan dengan bayi lain, anda akan melihat setiap bayi berkembang sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Mungkin perkembangan si kecil anda lebih cepat dari yang lain, tapi ada  juga lebih lambat. Pada masa ini bayi memperlihatkan perbezaan masing-masing.

Ok untuk memudahkan ibu tahu perkembangan bayi di usia ini, Konsultan Pendidikan Awal Kanak-Kanak,  Dr Mahani Razali memberikan beberapa ciri-ciri yang boleh ibu lihat pada anak masing-masing. Antaranya:

  • Suka tersenyum dan mudah ketawa apabila diagah
  • Menangis apabila rasa sedih dan mula mencari perhatian
  • Boleh dan mudah dipujuk/belai
  • Menunjukkan rasa suka melalui pergerakan tangan dan kaki
  • Menunjukkan perasaan suka dan selesa apabila bersama dengan ibu bapa/penjaga.
  • Makin suka mengajuk atau meniru orang lain

Aktiviti cadangan

  • Memandang ke arah bayi dengan penuh kasih sayang
  • Respon kepada bunyi yang dikeluarkan oleh bayi dan bercakap-cakap dengan bayi.
  • Mengangkat atau memeluk bayi yang menangis dan memberikan sentuhan yang lembut pada bayi. Jika tangisan bayi berlarutan, cuba tepuk dan usap belakangnya. Elakkan daripada mendukung bayi tersebut kecuali dia langsung tidak mampu mengawal emosinya.
  • Selalu memegang dan mendukung bayi dengan penuh kasih sayang. Bayi akan menunjukkan reaksi apabila ditunjukkan wajahnya di hadapan cermin.

Pada peringkat ini, berikan peluang kepada bayi anda bagi meneroka persekitarannya menggunakan kekuatan ototnya. Letakkan bayi anda di atas lantai dan biarkan dia meneroka kekuatan kaki, tangan dan kepalanya. Hiaskan persekitaran penerokaannya dengan pelbagai permainan yang pelbagai warna dan corak. Bagi merangsang emosi (perasaan suka) bayi, lakukan aktiviti mudah seperti menggerakkan lidah anda ke luar dan ke dalam beberapa saat. Berikan sedikit masa kepada bayi anda meniru lagak anda.

Selain itu cuba sentuh anggota badannya seperti menggeleteknya. Perhatikan responnya. Sekiranya bayi anda sudah belajar cara untuk senyum, anda akan dapat melihat senyuman di bibirnya. Tambahkan pengalaman pembelajarannya dengan membawanya keluar bersiar-siar di halaman rumah anda ataupun membawanya melawat pelbagai tempat di dalam rumah sendiri sama ada dapur, ruang tamu, bilik tidur dan sebagainya.

Bagi bayi yang menangis pula, cuba elakkan dari membiarkan bayi tersebut keseorangan. Sebaiknya cuba pujuk bayi tersebut dan memahami apakah yang diperlukan anak mereka atau mendodoi bayi tersebut dengan mesra.

Boleh perdengarkan alunan zikir atau muzik yang lembut pada bayi anda.

Sumber: Dr Mahani Razali

 

Tinggalkan Komen