Mogok menyusu atau ‘nursing strike’ adalah tabiat di mana bayi tak mahu menyusu secara tiba-tiba atau mendadak. Walaupun penyebabnya kadangkala tidak diketahui dengan jelas, namun ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara biasa yang menyebabkan bayi ‘merajuk’ atau tidak selesa.

Antaranya puncanya termasuklah hidung tersumbat, jangkitan kulat pada mulut, sakit tekak, atau mungkin saja bayi berasa takut apabila dimarahi ibu kerana menggigit puting payudara. Walau apa pun alasannya, bayi yang berusia bawah 6 bulanterutamanya tidak seharusnya dibiarkan mogok berpanjangan. Ini kerana, susu adalah sumber makanan utama yang mereka perlukan untuk tubuh.

Bila Tiba-Tiba Bayi Mogok Tak Nak Menyusu, Cara Ini Mungkin Berkesan Memujuk

Oleh itu, cuba lakukan langkah berikut untuk menamatkan ‘mogok’ bayi tak mahu menyusu.

6 CARA BERKESAN MEMUJUK BAYI YANG ‘MOGOK’ MENYUSU

Jika bayi tak mahu menyusu, cuba periksa dan lakukan 6 langkah ini.

1. PERIKSA HIDUNG BAYI

Pertama sekali, cuba periksa jika hidung bayi tersumbat. Seorang dewasa pun akan berasa tak selesa untuk makan dan minum akibat hidung tersumbat.

Jika hal ini terjadi kepada bayi, ibu boleh membantu mengatasi hidungnya yang tersumbat dengan memakaikan minyak bayi seperti minyak telon, minyak bawang putih, atau ubat titis yang dipreskripsikan oleh doktor.

2. KULAT DALAM MULUT BAYI

Kadangkala, kita sangkakan bekas-bekas putih akibat sisa susu dalam mulut bayi adalah normal dan tidak perlu dirisaukan. Namun sebenarnya sisa-sisa ini boleh menyebabkan jangkitan kulatsekiranya tidak dibersihkan dan berkumpul terlalu lama dalam mulut bayi.

Ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan atau sedikit perit hingga bayi tak mahu menyusu. Cuba bersihkan mulut bayi setiap hari dan bagi bayi berusia 6 bulan ke atas, boleh beri minum air masak selepas menyusu untuk membilas mulut.

3. JANGKITAN TELINGA

Jangkitan telinga boleh dialami bayi sebagai salah satu kesan lanjutan daripada demam selsema. Sekiranya bayi mengalami jangkitan telinga, bayi tidak mahu menyusu kerana telinganya terasa sakit untuk menghisapsesuatu.

Jadi, ibu perlu beri perhatian dan perhatikan isyaratnya sekiranya bayi terlihat asyik memegang dan menarik-narik telinga.

Bila Tiba-Tiba Bayi Mogok Tak Nak Menyusu, Cara Ini Mungkin Berkesan Memujuk

  1. Rasa Susu Berubah

Sesetengah bayi amat sensitif apabila ibu menyusu memakan sesuatu makanan yang menjejaskan rasa susu badan. Antara makanan yang biasanya menjadi punca bayi tidak selesa adalah kopi, rempah tertentu, dan makanan yang berangin seperti kobis.

Cuba ingat semula apa yang anda makan tadi. Catatkannya supaya anda lebih berhati-hati lain kali. Lazimnya, bayi akan mula menyusu selepas sehari anda makan makanan tersebut.

5. BAYI TUMBUH GIGI

Bayi yang sedang tumbuh gigi biasanya merasa nyeri pada gusinya dan kadangkala ia turut disertai demam. Dalam fasa ini, bayi selalu merengek dan berkelakuan serba tak kena.

Cuba berikan bayi sesuatu yang selesa untuk digigit seperti teether dan buah-buahan sejuk. Di samping itu, bayi memerlukan banyak sokongan dan pelukan untuk membantunya menghadapi fasa ini.

6. SUASANA BARU

Semasa baru diperkenalkan kepada puting tiruan atau botol susu, bayi mungkin akan berasa susah untuk minum susu seperti selalu. Mereka juga mungkin belum biasa terhadap rasa susu perahan atau stok susu simpanan yang dipanaskan semula.

Selain itu, ada bayi yang sensitif terhadap persekitaran baru dan memerlukan waktu untuk beradaptasi. Jika mereka baru bertukar katil, tidak dapat tidur dalam buaian kegemaran mereka, cubalah dakap dan tenangkan mereka sebelum memberi susu.

JANGAN TERLALU MEMAKSA

Bayi yang berusia bawah 6 bulan tentunya bergantung kepada susu sebagai sumber makanan utama. Oleh itu, penting untuk mereka terus menyusu dan ibu bapa perlu berbuat sesuatu sekiranya mogok ini berterusan. Jika mereka sudah mula makan, anda tidak perlu risau kerana anda boleh cuba menawarkan makanan yang sesuai untuk mereka.

Perlu diingat, bayi boleh trauma apabila ibu bapa terlalu memaksa dan memarahi bayi yang tidak mahu menyusu. Maka, ibu bapa perlu banyak bersabar dan memujuk dengan lembut. Sekiranya ia turut disertai dengan demam dan bayi kelihatan kurang aktif, bawalah bayi berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber: zuriat.my

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI