Sejak kebelakangan ini, ujian imbasan 3D dan 4D semakin popular di kalangan ibu hamil. Hal ini kerana, dengan perkembangan teknologi moden yang semakin canggih, bukan sahaja jantina anak dapat diketahui dengan mudah, bahkan rupa parasnya juga dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah, apa sahaja yang berkaitan dengan fizikal anak dapat diketahui sejak dalam kandungan lagi.

Menurut Dr Suraya Sulaiman Khan, sonografer di Pusat Ultrasound Sonoworld Centre, Ampang, ibu di zaman sekarang agak beruntung dengan adanya teknologi ujian imbasan. Menerusi imbasan 3D (tiga dimensi – gambar berwarna oren) dan 4D (empat dimensi dengan video tiga dimensi) ini, anda boleh melihat secara langsung apa yang bayi lakukan di dalam kandungan. Memang mengujakan! Lebih-lebih lagi sekiranya ia kandungan pertama anda.

Namun yang demikian, imbasan 3D dan 4D hanya boleh dilakukan ketika usia kandungan 26 minggu hingga 32 minggu. Ini kerana pada masa ini, bayi di dalam kandungan sudah matang dan besar. Jadi, pembentukan fizikal dan jantinanya boleh dilihat dengan jelas. Selain itu, pemeriksaan imbasan 3D dan 4D dipengaruhi beberapa faktor lain seperti maternal habitus (gemuk/kurus), posisi bayi ketika imbasan, kandungan air ketuban dan usia kandungan.

Imbasan dan keperluannya 

Imbasan ultrabunyi juga dikenali sebagai imbasan ultrasound ataupun sonografi yang melibatkan pemancaran gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Gelombang bunyi akan melalui rahim dan imej bayi dan dipantul balik. Pantulan ini kemudiannya diproses oleh mesin dan komputer untuk mewujudkan imej pada skrin yang mendedahkan kedudukan dan pergerakan bayi.

Imbasan ultrabunyi dianggap sebagai kaedah yang selamat, tepat dan menguntungkan. Ia berbeza dengan X-ray di mana ia menggunakan pengionan yang membahayakan manakala imbasan ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi. Ia menghasilkan gambar-gambar bahagian dalam tubuh. Pengimejan ultrabunyi, juga dikenali sebagai imbasan ultrabunyi atau sonografi, melibatkan penggunaan transduser kecil (probe) dan gel ultrabunyi diletakkan terus pada kulit.

Pengimejan ultrabunyi merupakan ujian perubatan invasif yang membantu mendiagnosis dan merawat keadaan perubatan. Ultrabunyi memainkan peranan yang penting dalam penjagaan setiap ibu hamil. Antara sebab ia penting adalah untuk:

  1. Mengetahui kedudukan uri dan tahap air ketuban.
  2. Menentukan usia sebenar bayi dan jangkaan tarikh lahirnya.
  3. Mengetahui bilangan bayi sama ada tunggal ataupun kembar.
  4. Memeriksa perkembangan fizikal bayi dan kecacatan kelahiran.
  5. Memeriksa perkembangan bayi sama ada sesuai dengan peringkat perkembangannya.

Beza 2D, 3D & 4D

Imbasan 2D memberi gambar dua dimensi dalam warna hitam putih. Imbasan ini juga dikenali sebagai imbasan morfologi. Paling baik dilakukan pada minggu ke-20 hingga 26 kehamilan. Ia merupakan imbasan terperinci bayi dan banyak aspek yang akan dinilai semasa proses imbasan dilakukan. Ini bagi memastikan perkembangan bayi adalah normal.

Biasanya sonografer akan melihat kepala dan otak bayi, muka termasuk profil bibir, jantung, dada termasuk diafragma; abdomen termasuk buah pinggang, pundi kencing, perut, tulang belakang, anggota badan termasuk tangan dan kaki.

Imbasan ini perlu dilakukan di dalam keadaan yang baik dan memerlukan kerjasama bayi. Jika kedudukan bayi tidak menentu, anda mungkin terpaksa pulang dan datang kembali pada masa yang lain.

Setiap bayi mempunyai ciri-ciri tersendiri. Contohnya, sesetengah bayi mempunyai ukuran kepala yang lebih besar atau ukuran tulang paha yang lebih pendek. Ciri-ciri ini sering sama dengan ibu bapanya. Aspek-aspek lain yang dinilai adalah:

  1. Kadar jantung bayi.
  2. Bilangan bayi.
  3. Kedudukan plasenta.
  4. Jumlah cecair amnion sekitar bayi.
  5. Tempoh pembukaan laluan serviks.
  6. Rahim ibu.

Imbasan 3D pula merupakan gambar statik tiga dimensi dan 4D pula merupakan rakaman video. Imbasan 3D dan 4D dianggap selamat seperti imbasan 2D kerana imej-imej yang terdiri daripada bahagian-bahagian imej dua dimensi ditukar ke dalam bentuk gambar.

Imbasan 3D dan 4D boleh memberikan lebih banyak maklumat kerana ia boleh menunjukkan lebih terperinci dari sudut yang berbeza. Pengimbasan 3D dan 4D juga berguna untuk melihat hati dan organ-organ dalaman yang lain. Sebelum 26 minggu, bayi anda mempunyai sangat sedikit lemak di bawah kulit. Jadi, tulang mukanya akan mudah dilihat dengan lebih jelas. Selepas 32 minggu, kepala bayi akan pergi jauh ke dalam pelvis dan anda mungkin tidak dapat melihat wajahnya.

Pada minggu ke-28, jika plasenta berada di hadapan rahim (anterior plasenta), anda akan melihat imej terbaik wajah bayi! Namun, kadang-kadang ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Ia bergantung pada kedudukan bayi di dalam rahim. Pihak sonografer mungkin akan meminta anda untuk berjalan-jalan dahulu atau datang kembali dalam tempoh seminggu dengan harapan bayi berubah ke kedudukan yang lebih baik.

 

Tinggalkan Komen