Ibu yang sarat mengandung, pastikan anda sentiasa bawa barang keperluan bayi bersama ke mana sahaja anda pergi ya. Mungkin bagi ibu yang sudah berpengalaman melahirkan bayi beranggapan ia perkara remeh tapi kena ingat setiap kelahiran anak itu berbeza pengalamannya.

Tak semestinya anak pertama anda bersalin genap 40 minggu maka kelahiran anak kedua pun akan sama. Apatah lagi bagi ibu yang pertama kali melahirkan bayi, jangan ikut pengalaman ibu lain kerana setiap orang berbeza-beza pengalaman bersalin.

Pesanan penting yang dikongsi oleh Rosnalizawati Hamzah, jururawat yang berpengalaman bertugas di dewan bersalin sebuah hospital awam ini patut dijadikan panduan berguna oleh semua ibu yang sedang mengandung.

BERSALIN – APA YANG PERLU DI BAWA?

“Encik, ada bawa lampin bayi tak?”
Seorang jururawat bertanya kepada suami pesakit.

“Tak ada nurse. Saya tinggalkan dalam kereta,”

Tidak kurang juga ada yang menjawab begini. “Eh, tak ada lah. Ada kat rumah mak saya kat kampung. Saya ingat belum masanya nak bersalin sebab baru 36 minggu. Tak sangka tengah jalan-jalan, air ketuban pecah,”

Satu lagi jawapan “Saya ingat lambat lagi nak bersalin sebab tarikh jangka bersalin seminggu lagi,”.

Tidak semestinya tarikh jangkaan bersalin itu adalah tarikh yang betul-betul bayi akan keluar.Tidak kira pengalaman pertama ke, kedua ke, nasihat saya, 34-36 minggu kehamilan dan ke atas dah boleh buat persediaan. Get ready bila-bila boleh bersalin. Manalah tahu kot-kot terpecah air ketuban lepas tu bersalin. Maka, bawalah barang-barang keperluan ke mana jua anda pergi.

Kepada yang bakal menyambut orang baru, tahniah diucapkan. Bagi yang akan menyambut anak pertama, nah. Sedikit maklumat untuk membantu anda membuat persediaan.

Persediaan Fizikal:
1) Bajet
Lakukan persediaan awal dengan menyediakan bajet yang mencukupi untuk proses bersalin normal dan bersalin melalui pembedahan sekiranya perlu. Jangan bimbang, kos bersalin di hospital kerajaan berpatutan dan tidak akan mencecah ribuan ringgit sampai boleh beli tiket pergi ke London.

2) Lokasi hospital
Kenal pasti hospital yang berhampiran dengan rumah anda atau lokasi yang anda sedang berada bagi memudahkan anda untuk datang ke hospital dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.

Sekiranya anda mengandung anak yang kedua dan ke atas, atau mempunyai masalah kesihatan yang agak kronik, anda disarankan bersalin di hospital yang sama dengan kelahiran anak pertama bagi memudahkan pihak hospital melihat semula rekod lama anda sekiranya terdapat masalah.

3) Buku Merah
Sila bawa buku mengandung anda yang berwarna merah jambu tu di dalam beg anda dan bawa ia ke mana-mana saja anda pergi bagi memudahkan keadaan sekiranya berlaku kecemasan. Tidak perlu membawa buku merah seperti yang disebut oleh Zizan Razak di dalam lagu ‘Bawa Daku Pergi’. Itu buku merah pasport. Kalau buku mengandung anda warna lain pun tak apa, asalkan ada bukunya. Persediaan tu penting ya.

IKLAN

4) Surat Nikah
Sila bawa surat nikah/kad nikah (jika perlu) bagi membolehkan suami anda menemani anda di dalam dewan bersalin. Di hospital kerajaan, hanya suami yang sah sahaja dibenarkan menunggu di dewan bersalin. Bakal suami, bekas suami ataupun skandal tidak dibenarkan ya.

5) Maternity Pad
Kerapkali suami akan bertanya “Hospital tak sediakan ke? ” Anda dinasihatkan supaya membawa sendiri maternity pad kerana pihak hospital tidak ada menyediakan. Jika terlupa bawa, boleh dapatkan di hospimart berhampiran lobi hospital. Kenapa mesti maternity pad? Kerana maternity pad lebih tebal dan lebar. Cuba bandingkan pad maxi lebresse, kotex dengan maternity pad? Tak sama kan? Itu salah satu contohnya la.

Bila Ibu Dah Sarat Mengandung Sentiasa Bawa Barang Keperluan Bayi Ke Mana-Mana Pesan Jururawat!

6) Pakaian ibu
Elakkan daripada membawa pakaian yang terlalu banyak seperti anda baru sahaja lari dari rumah mak mentua kerana pihak hospital ada menyediakan pakaian hospital yang berwarna merah jambu. Cukup dengan hanya membawa baju untuk dipakai semasa discaj nanti. Kalau nak bawa dalam 2-3 persalinan pun masih dikira ok. Cuma jangan bawa satu almari.

Dan, suatu perkara lagi. Sila bawa seluar dalam yang bersesuaian dan disarankan seluar dalam di atas paras pusat bagi tujuan keselesaan ibu dan menjaga luka pembedahan sekiranya pembedahan terpaksa dilakukan. Harapnya dapat bersalin secara normal la ye. Janganlah request pembedahan.

7) Pakaian bayi
Seperti juga pakaian ibu, tidak perlu membawa pakaian bayi yang terlalu banyak kerana jika tiada apa-apa masalah, ibu dan bayi akan dibenarkan discaj dalam masa 24 jam. Jika bayi anda terpaksa dimasukkan ke sekolah asrama pun (dimasukkan ke wad kanak-kanak), bayi anda anda juga akan dipakaikan pakaian hospital. 

Bagi ibu yang sibuk bekerja atau sibuk dengan pengurusan kehidupan harian, anda juga boleh membeli keperluan bayi ini secara online sahaja. Untuk lebih penjimatan, DPAM kini sedang mengadakan promo ‘free shipping’ untuk semua barangannya mulai 25 hingga 31 Julai 2019. Gunakan kod promo DPAMFS untuk dapatkan harga istimewa di DPAM!

Sila bawa bekalan lampin pakai buang yang mencukupi dan tidak dilupakan peralatan bayi seperti bedak bayi, syampu, losyen, tisu basah dan apa sahaja yang berkaitan.

8) Bahan makanan
Elakkan daripada membawa makanan yang terlalu banyak sehingga penuh almari seolah hendak berpiknik di PD ataupun Cherating dan bawa makanan yang dirasakan perlu sahaja. Bukan apa. Simpati pada suami yang mengangkut bakul besar ke sini sana. Bawa yang dirasakan perlu sahaja. Jangan pula bawa jajan sampai penuh bakul.

IKLAN

Persediaan mental.

1) Kelas antenatal
Ia perlu terutama bagi yang akan melahirkan anak pertama bagi menyediakan ibu dengan sedikit pengetahuan supaya ibu tidak terlalu terkejut berhadapan dengan prosedur apabila berada di dalam dewan bersalin dan supaya ibu tidak bertanya soalan yang sama berulang kali.

“Tadi dah cek, kenapa kena cek lagi? “

“Air ketuban dah keluar, baby tak lemas ke? “

“Kenapa saya makin sakit belakang ni misi?”

“Bila saya nak bersalin ni misi?”

Kenapa, kenapa dan kenapa.

Bila Ibu Dah Sarat Mengandung Sentiasa Bawa Barang Keperluan Bayi Ke Mana-Mana Pesan Jururawat!

IKLAN

2) Tanya encik google/yang pakar
Maksud bertanya encik google bukanlah bermaksud harus bergantung sepenuhnya pada internet tetapi dapatkan sedikit info tentang proses bersalin dan adalah penting untuk mendapatkan ilmu yang betul sebagai persediaan mental.

Tidaklah ibu melompat bila doktor melakukan pemeriksaan bukaan jalan. Dapatkan juga info dari yang berpengalaman dan sila rujuk jururawat di klinik berhampiran anda.

Yang penting, tolong jangan dapatkan info dari page-page bangang di facebook yang banyak memberikan info yang bukan-bukan.

3) Doa
Bagi yang beragama Islam, lakukan amalan yang baik dengan banyak berzikir, berselawat ke atas nabi, banyakkan membaca doa nabi Yunus serta amalan-amalan yang lain sebagai terapi diri dan semoga dipermudahkan proses bersalin.

4) Maaf
Jika boleh, mohonlah maaf pada orang-orang yang ada disekeliling anda terutama sekali encik suami dan minta agar dia mendoakan anda supaya mudah bersalin.

5) Pelihara tutur kata
Ucapkan kata-kata yang baik, lafazkan doa yang baik-baik dan dengar perkara yang baik-baik.

6) Sentiasa bersikap positif

Perkara Penting yang anda perlu tahu:

* Elakkan memberi botol susu dan puting tiruan kepada bayi yang baru lahir dan sekiranya anda terkantoi di depan jururawat, sila jangan marah kalau jururawat anda membebel.

Ada apa lagi yang tinggal? Sila tambah sendiri.

Oh! Senaman pernafasan jangan lupa berlatih buat ya!

Sumber: Rosnalizawati Hamzah

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI