Bila anak buat perangai, jangan cepat naik angin tapi ibu ayah kena tahu cara untuk ‘handle’ situasi tersebut. Kalau sama-sama mengamuk, makin teruklah keadaan nanti.

Penat memandu pulang dari kerja tak hilang lagi, tapi sampai di rumah anak sudah menangis minta ke taman permainan. Dalam fikiran terbayang banyak tugas menanti di dapur. Mana satu nak didahulukan? Layan anak mengamuk nak ke taman permainan atau biarkan sahaja sebab tengah mengejar masa yang semakin suntuk?

Itu mungkin dilema kebanyakan ibu bekerja yang ada anak kecil berusia antara 2 hingga 3 tahun. Si kecil usia ini memang biasa menggunakan senjata mereka paling ampuh iaitu menangis dan mengamuk untuk memenuhi apa yang dikehendaki. Oleh kerana papa dan mama ‘tak kuasa’ nak layan tangisan dan amukan mereka maka biasanya semua kehendak si kecil akan dipenuhi.

Tetapi perlu diingat, jangan sampai anak menjadikan senjata ini untuk melemahkan anda dan menguasainya. Jangan sampai tantrum menjadi sebahagian daripada rutin harian si kecil. Paling penting sekali papa dan mama kena tahu apa punca anak mengamuk. Bila faham karektor anak dan punca dia suka mengamuk, maka mudahlah nak kawal situasi tersebut. Taklah sampai anak menangis dan mengamuk, papa atau mama pun sama naik angin.

Apa punca si kecil mengamuk

Apa yang mencetuskan anak anda kerap mengamuk? Anda sebenarnya boleh bantu mengelakkan sesi jerit pekik yang berpanjangan jika tahu apa yang menyebabkan anak anda kecewa hingga mengamuk. Apa pun, sebagai ibu bapa anda sebenarnya lebih faham perangai anak dan cuba elakkan daripada mencetuskan kemarahan anak dengan buat beberapa perkara ini.

IKLAN

1. Elak situasi menyebabkan anak mengamuk

Anak belajar daripada reaksi anda sendiri. Kalau anda biasa belikan dia gula-gula di pasaraya bila dia menangis mahukannya, maka tahulah dia yang teknik menangis boleh bantu dapatkan apa yang dia mahu.

2. Jangan jadikan ia ‘pertunjukan’

IKLAN

Kalau anak nak buat perangai di tempat awam, cepat-cepatlah cari tempat yang lebih tersorok. Bukan apa kalau nak tegur anak tak adalah dapat perhatian daripada orang lain. Tapi kalau tak ada pilihan, buatlah sesuatu supaya anak boleh berhenti menangis atau berguling di lantai. Tak payah risaukan orang lain sebab percayalah yang ibu bapa lain pun faham situasi ini kerana mereka pun ada anak kecil.

3. Bercakap bila anak sudah bertenang

Bila anak dah bertenang sikit, anda pun kena kekal bertenang dan jangan cuba ‘menjolok’ kemarahan anak semula. Bila emosi mereka sudah di bawah kawalan, inilah masa untuk menasihat, mendidik dan tetapkah had.

IKLAN

4. Cuba teknik mengalih perhatian

Contoh kalau anak ada ciri-ciri hendak mula buat perangai, anda cepat-cepatlah buat muka kelakar atau lawak yang boleh menyebabkan dia ketawa lalu terlupa hal sebelum ini. Tapi kalau dia tengah mengamuk, biarkan dia “lepaskan” dulu perasaan marahnya dan bila sudah selesai baru anda alihan perhatiannya.

5. Selalu puji anak untuk bersikap baik

Kanak-kanak usia ini memang suka kalau dipuji. Selalulah puji mereka jadi anak yang baik, yang pandai, mendengar kata dan lain-lain lagi ayat-ayat positif. Sedikit sebanyak ia dapat menyuntik semangat dalam diri si kecil bahawa pentingnya bersikap baik supaya disayangi oleh semua ahli keluarga.

Tak mudah hendak faham perangai anak usia ini tapi bila sudah berjaya memahaminya, mudah sebenarnya untuk anda elakkan mereka daripada buat perangai.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI