Bayi 12 bulan ke bawah tidak perlu suplemen. Paling mustahak berikan mereka susu ibu dan makanan pejal (bagi bayi enam bulan ke atas) yang seimbang.

Menurut Dr. Roliza Ibrahim, Pakar Kanak-Kanak DEMC Specialist Hospital, sekiranya bayi kurang makan sekali pun, kekurangan nutrien boleh ditampung dengan pengambilan susu ibu atau formula. Susu ibu terutamanya mempunyai banyak nutrien penting yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan bayi pada semua peringkat usia.

PERBAIKI PEMAKANAN BAYI

“Daripada mengambil suplemen, lebih baik ibu bapa memperbaiki pemakanan anak dengan mempelbagaikan jenis dan seimbang.  Bagi bayi yang berusia 6 bulan ke bawah, para doktor kebanyakannya akan mengelakkan daripada membekalkan ubat-ubatan. Sekiranya perlu memberikan ubat-ubatan sekali pun, doktor akan berhati-hati  dan memberikan preskripsi ubat-ubatan sekiranya  ia benar-benar diperlukan sahaja. Jika anak dalam keadaan sihat, maka suplemen tidak perlu,” kata Dr Roliza.

Kepada bayi berusia 6 hingga 12 bulan yang mengalami masalah kesihatan atau kekurangan nutrisi, pemantauan dilakukan oleh doktor yang merawat berdasarkan carta pertumbuhan bayi untuk satu tempoh. Sekiranya berat badan tidak mencapai tahap yang ditetapkan, bayi sakit atau graf tidak meningkat  doktor akan terlebih dahulu mencadangkan ibu bapa menukar jenis/ jenama susu (formula) atau memperbaiki kualiti dan variasi pemakanan bayi.

Pemberian suplemen hanya dilakukan setelah pemantauan doktor mendapati bayi memerlukannya. Ia termasuk keputusan ujian darah dan catatan graf pertumbuhan. Setelah semua faktor diambil kira, barulah suplemen diberikan kepada bayi dalam satu tempoh yang singkat.

Minyak ikan dan prebiotik dicadangkan pengambilannya kepada kanak-kanak yang berusia setahun ke atas sahaja sekiranya mereka sering selesema atau batuk.

KENAPA SUPLEMEN TIDAK SESUAI UNTUK BAYI?

Ibu bapa perlu memahami anatomi tubuh bayi di mana kebanyakan organ penting masih belum matang sepenuhnya. Dua organ yang paling terkesan akibat daripada pengambilan suplemen ialah buah pinggang dan hati di mana kedua-dua organ ini perlu menapis dan menyerap bahan lebihan yang dikumuhkan oleh tubuh.

Jika orang dewasa pun boleh mengalami kerosakan buah pinggang dan hati yang kekal akibat pengambilan suplemen, bayi apatah lagi. Oleh itu, ibu bapa berhati-hati lah dalam memberikan makanan tambahan atau suplemen kepada bayi.

Sekiranya zat tersebut sudah mencukupi, tubuh tidak akan menyerap sebaliknya akan disingkirkan dan kedua-dua organ ini. Ini secara tidak langsung menambahkan bebanan kepada kepada orang-organ ini.

BAYI TIDAK PERLUKAN SUPLEMEN UNTUK KULIT!

Sifat semula jadi kulit bayi ialah gebu dan halus. Bagi bayi yang mempunyai masalah ekzema, Dr Roliza menegaskan pengambilan suplemen bukanlah penyelesaian. Perkara pertama yang perlu difahami ialah kulit kering yang disebabkan oleh ekzema ialah disebabkan oleh kelainan pada kulit yang tidak boleh mengekalkan kelembapan.

Bagi menangani ekzema pada bayi ialah mengelakkan punca pencetus pada peringkat awal dan menyapu krim pelembap untuk membantu kulit sentiasa lembap.

Pengambilan suplemen bukan sahaja tidak selamat untuk jangka masa panjang kepada bayi, malah ia tidak perlu dilakukan kerana tidak akan dapat menghilangkan ekzema seperti yang didakwa.

DHA DARIPADA IKAN

Susu, sama ada susu ibu atau susu formula sudah memadai untuk menyalurkan zat dan nutrien kepada bayi. Sekiranya ibu bapa mahu bayi mendapat cukup Docosahexaenoic acid (DHA), lebih baik berikan hidangan ikan dalam sajian harian.

Menurut Dr. Roliza ikan mempunyai kandungan DHA yang tinggi dan sangat baik untuk perkembangan otak anak. Ikan seperti salmon dan boleh dimasukkan ke dalam bubur bayi yang berusia 12 bulan ke bawah dan elakkan suplemen.

 

 

Tinggalkan Komen