Bagi anda yang pertama kali melahirkan anak, pasti teruja dan tidak sabar untuk membawa si manja pulang ke rumah.
Maklum sahajalah, apabila berada di rumah sendiri, lebih selesa rasanya. Ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan diketahui tentang hal ini.
Sebelum balik ke rumah selepas discaj daripada hospital, rancanglah perjalanan pulang dari hospital ke rumah. Pastikan carseat khusus untuk bayi baru lahir ada di dalam kereta. Ini penting untuk menjamin keselamatannya sepanjang perjalanan.
Selain daripada itu, anda mahupun suami sepatutnya sudah menetapkan siapa yang mengambil anda dan bayi untuk pulang, jalan yang patut diambil dan sebagainya.
Setelah sampai di rumah, ada beberapa perkara yang perlu anda tahu dan buat.
1. Penyusuan adalah setiap 2 – 3 jam sekali. Maka dengan itu, bersedialah untuk bersengkang mata. Cuba rehat apabila bayi sedang tidur.
Rehat yang secukupnya sangat penting dalam tempoh ini untuk memastikan kestabilan mental dan emosi.
Selain daripada itu, ia juga penting untuk membolehkan proses penghasilan susu ibu berjalan lancar.
2. Pastikan keselesaan yang optimum untuk bayi seperti pakaian yang selesa, bilik tidak terlalu sejuk atau panas, dipakaikan bedung dan ditukarkan lampinnya bila perlu.
Antara sebab bayi menangis adalah kerana dia berasa tidak selesa. Tilam bayi juga perlu dipetiksa. Tillam yang nipis dan lembut mengurangkan risiko lemas.
3. Jika anda tidak yakin untuk menguruskan bayi sendiri, mintalah bantuan. Selalunya ibu anda atau ibu mertua akan menawarkan diri untuk membantu. Atau mungkin saudara-mara yang lain. Jangan malu untuk meminta dan menerima bantuan.
Jika anda tidak mempunyai keluarga yang boleh membantu, jangan risau. Pada masa ini, ada ramai yang menawarkan servis untuk menjaga ibu di dalam pantang.
4. Luka akibat proses kelahiran perlu dijaga rapi supaya tidak berlaku jangkitan.
Jangan mengangkat benda berat dan melakukan aktiviti berat kerana ini boleh mengakibatkan luka terkoyak dan sebagainya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini Perkara Yang Akan Berlaku Dalam Bilik Bersalin, Persiapan Untuk Ibu Bakal Bersalin
Perasaan gementar di kalangan ibu yang pertama kali bersalin adalah suatu perkara yang biasa. Tambahan pula ia adalah pengalaman pertama.
Ingat, pengalaman setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain. Jadikan pengalaman mereka sebagai panduan dan persediaan sebelum melalui proses kelahiran.
Dengan mengetahui sedikit sebanyak tentang pengalaman dalam bilik bersalin, dapatlah anda menjangkakan dan membuat persediaan mental dan fizikal.
Bagi anda yang bakal dan cuba bersalin secara normal, berikut adalah antara perkara yang boleh anda jangkakan bakal berlaku semasa di bilik bersalin.
Dibawa ke bilik bersalin selepas fasa aktif kelahiran bermula
Jangan ingat sebaik sahaja merasai kontraksi dan bergegas ke hospital, anda akan terus dimasukkan ke dalam bilik bersalin.
Tidak. Bukan begitu. Anda akan diperiksa terlebih dahulu. Salah satu rutinnya ialah pemerikaan bukaan serviks. Untuk itu, doktor akan memasukkan jari ke dalam faraj dan mengira luas bukaan serviks ketika itu.
Jika masih dalam fasa awal, anda akan ditempatkan di wad buat sementara waktu. Setelah kontraksi berlaku setiap 5 minit, barulah anda akan dibawa ke bilik bersalin.
Kena buang najis terlebih dahulu
Selepas dimasukkan ke bilik bersalin, jururawat akan memberikan ubat pelawas supaya anda membuang air besar.
Sekiranya boleh, jangan minum terlalu banyak air sebelum ke bilik bersalin. Selain itu, pastikan anda sudahpun mencukur bulu kemaluan. Hal ini dapat memudahkan proses jahitan sekiranya anda perlu melahirkan anak secara pembedahan atau menjalani episiotomi.
Bilik bersalin biasanya bersuhu dingin
Bilik bersalin biasanya sejuk. Ada segelintir ibu bersalin tiba-tiba boleh mengalami peningkatan suhu badan dan demam lantaran tidak dapat menahan kesejukan.
Jadi, ada baiknya anda bawa baju sejuk daripada rumah. Jika ia masih tidak dapat memberikan kehangatan, anda boleh minta selimut daripada jururawat.
Sesetengah hospital membenarkan suami masuk untuk menemani anda. Jika tidak dibenarkan, anda akan berada di dalam bilik bersalin bersama jururawat sehingga bayi betul-betul bersedia untuk keluar.
Ubat tahan sakit boleh beri kesan sampingan
Dalam fasa aktif, kontraksi yang dialami semakin kerap dan sakit. Jija ada keperluan, doktor akan menawarkan pengambilan ubat tahan sakit seperti gas entonoks, suntikan pethidine atau epidural.
Dua jenis suntikan ini biasanya meninggalkan kesan sampingan seperti mengantuk atau loya. Ada pengalaman di mana ibu terlalu mengantuk sehingga tidak dapat meneran akibat pengambilan ubat tahan sakit jenis ini.
Namun, ramai yang mengaku bahawa ubat tahan sakit ini amat membantu dalam mengurangkan kesakitan yang dialami.
Kelahiran normal ada waktunya perlu guna alat bantuan
Jika anda berjaya melahirkan secara normal, bayi anda akan keluar apabila diteran. Sekiranya anda mengambil masa terlalu lama atau laluan terlalu sempit, doktor akan membuat potongan episiotomi.
Jika masih tidak berjaya, doktor mungkin akan menggunakan peralatan seperti vakum dan forsep.
Sesi sentuhan kulit ke kulit dengan bayi
Setelah berjaya dikeluarkan, bayi yang baru lahir akan ditunjukkan kepada anda terlebih dahulu untuk pengesahan jantina. Kemudian, hidung dan matanya dibersihkan sebelum diserahkan kepada anda untuk sesi sentuhan kulit ke kulit.
Namun, hal ini hanya akan berlaku sekiranya bayi dan proses kelahiran tiada apa-apa komplikasi.
Sesi ini amat penting untuk anda dan bayi. Ia dipercayai dapat menstabilkan suhu badan bayi. Inilah juga masanya untuk anda menyusukan bayi untuk kali pertama.
Selepas itu, bayi akan dibawa semula ke nurseri untuk dimandikan dan diazankan oleh suami anda.
Proses keluarkan uri
Selepas bayi selamat dikeluarkan, proses seterusnya ialah mengeluarkan uri daripada dalam rahim. Biasanya jarak masa melahirkan bayi dan mengeluarkan uri tidak lama. Sekitar 5 hingga 30 minit.
Anda mungkin dapat merasakan kontraksi kecil ketika proses ini. Ia adalah tanda uri sedang terpisah daripada dinding rahim dan sedia untuk dikeluarkan. Walau bagaimanapun lebih ramai ibu yang langsung tidak menyedari proses ini. Ada yang tidak perasan pun uri sudah keluar.
Proses jahit perineum tidak sakit
Jika melalui proses episiotomi, luka akan dijahit semula sebaik sahaja uri dikeluarkan. Walaupun sakit, namun tahap kesakitannya tidak teruk. Ramai ibu menyatakan boleh bertahan dengan kesakitan jahitan perineum kerana sakit kontraksi lebih menyakitkan.
Selepas proses ini, anda akan dipantau seketika bagi memastikan rahim mengecut dan tidak berlaku pendarahan. Selepas semuanya selesai, anda akan dibawa ke wad untuk berehat.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ngerinya Rengat Lepas Bersalin, Sakit Tak Terkata. Doktor Ini Kongsi Punca Rengat & Tip Mengurangkan Kesakitan
Bagi ibu yang baru bersalin, rengat akan menjadi mimpi ngeri. Kesakitan pada bahagian ari-ari selepas bersalin ini tidak dapat digambarkan, hanya yang pernah menghadapinya akan tahu.
Rengat akan berlaku kepada ibu selepas melahirkan, tidak kira secara normal atau pembedahan. Malah ada ibu yang menyamakan rengat dengan kontraksi bersalin dan mengatakan lebih dari itu bagi menggambarkan tahap kesakitan teramat sangat yang dialami.
Menurut Dr Afiq Rahim, sakit rengat ini juga perlu diketahui oleh para suami bagi membantu dan memahami isteri yang sedang mengalaminya.
SAKIT RENGAT. DERITA SELEPAS BERSALIN BUAT SI IBU
Mungkin ada yang pertama kali mendengarnya terutama kaum Adam.
Ketahuilah, ilmu ini barangkali boleh membantu kamu saat isterimu butuh pertolonganmu selepas bersalin.
Sakit Rengat atau bahasa Mat Don ‘AFTER BIRTH PAIN” adalah sakit menyerupai senggugut selepas bersalin. Ada pihak mengatakan sakit ini lebih kuat daripada sakit kontraksi semasa hendak bersalin.
Ini adalah antara proses pengecutan rahim kepada saiz dan posisi asalnya.
RENGAT BERLIPAT KALI GANDA SEMASA MENYUSU
Kesakitannya akan diamplifikasikan berlipat kali ganda apabila penyusuan ibu dilakukan sehingga ada ibu yang tewas melawan sakit ini.
Mengapa pula?
Penyusuan ibu merangsang penghasilan hormon oxytocin, hormon yang diperlukan si ibu untuk mengecutkan rahimnya segera.
Rahim yang lambat mengecut boleh menyebabkan berlaku TUMPAH DARAH seperti yang berlaku kepada pesakit saya semasa banjir 2014 (nak tahu kisah ibu tersebut, bolehlah dapatkan senaskah buku saya “I NEED A HELICOPTER, MY PATIENT IS DYING”).
RENGAT BANYAK BERLAKU SELEPAS KELAHIRAN ANAK KEDUA & KE ATAS
Biasanya sakit rengat ini hanya berlaku pada anak kedua dan ke atas dan jarang berlaku kepada ibu yang baru pertama kali menimang cahaya mata.
Durasi kesakitan pula sekitar 2-10 hari bergantung kepada keadaan.
Akan tetapi kebanyakkan ibu yang pernah melalui mengatakan durasinya bergantung kepada bilangan anak. Semakin banyak anak, semakin lama sakitnya.
BAGAIMANA MENGHILANGKAN KESAKITAN RENGAT?
Ada kajian di PubMed yang menunjukkan assosiasi stress dan depresi kepada ibu yang kesakitannya gagal diuruskan dengan baik selepas bersalin.
Jadi penting menguruskan kesakitan ibu selepas bersalin dengan baik!
#1. UBAT PENAHAN SAKIT
Pilihan terbaik adalah penggunaan ubat penahan sakit NSAID yang telah terbukti secara kajian memang berkesan. Gabungannya dengan Ubat Paracetamol juga dilihat berkesan.
#2. TEKNIK PERNAFASAN
Teknik pernafasan atau hipnosis juga dapat membantu mengawal kesakitan.
#3. MENGOSONGKAN PUNDI KENCING
Antara tips lain adalah sentiasa membuang air kecil untuk mengosongkan pundi kencing. Pundi kencing yang penuh antara punca menaikkan tahap sakit rengat selepas bersalin.
#4. TUNGKU ATAU LOSYEN PANAS
Petua tradisional juga boleh diamalkan seperti meletak tuku / batu panas ke atas rahim / losyen panas untuk mengurangkan sakit dan mempercepatkan proses pengecutan mengikut kadar yang disarankan sahaja dan tidak berlebihan.
Bagi yang bersalin secara pembedahan, perlulah mendapat nasihat doktor terlebih dahulu. Dibimbangi rawatan yang tanpa kajian boleh mengganggu penyembuhan luka dalaman.
Paling penting si ibu dan pasangannya perlu bersabar dan menguatkan semangat untuk melalui ujian ini.
Saya dan isteri juga baru menempuh episod baru seperti ini. Memang sakit yang teramat. Kasihan melihat isteri mengerang sakit rengat.
Jadi saya berharap artikel ini dapat membantu para ibu dan pasangannya untuk bersedia menghadapi saat tersebut.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Afiq Rahim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
3 Warna Najis Bayi Ini Tanda Si Manja Mungkin Ada Masalah Kesihatan, Awas!
Apabila si manja buang air besar, warnanya berbeza-beza, bukan? Mari kenali jenis najis bayi, barulah boleh pantau jika mereka mengalami masalah kesihatan.
Jenis najis bayi: Apakah warna normal?
Hasil buangan bayi sama ada kencing atau berak, adalah sesuatu perkara biasa yang perlu dihadapi oleh ibu bapa.
Tetapi adakah anda tahu terdapat variasi bagi jenis najis bayi?Antaranya najis si kecil anda mungkin berair atau keras, warna hitam, hijau mahupun kuning.
Menukar lampin bukanlah sekadar rutin harian ibu bapa. Sebaliknya, ia boleh menjadi cara untuk mengawasi tahap kesihatan si manja.
Setiap perbezaan warna, konsistensi dan kekerapan bayi membuang air besar boleh menjadi petunjuk kesihatan dan perkembangan mereka.
Keadaan normal najis bayi
Setelah si manja mengeluarkan mekonium, perubahan keadaan najis mereka adalah sangat besar. Ia bergantung kepada pemakanan bayi.
Bagi yang belum mengetahui, mekonium adalah najis pertama bayi baru lahir.
Ia merupakan kotoran berwarna hijau gelap dan pekat terdiri daripada sel, protein, lemak serta rembesan usus seperti hempedu.
Najis mekonium ini biasanya dikeluarkan dalam beberapa jam pertama atau hari selepas dilahirkan.
Pun begitu, ada juga bayi yang membuang mekonium ini ketika masih dalam kandungan semasa tempoh lewat kehamilan.
Berikut antara jenis najis bayi yang mungkin anda lihat pada lampin si manja:
Bayi menyusu badan
Najis untuk tempoh beberapa bulan pertama mungkin kelihatan seperti mustard Dijon dengan konsistensi agak berair.
Ia juga mungkin disertai dengan ketulan kecil lemak berwarna putih.
Jangan tidak tahu, warna najis bayi juga boleh berubah bergantung kepada apa yang si ibu makan!
Sebagai contoh, sekiranya ibu makan sayuran seperti bayam, anda mungkin akan melihat warna hijau pada lampin si kecil.
Bayi menyusu susu formula
Sekiranya bayi diberikan susu formula, jenis najis mereka adalah berbeza berbanding dengan bayi menyusu badan.
Konsistensinya seakan pes dan tidak sekeras sapuan mentega kacang dengan warna kuning gelap atau coklat.
Jenis najis bayi peringkat bercerai susu
Apabila si manja mula diperkenalkan dengan makanan pejal yang disyorkan apabila bayi berusia sekitar 6 bulan – keadaan najis mereka akan mengalami beberapa perubahan besar.
Biasanya najis mereka akan lebih keras dan mempunyai warna yang berbeza-beza.
Jika anak mula mengambil finger food, anda mungkin akan melihat cebisan makanan tidak tercerna seperti kulit kacang pea.
Ini kerana sistem pencernaan bayi masih belum dapat memproses semua makanan baharu ini.
Najis si manja yang sedang dalam proses bercerai susu juga akan berbau dengan lebih kuat.
Ia disebabkan oleh lemak dan gula tambahan yang terkandung dalam makanan yang diberikan kepada mereka.
Jenis najis bayi: Keadaan BAHAYA!
Sesetengah warna najis boleh menjadi tanda mereka mengalami masalah kesihatan.
Anda perlu membawa bayi berjumpa doktor sekiranya keadaan najis mereka berwarna:
Merah
Berwarna merah disebabkan darah pada najis bayi. Oleh sebab itu, sangat penting untuk doktor mengetahui keadaan yang mendasarinya.
Tetapi adakalanya, perubahan warna itu disebabkan oleh faktor yang tidak mendatangkan bahaya.
Untuk bayi yang baru dilahirkan, ia terjadi mungkin kerana mereka tertelan sedikit darah semasa proses bersalin.
Seandainya anda menyusu badan, situasi puting berdarah boleh mengakibatkan najis anak mempunyai warna merah.
Sesetengah makanan pejal yang diberikan kepada si manja, seperti bit, turut boleh menjadi punca najis mereka bertukar kepada warna merah.
Hitam
Dalam beberapa kes, jenis najis bayi hitam mungkin didasari oleh perubahan warna darah daripada merah kepada hitam.
Ibu juga perlu mengetahui bahawa najis berwarna hijau gelap juga ada masanya tampak seperti warna hitam.
Warna najis hijau gelap biasanya bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Misalnya seperti najis mekonium.
Jenis najis bayi: Putih atau kelabu
Najis bayi yang berwarna putih pucat atau seakan tanah liat adalah yang paling kerap berlaku.
Walau bagaimanapun, jika anda melihat sesuatu seperti ini lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.
Ini kerana ia boleh menjadi tanda si manja mungkin mengalami masalah kesihatan berkaitan hati yang memerlukan rawatan.
Kekerapan pergerakan usus bayi
Jumlah kekerapan bayi membuang najis akan berubah apabila mereka membesar dan sistem pencernaan semakin berkembang.
Namun, ia juga akan dipengaruhi oleh cara penyusuan yang diberikan.
Jika menyusu badan..
Si manja akan cenderung membuang air besar lebih kerap berbanding rakan sebaya yang diberikan susu formula.
Selepas beberapa hari dilahirkan, anda mungkin akan berdepan dengan pergerakan usus bayi antara 2 hingga 5 kali sehari.
Keadaan ini akan berlanjutan sehingga bayi berusia sekitar 6 minggu.
Perlu diingatkan bahawa selepas usia 3 hingga 6 minggu, bayi menyusu badan mungkin tidak akan mengalami sebarang pergerakan usus untuk tempoh beberapa hari.
Keadaan ini disebabkan oleh sistem pencernaan bayi dapat memproses susu ibu dengan lebih berkesan dan meninggalkan sisa pepejal yang sedikit.
Selepas 6 minggu, kekerapan bayi untuk membuang najis akan berkurang setiap hari.
Salah satu sebabnya adalah pada masa ini susu ibu biasanya tidak lagi mengandungi kolostrum – yang bertindak sebagai julap (laxative).
Jika menyusu susu formula…
Bagi bayi yang diberikan susu formula, selepas tempoh beberapa hari pertama, mereka biasanya akan membuang najis sekurang-kurangnya sekali sehari.
Ia juga satu keadaan normal jika bayi tidak melakukan pergerakan usus antara 1 atau 2 hari. Tetapi ibu perlu memastikan tekstur najis adalah lembut.
Jika ada sebarang kebimbangan mengenai jenis najis bayi anda, berbincanglah dengan pakar pediatrik dalam kadar segera.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI