Berita baik untuk anda yang mahu mencuba kelahiran normal selepas pernah melalui pengalaman bersalin secara pembedahan caesarean! Namun, anda kena tahu ada syarat-syaratnya.

Dr Fazlina Hanum Mohd Ali, doktor pakar O&G di Hospital Islam Az-Zahrah menyatakan, secara umumnya, mana-mana wanita yang pernah sekali bersalin caesarean dibenarkan untuk mencuba untuk bersalin secara normal di kelahiran selanjutnya. 75 hingga 80 peratus ibu hamil yang mempunyai kriteria ini berjaya melahirkan anak seterusnya dalam proses kelahiran normal.

Walaupun begitu, anda yang mahu mencuba kaedah yang sama perlu mendapatkan kaunseling dan pemeriksaan doktor pakar terlebih dahulu. Sekiranya dalam kehamilan terdahulu anda bukan menghamilkan kembar atau lebih; tidak mengalami plasenta praevia, kedudukan bayi dalam kandungan tidak songsang atau melintang; bayi bukan bersaiz makrosomia, tiada sejarah rahim pecah ataupun pembedahan caesarean yang dilakukan bukan classical caesarean, maka anda ada peluang yang sangat cerah.

Sehubungan itu, perlu anda maklum bahawa selepas dua bulan bersalin, luka pembedahan sudah sembuh tetapi parutnya masih baru. Jadi, sebaik-baiknya jika mahu hamil lagi, biarlah selepas dua tahun anda menjalani pembedahan caesarean di kelahiran sebelum itu.

Ada kajian menyatakan risiko untuk rahim pecah adalah sangat tinggi jika kehamilan terbaharu berlaku dalam tempoh kurang satu tahun selepas pembedahan caesarean.Namun, ini tidak bererti anda tidak boleh melahirkan anak itu dalam proses kelahiran normal. Walaupun sudah hamil tanpa disengajakan atau dirancang, doktor masih mengizinkan cubaan bersalin normal setelah parut luka pembedahan diteliti dengan sebaik-baiknya.

IKLAN

Sepanjang tempoh kehamilan, anda perlu sentiasa berbincang dengan doktor yang memeriksa kehamilan tentang keupayaan anda yang mahu mencuba kelahiran normal. Anda dan suami perlu benar-benar memahami penerangan yang dijelaskan oleh doktor tentabg kebolehupayaan anda untuk proses kelahiran bayi itu.

Sehubungan itu, kebiasaannya jika anda mengandung semula dalam tempoh enam bulan selepas kelahiran caesarean sebelumnya, kebanyakan doktor pasti menasihatkan anda melalui pembedahan caesarean. Biarpun begitu, anda masih boleh mencuba untuk bersalin normal tetapi perlu faham risiko yang bakal dilalui.

IKLAN

Anda perlu tahu tentang kemampuan hospital bersalin pilihan menyediakan peralatan dan kepakaran mencukupi serta pemantauan berterusan dalam menghadapi sebarang risiko dalam kelahiran bayi anda nanti.

Risiko tetap sama

Sekiranya anda mahu mencuba bersalin normal selepas caesarean tidak kira anak pertama, kedua atau ketiga dan seterusnya, perlu ingat bahawa ia tetap parut!

IKLAN

Risiko yang mungkin berlaku kepada ibu sudah pasti rahim pecah. Dilaporkan risikonya ialah 0.3 – 0.5 peratus . Lanjutan daripada permasalahan ini, ia alan melibatkan risiko tumpah darah, pemindahan darah, diagnosis tertunda dan kematian ibu semasa bersalin.

Kemungkinan komplikasi ke atas bayi yang bakal dilahirkan pula, dia mungkin boleh lemas lalu perlu dimasukkan ke NICU. Selain itu, risiko kerosakan otak seterusnya menyebabkan kecacatan mental boleh berlaku. Malah, bayi juga berisiko untuk menemui ajal sekiranya usaha untuk proses kelahiran normal itu gagal disempurnakan.

Kesimpulannya, kelahiran normal selepas caesarean boleh dilakukan banyak kali kerana tiada had untuknya seperti yang diketahui umum. Anda boleh mencuba bersalin secara normal tetapi pemantauan rapi oleh doktor pakar perlu dilalui dengan meneliti parut pembedahan yang ada.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI