Bau ibu bukan sahaja yang terharum di dunia kepada bayi tapi ia menjadi penenang kepada si comel. Perasan tak bayi baru lahir yang menangis akan automatik berhentikan tangisannya apabila ibu mendukung dan membelainya. Reaksi bayi baru lahir yang bersahaja tetapi seolah-olah faham bahawa ibu yang sedang memujuknya sangat mengagumkan.

Bagaimana bayi sekecil itu sudah boleh membezakan antara ibu dan ayah sedangkan sebelum itu ayah telah melakukan hal yang sama kepadanya. Bahkan sekiranya anda cuba meletakkan baju ibu berhampiran dengan bayi, dia juga akan berhenti menangis kerana deria baunya berjaya mencium bau ibu.

Menurut Seema Csukas, M.D., Pengarah Promosi Kesihatan Kanak-Kanak di Children’s Healthcare Atlanta, deria penglihatan bayi mengambil masa beberapa tahun untuk berkembang tetapi deria bau adalah yang paling peka ketika bayi lahir.

Justeru tidak hairanlah bayi yang menangis boleh berhenti menangis sebaik sahaja mencium bau baju ibunya kerana beranggapan ibu yang dirindui ada di sisinya ketika itu.

Amalan ini sebenarnya sudah lama dipraktiskan oleh orang tua-tua yang berpesan kepada ibu-ibu lepas bersalin yang kembali bekerja supaya meletakkan baju yang belum dibasuh berdekatan dengan bayi atau membedung bayi dengan kain batik ibu apabila meninggalkan bayi bersama pengasuh.

Berikut adalah fakta menarik yang ibu dan ayah kena tahu tentang deria bau bayi.

1. Sebelum lahir, janin sudah boleh menghidu. Satu kajian telah mendapati bayi yang berumur tiga hari, sudah boleh mengenali bau cecair amnion ibu mereka.

2. Ketika bayi baru lahir, dia akan tertarik dengan bau susu ibu. Apabila berusia 2 minggu, bayi boleh membezakan antara bau susu payudara ibunya, daripada susu ibu lain.

3. Mengikut kajian terbaru Swiss, bauan yang biasa dihidu (iaitu bau ibu), dapat menenangkan bayi anda.

4. Dua bulan selepas lahir, bayi akan lebih suka bau ibunya dari bau orang lain. Walaupun ibu berpeluh-peluh dan belum sempat mandi, bayi akan merasakan bau ibu adalah bau terharum di dunia.

Berdasarkan fakta tersebut, ia patut dimanfaatkan oleh para ibu menyusu terutamanya ibu-ibu yang mengepam susu di tempat kerja. Cara ini sedikit sebanyak mungkin dapat merangsang pengeluaran susu ibu supaya mengalir lebih lancar.

Nampaknya selain daripada melihat gambar bayi semasa mengepam susu di pejabat, ibu juga boleh gunakan tips menghidu bau baju bayi yang dapat meningkatkan hormon gembira ibu.

Sumber: Parenting

Tinggalkan Komen