Bagi ibu hamil, makluman tentang paras Hb rendah adalah antara yang sering menjadi igauan. Ramai yang mengeluh dan menyatakakan ketidakpuashatian kepada jururawat dan doktor yang memantau kehamilan masing-masing.

Adakah anda faham apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Hb rendah dan mengapa anda disaran untuk sentiasa menjaga paras Hb? Untuk makluman anda, kira-kira satu daripada lima kehamilan adalah berisiko mengalami anemia.

Daripada sudut perubatan, anemia yang kerap kali dialami oleh golongan ibu hamil berpunca daripada kekurangan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah.  Ia boleh dikesan melalui ujian darah iaitu apabila paras Hb dalam sel darah merah kurang daripada 11gm/dl.

Semasa hamil, tubuh akan menghasilkan lebih banyak sel darah merah untuk menyokong perkembangan bayi. Kekurangan Hb boleh menyebabkan tubuh kekurangan oksigen, lalu mendedahkan anda dan bayi kepada beberapa risiko.

Walau bagaimanapun, dengan pantauan doktor dan langkah keselamatan yang diambil sejak awal, tidak mustahil anda boleh melahirkan bayi secara normal. Jadi, pastikan anda menjaga kesihatan fizikal serta mental dengan baik seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

IKLAN

Bagi mengurangkan risiko, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk memperbaiki bacaan Hb.

1. Memakan makanan kaya zat besi

Antara sumber makanan kaya zat besi yang baik terdiri daripada beberapa kumpulan makanan yang bersumberkan haiwan seperti daging,  hati ayam,  limpa, kerang, ikan, sotong dan ikan bilis. Manakala daripada sumber sayuran pula boleh diperoleh daripada

pegaga, pucuk paku, kangkung, bayam dan kailan. Jadi, anda disaran untuk memastikan diri mengambil sekurang-kurangnya satu jenis makanan daripada sumber haiwan dan sayuran setiap hari.

IKLAN

2. Mengambil pil atau suplemen yang dipreskripsikan oleh doktor

Sekiranya anda didiagnosis dengan masalah Hb rendah ketika hamil, doktor akan membekalkan ubat khas untuk mengatasi masalah ini. Di Klinik Kesihatan, selalunya pil hematinik akan diberikan, di mana ia terdiri daripada empat jenis pil iaitu pil zat besi, pil asid folik, pil vitamin C dan pil vitamin B kompleks. Selain daripada empat jenis pil ini, anda juga mungkin dibekalkan dengan ubat lain seperti Zincofer atau Iberet. Pastikan anda mengambil pil ini setiap hari mengikut dos yang disarankan oleh doktor.

3. Elakkan kafein atau makanan yang menghalang penyerapan zat besi

Dalam usaha memastikan penyerapan zat besi berlaku dengan lebih efisyen, elakkan diri daripada minum atau makan bahan yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, minuman berkola atau minuman bercoklat, terutamanya dalam tempoh dua  jam selepas pengambilan pil zat besi.

Selain daripada makanan atau minuman yang mengandungi kafein, susu juga mampu menjejaskan penyerapan zat besi dalam tubuh. Oleh yang demikian, anda perlu menjarakkan pengambilannya sekurang-kurangnya dua  jam selepas memakan ubat.

IKLAN

4. Lebihkan makanan yang membantu penyerapan zat besi

Makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi terdiri daripada makanan yang kaya dengan vitamin C. Oleh itu, anda digalakkan untuk makan pil hematinik bersama air kosong atau jus buah-buahan untuk proses penyerapan yang optimum. Selain daripada itu, anda juga digalakkan untuk mengambil lebih banyak buah dan sayur yang kaya dengan vitamin C dalam menu harian. Antaranya jambu batu, limau, betik, tomato, dan sebagainya.

5. Mematuhi rutin pemeriksaan antenatal setiap bulan

Pastikan juga anda sentiasa mematuhi rutin pemeriksaan antenatal supaya tahap  kesihatan anda dan kandungan dapat dipantau dengan teliti. Jika didiagnosis mengalami anemia atau Hb rendah semasa hamil, biasanya anda perlu datang untuk pemeriksaan yang lebih kerap, iaitu setiap dua minggu sekali.

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI