Sebaik mengetahui keputusan positif pada pregnancy test, perasaan teruja, seronok dan sedikit gementar pasti akan dilalui oleh pasangan yang baru pertama kali bakal bergelar ibu bapa.

Tentunya ada yang masih tertanya-tanya apakah langkah yang sepatutnya dilakukan sebaik saja disahkan mengandung. Bila nak kena buat pemeriksaan kehamilan? Perlu atau tak hadir kelas antenatal?

Berikut dikongsikan beberapa perkara yang harus anda lakukan selepas mengetahui diri anda hamil.

1. Pemeriksaan DI KLINIK

Selalunya wanita akan menjalani ujian kehamilan di rumah dengan menggunakan alat ujian yang dibeli di farmasi. Ada yang membuat sekali atau dua tiga kali untuk mengesahkannya.

Bagi mendapat kepastian yang betul, boleh pergi ke klinik kerajaan atau klinik swasta. Setelah pemeriksaan kehamilan ini dilakukan, ujian saringan akan dibuat untuk menilai kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

2. MENDAFTAR UNTUK PEMERIKSAAN ANTENATAL

Prosedur seterusnya apabila disahkan oleh doktor, ibu boleh mendaftar untuk pemeriksaan berkala ini sebelum minggu ke-12 kehamilan.

Namun, tiada halangan jika anda ingin mendaftar seawal mungkin. Lebih awal, lebih baik kerana penjagaan yang lebih rapi dapat dipantau.

3. MENJALANI PEMERIKSAAN KEHAMILAN RUTIN

Selepas mendaftar dan menjalani pemeriksaan pengesahan, biasanya tarikh untuk temujanji selanjutnya akan diberikan. Dalam temujanji tersebut, anda akan melakukan ujian air kencing, ujian darah, pemeriksaan tekanan darah, dan pemeriksaan ultrasound untuk memerhatikan perkembangan bayi dalam kandungan. Selain itu, kadar gula dalam darah juga akan dinilai melalui ujian air gula.

Tarikh temujanji ini penting untuk dipatuhi agar perkembangan janin dapat dipantau dengan rapi. Jururawat juga akan merujuk bakal ibu kepada doktor gigi untuk pemeriksaan rutin.

4. MENGAMBIL VITAMIN YANG DISARANKAN

Selepas penilaian dilakukan, ibu hamil digalakkan untuk mengambil makanan tambahan yang sesuai seperti vitamin. Biasanya doktor akan memberikan asid folik atau obimin agar perkembangan janin dalam kandungan berada di tahap optimum.

Pengambilan vitamin juga dapat membantu mencegah kekurangan darah atau masalah kesihatan lain sepanjang kehamilan.

5. Dapat Nasihat Doktor Jika Sedang Mengambil Ubat

Bagi ibu yang sedang mengambil ubat-ubatan kerana menghidapi penyakit tertentu, sebaiknya maklumkan pada doktor supaya boleh beri ubat alternatif yang selamat untuk kandungan. Ini kerana ada sesetengah ubat boleh memudaratkan kandungan.

6. Amalkan Pemakanan Sihat

Pemakanan dan gaya hidup sihat sangat penting buat ibu hamil. Sekarang apa sahaja yang dimakan mesti kena fikirkan bayi dalam kandungan. Elakkan mengambil makanan atau minuman yang tiada khasiat. Sebaiknya lebih pemakanan yang mengandungi banyak zat dan vitamin.

Ibu juga perlu berfikiran positif, jangan terlalu stres dan buat senaman ringan untuk kesihatan maksimum.

7. Hadiri Kelas Pranatal

Bagi ibu yang pertama kali hamil, anda digalakkan menghadiri kelas antenatal untuk mempelajari dan membuat persediaan berkenaan mengandung, proses bersalin, penjagaan bayi dan mengenai penyusuan susu ibu.

Melalui kelas antenatal ini, anda dan pasangan berpeluang menimba seberapa banyak ilmu dari sudut spiritual, mental, psikologi serta penjagaan kesihatan bagi menyambut kelahiran bayi seterusnya melangkaui fasa perubahan setelah bergelar ibubapa.

Biasanya untuk kelas sebegini, pakar yang terlibat adalah  pakar dalam bidang pemakanan, sakit puan dan perbidanan, pakar laktasi, pediatrik, fisioterapi dan jururawat bertauliah.

Bagi yang berminat untuk menghadiri kelas atau bengkel keibubapaan, boleh menyertai PMC Parentcraft Workshop yang dianjurkan oleh Park City Medical Centre pada 6 Mei ini. Untuk keterangan lanjut hubungi Zuraida 019 3157141/03 62793369 atau layari laman web https://www.ramsaysimedarby.com/whats-new/events/pmc-parentcraft-workshop-2/

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan Komen