Menghadapi komplikasi sejak di awal usia kehamilan, ibu muda, Norazleena terpaksa melahirkan anaknya awal daripada tarikh jangkaan bersalin yang diberikan doktor. Kesan daripada kelahiran yang tidak dijangka itu, anaknya Adreena Scha bt Azrul Shah mengalami pendarahan di otak sewaktu dilahirkan. Ikuti kisah lanjut mereka berdua.

Setelah kehamilan pertama keguguran pada usia 16 minggu, berita hamil lagi sungguh mengujakan. Namun, dugaan masih mengekori kandungan kedua. Keluar – masuk hospital sudah jadi perkara biasa. Rentetan itu pelbagai kisah berlaku sehinggalah saat kelahiran cahaya mata sulungnya.

“Pada usia 34 tahun, mommy hamilkan kamu Adreena Scha bt Azrul Shah. Selepas berkali-kali keluar masuk hospital, kamu dilahirkan ketika baru berusia 31 minggu. Berat kamu cuma 800gm. Kamu terpaksa dikeluarkan segera melalui pembedahan kerana ketuban bocor. Alhamdulillah, 1 Julai 2014 jam 2.15 petang, kamu lahir dan terus dimasukkan ke NICU PPUKM.

Biarpun Dilahirkan Celebral Palsy, Ibu Ini Buktikan Anaknya Mampu Jadi Seperti Kanak-kanak NormalSaiz kamu ketika itu, sejengkal setengah. Pelbagai komplikasi kamu hadapi. Dua bulan lamanya kamu di NICU. Biarpun dibenarkan keluar wad, hari-hari kamu dengan temujanji bersama doktor yang terlalu padat sejak lahir sehingga kini.

Kamu juga ada hypotiriod. Daripada bayi kamu ambil ubat thyroxine bagi membantu perkembangan hormon setiap hari. Ubat itu kamu ambil seperti mengunyah gula-gula.”

Disahkan celebral palsy

“Tambah menyesakkan dada, setelah berusia dua tahun, kamu disahkan celebral palsy spastik depligia akibat pendarahan di otak ketika lahir. Sejak itu, temujanji semakin banyak. Hampir setiap minggu ada tarikh temujanjinya.

IKLAN

Keadaan dari bayi sehingga satu tahun nampak normal. Pembesaran normal seiring corrected age. Cuma mommy perasan kamu suka menggenggam tangan. Kaki pun agak keras. Bila umur makin meningkat dan sepatutnya boleh berdiri, kamu masih meniarap dan mengengsot. Walaupun jalani fisioterapi, keadaan masih sama. Apabila kamu diajar berdiri, kaki kamu keras dan bersilang sepeti gunting.

Biarpun Dilahirkan Celebral Palsy, Ibu Ini Buktikan Anaknya Mampu Jadi Seperti Kanak-kanak NormalTanpa melengahkan masa, mommy dan daddy berusaha secara tradisional menghantar kamu berurut di Kuala Selangor setiap minggu. Fisioterapi pun tidak dilupa. Kaki kamu pun diurut setiap hari lebih daripada 10 kali. Harapannya kaki kamu tidak semakin mengeras.

Pada umur tiga tahun, atas arahan pakar, kamu diminta menggunakan splint. Dengan bantuan Jabatan Sosial PPUKM, kamu menerima bantuan standing frame untuk fisioterapi di rumah supaya boleh berdiri dengan memperbetulkan posisi kaki dan badan. Setiap hari selama empat jam kamu diikat pada standing frame dan dibiarkan berdiri.

IKLAN

Menurut pakar, kaki kamu akan disimenkan selama beberapa bulan untuk tujuan pembetukan. Pakar juga cuba mengelakkan pengunaan suntikan botox kerana kamu ada masalah hipotyroid. Suntikan itu nanti boleh memberi kesan pada bahagian lain. Apa-apa pun suntikan botox adalah pilihan terakhir.”

Tidak patah semangat

“Minggu pertama persekolahan di playschool, kamu sangat gembira. Kemahiran sosial kamu sangat baik. Mommy terharu melihat kamu baru berumur empat tahun tetapi tidak pernah kenal erti patah semangat. Kamu cuba buat segalanya sendirian walaupun hanya mampu merangkak sewaktu melakukan aktiviti-aktiviti di sekolah.

Kawan-kawan kamu berpandangan pelik pada mulanya. Tetapi kini mereka tiada masalah bila bersama kamu. Tambahan pula, kamu pandai membawa diri dan semua senang dengan diri kamu.

IKLAN

Biarpun Dilahirkan Celebral Palsy, Ibu Ini Buktikan Anaknya Mampu Jadi Seperti Kanak-kanak NormalKini, kamu juga melibatkan diri dalam taekwando. Walaupun kamu seorang sahaja yang duduk di atas kerusi semasa sesi latihan. Mujur tenaga pengajar memahami dan membantu. Semuanya itu kesan daripada semangat kamu yang kuat.

Adreena, lahirnya kamu mengubah kehidupan mommy dan daddy. Kami banyak belajar dan mencari informasi mengenai anak pramatang dan cerebral palsy. Lantaran itu, wujudlah kumpulan sokongan Baby Premature Malaysia – NICU. Di situ, mommy berkongsi ilmu dan pengalaman serta memberi bantuan daripada segi moral bagi membantu ibu bapa yang lemah semangat dalam membesarkan anak seperti kamu.

Kini sudah ada lebih 18,000 ibu bapa dan anak-anak pramatang di seluruh Malaysia di dalam kumpulan ini. Kami mendapat sokongan daripada profesor, doktor dan jururawat dari NICU. Bukan mudah membesarkan anak pramtang yang juga mengalami celebral palsy tetapi ia bukanlah sesuatu yang payah sebab mommy tahu kamu ada keistimewaan tersendiri, yang dianugerahkan Ilahi.”

Mommy,

Norazleena bt Yaha

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI