Bila anak tantrum, tindakan ibu ayah adalah marahkan mereka. Nanti dulu, mungkin kita boleh contohi cara ayah ini menghadapi tantrum anaknya.
Semua ibu bapa mesti rasa nak naik angin bila anak tantrum terutama di depan orang ramai. Ibu ayah ketap bibir tahan sabar dan marah je. Kalau tak ada orang, memang kenalah budak ni kita marah dia puas-puas. Sebelum anda terus tengking dan marah anak, baca perkongsian Dr. Taufiq Razif dulu.
Hari ni anak saya mengamuk!
Si Maryam Soolihah ni tak berhenti-henti merengek dan menangis. Dia nak mintak main kat taman permainan dekat RnR Jejantas Ayer Keroh tapi saya tak bagi.
Hari ni saya teman isteri saya bagi talk dekat bakal-bakal Doktor kat area Bangi. Waktu talk dah dekat tapi kami masih kat area Ayer Keroh lagi. Tu yang saya tak bagi nak saya main kat playground tu tapi anak saya yang sulung ni masih merengek-rengek tak berhenti.
Ni contoh Tantrum jenis Manipulatif!
Anak yang tantrum manipulatif ni biasanya akan mengamuk kerana ada hajat dia yang kita tak tunaikan. Biasanya anak dengan tantrum manipulatif ni air matanya keluar tak banyak mana pun tapi teriakannya boleh membingitkan telinga dan melampau-lampau pulak tu.
Cara nak hadapi anak dengan tantrum jenis manipulatif ni adalah dengan kita jaga emosi kita dan biarkan je! Yes, biarkan je. Kita jangan tengking tapi kita boleh tinggikan sedikit suara untuk menandakan kita tegas dengan keputusan kita.
Jangan cair!
Anak dengan tantrum manipulatif ni memang sengaja guna tangisan dan amukannya untuk mencairkan hati kita. Sekali kita dah cair, otaknya akan menanam isyarat yang kalau nak kita tunaikan permintaan dia, dia kena tantrum lagi dan lagi.
Jadi, tantrumnya akan makin hari makin teruk. Cuma kalau kes tantrum responsif. Biasanya si anak tu akan mengamuk dan menangis tiba-tiba . Bukan mengamuk sebab nak sesuatu. Masa tu kita kena periksa :
– anak kita cukup makan ke tak
– ada tersalah makan ke tak
– susu dah bagi ke belum
– cukup tidur ke tak
– pampers dah tukar ke belum
– cuaca panas ke tak
– ada tak kita main henset sampai lupa nak perhatikan anak
– ada luka-luka tak kat badan si anak
Masa ni la baru kita kena cari penyebab dan selesaikan masalah anak kita tu. InsyaAllah kalau kita ada ilmu nak bezakan tantrum anak ni kita lebih senang nak handle perangai anak kita. Tolong ajar ilmu ni kat pasangan kita juga ye.
Sumber: Taufiq Razif
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Seawal 2 Tahun Dah Boleh Ajar Anak Buat Kerja Rumah. Anak Pun Cepat Berdikari Dan Tak Manja
Biasanya bila anak usia 5 atau 6 tahun masuk dapur, ibu-ibu mula la sibuk suruh anak main di luar dengan alasan anak kecil lagi. Belum sesuai nak belajar berdikari. Paling penting waktu ini kita utamakan akademik.
Biar pandai ABC, 123 atau baca buku. Itu yang ibu bapa harapkan. Perlu ingat kalau lepas ni kita masih lagi dengan persepsi macam ni, tak mustahil, bila anak dah besar kita pula kena berperang untuk ajar anak masuk dapur dan tolong mana yang patut.
Berdasarkan pengalaman Puan Aminah Hussain kesilapan yang dilakukan sebelum pada anaknya tak akan diulang lagi dan boleh dijadikan peringatan buat seua ibu bapa lain.
5 tahun yang lalu:
“ jangan adik, terkena air sabun tu”
“ Tak payah duduk sini, adik kecil lagi nak basuh pinggan cawan ni”
“ penyapu ni besar, adik tak boleh menyapu lagi”
1 tahun yang lalu:
“ Iman, tolong ibu basuh pinggan”
“ tak nak lah ibu, nanti kena air sabun”
“ Iman tolong ibu sapu nasi tumpah tu”
“ penyapu besar la ibu”
Kesilapan ini saya takkan ulang pada anak seterusnya. Ilmu akademik itu penting, tapi ilmu berdikari juga sangatlah penting.
Berdikari di sini maksudnya anak boleh makan sendiri, boleh gunakan tandas dengan betul, boleh bangun pagi dan kemaskan katil sendiri, boleh basuh pinggan sendiri dan boleh sapu sampah yang mereka sendiri buat.
Anak-anak usia 2-3 tahun kebiasaannya sudah mula tertarik apabila melihat ibu mereka sedang basuh pinggan. Berilah peluang untuk mereka lakukannya walaupun perkara itu nampak leceh.
Mungkin anda akan basuh semula pinggan tersebut sekali lagi. Tapi masa inilah proses pembelajaran berlaku. Basuh pinggan begini caranya, menyapu begini.
Lebih awal anak berdikari, lebih cepat mereka menggunakan otak dengan baik dan matang lebih awal. Berdikari juga dapat membantu emosi seseorang supaya tidak bergantung pada orang lain untuk hidup lebih bahagia.
Anak akan lebih yakin dengan diri sendiri dan tiada masalah untuk bergaul dengan kawan- kawan di tadika mahupun di sekolah.
Sumber: Aminah Hussain
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Nak Anak Hormat Kita, Jangan Pandang Ringan Layanan Pada Anak Sejak Kecil
Sebagai ibu bapa tentu kita nak anak hormat kita. Jadi jangan pandang ringan layanan pada anak sejak mereka kecil lagi.
Sedar atau tidak, kadang-kala kita sebagai ibu bapa sendiri yang mendidik anak dalam aura negatif.
Asal anak buat salah sahaja, cepat kita marah dan tengking tanpa mengambil kira faktor usia anak tersebut.
Menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa, kita mahu anak-anak hormatkan kita tapi diri sendiri terpekik terlolong marahkan si anak yang teruja nak berkongsi lukisan yang dibuat di sekolah kerana kita penat baru balik dari kerja.
Betullah seperti hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau, hari ini memang ramai ibu bapa yang bagi layanan terbalik kepada anak-anak. Hasilnya anak membesar sebagai individu penuh dendam dan tidak menghormati orang tua.
Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
“Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!” tengking seorang ibu kepada anaknya.
Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun.
“Kamu buat apa di sini? Balik!” herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama kawan sekelasnya.
Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang jadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.
Entahlah, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang ‘bising’ apabila marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, lantas mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu, dan tidka mahu ia diterima sebagai kebiasaan yang normal? Sebaliknya yang normal itu ialah pada menerima, bahawa menengking dan mengherdik merupakan cara kita mendidik anak-anak.
Saya bukan mahu bercakap tentang wajar atau tidak herdik dan tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.
LAYAN CARA KECIL ATAU DEWASA
Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima enam tahun itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa. Dia tidak peka dan tidak peduli dengan keletihan ibu bapanya.
Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia untuk mereka.
Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, “kamu tidak tahukah aku penat?”
Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu? Sampaikah akal kanak-kanak di usia itu untuk memahami susah payah ibu bapanya bekerja? Dia masih anak kecil. Kita melayannya seperti dia sudah dewasa.
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.
YOP KENA MARAH
“Kenapa Yop masam muka ni?” saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Bila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.
Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Tahan sabar.
Jika seorang paediatrik berdepan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.
Semasa Yop berusia sekitar dua tiga tahun, beliau mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biar pun saya tahu beliau tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membatu.
“Tadi cikgu marah Yop” anak saya mula mahu bercakap.
“Kenapa cikgu marah?” saya cuba lagi untuk memahaminya.
“Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng” katanya. Bibir memuncung.
“Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?” saya terus bertanya.
Anak saya mengangguk.
“Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga” katanya.
Saya tergamam.
Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng oleh si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun faham konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dikenakan tindakan, bukannya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.
Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.
Naurah juga masih terlalu kecil untuk faham menconteng buku abang itu salah. Pada fikirannya, ia suatu keseronokan, dan seronok itu baik.
NASIB ABANG DAN KAKAK
Selalu juga berlaku di dalam sebuah keluarga, anak sulung sama ada Abang Long atau Kak Long, sentiasa disuruh mengalah kepada adik.
“Bagilah benda tu kat adik kamu. Kamu dah besar. Dia budak lagi” marah ibu atau bapa kepada anak.
Anak sulung sering disuruh mengalah.
Tetapi jangan kita lupa, ketika anak sulung dimarah, dia sedang berada pada usia intensif pembentukan identiti dan emosi. Identitinya perlu dibangunkan, dan emosinya perlu dibentuk. Sedangkan si adik kecil yang mahu dimenangkan itu belum faham apa-apa. Maka kesilapan kita ketika marah, impaknya pergi kepada anak yang telah faham maksud kecil hati dan dendam itu.
Marah boleh marah, tetapi janganlah sampai tiada didikan dalam kemarahan itu.
Akhirnya anak sulung menjadi taat mengikut arahan. Bukan kerana jadi baik, tetapi kerana rendah keyakinan diri.
Sikap melampau ibu bapa memenangkan anak kedua, menjadi anak sulung membesar dengan inferiority complex, manakala si adik pula terus membesar dengan superiority complex. Rosak kerana dimanjakan hingga tidak belajar mengikut arahan. Si sulung terlebih menerima arahan, yang adik terlebih mendapat kelebihan.
Perbahasan lanjut mengenai peringkat pembelajaran oleh Erik Erikson ini boleh dibaca di https://www.psychologynoteshq.com/erikerikson/
Erik Erikson di dalam teori perkembangan psikososial beliau, mengusulkan bahawa kanak-kanak semenjak lahir hingga dewasa, menempuh pelbagai peringkat pembelajaran yang unik. Di setiap peringkat umur, tindak tanduk anak-anak merupakan bentuk-bentuk pembelajaran yang memerlukan sokongan kita agar itu terbentuk dengan betul. Misalnya ada usia 18 bulan ke 3 tahun, si anak mula menerokai autonomi. Mereka mula mengambil tanggungjawab ke atas dirinya. Pakai baju sendiri, ke tandas sendiri, menyuap makanan sendiri, dan kita perlu menyokongnya. Bukan melakukan bagi pihak mereka, atau memarahi mereka apabila salah dalam melakukannya.
Demikianlah juga pada peringkat-peringkat yang lain.
Apatah lagi anak yang sudah meningkat remaja. Sudah faham erti maruah diri, membina identiti, memisahkan identiti diri daripada identiti ibu bapa, tiba-tiba marah kita memalukan dia di depan kawan-kawan, memusnahkan perkara induk yang si anak sedang bina. Ia langsung tidak mendidik malah hanya mencetuskan dendam. Janganlah buat anak remaja kita macam budak-budak. Jangan juga anak kita yang masih budak, dilayan seolah-olah dia sudah besar remaja.
“Bukanlah kuat dan tegas itu pada kuat pertarungan. Tetapi kuat dan tegas yang sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya ketika marah”
Itu pesan Nabi, sallallahu alayhi wa sallam.
Hasrizal Abdul Jamil
Sumber: abah.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebab Bina Keberanianlah Anak-Anak Boleh Capai Kecemerlangan
Berani tak anak anda? Berani dalam konteks pendidikan awal kepada kanak-kanak maksudnya boleh berdikari, yakin diri dan berani mencuba perkara baru. Memang nak didik anak, kena dilakukan pada awal usianya .
Oleh itu, pepatah ada yang menyebut ,’melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mendidik anak pada zaman serba moden ini memang mencabar minda. Sebagai ibubapa sudah pasti kita ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Namun, cara memberikan yang terbaik itu adakalanya silap tanpa kita sedari.
Salah satu cara didikan adalah membentuk keberanian dalam diri anak sejak kecil lagi. Perkongsian Dr. Hj. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang merupakan pakar motivasi diharap dapat mengubah cara didikan kita kepada anak.
Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian. Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya. Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang.
Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan. Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti.
Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan. Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan.
Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin.
Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat.
Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya. Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani:
1)Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara
Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka. Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan. Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga. Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.
2)Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka lakukan kesalahan
Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda. Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama maka kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah. Tetapi bagaimana pula kalau masalah yang sama dilakukan oleh anak berulang kali? Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab. Oleh itu biarkan anak dimarahi dan didenda oleh gurunya. Dari situ dia akan belajar. Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya. Sebagai ibu bapa usah campur tangan.
3)Berikan anak-anak peluang bergaul
Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa sahaja melalui laman sembang, facebook, twitter dan seumpamanya. Namun begitu, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang dari keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asal sahaja kita tahu siapa rakan-rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya. Dalam masa yang sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
4)Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak
Aktiviti-aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah, berenang dan seumpamanya dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak. Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan. Tetapi apabila selesai mencubanya pastilah keberanian diri meningkat. Malah di Malaysia kini sudah ada aktiviti ‘bungee jumping’ ini. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilibatkan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak. Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.
5)Bawa anak ke majlis orang dewasa
Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa dari usianya. Berikan dia ruang bertanya dan bercerita. Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti. Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab. Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi kalau majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri kendara, perkahwinan dan sebagainya maka bawalah mereka bersama.
6)Latih anak mengambil risiko
Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Mengambil risiko bukanlah bermakna melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli atau meletakkan dirinya pada kedudukan yang membahayakan. Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko. Memanjat pokok itu kerja berisiko. Tetapi kalau bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan itu adalah kerja berbahaya. Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu adalah kerja berisiko. Tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya. Anak-anak perlu tahu beza antara risiko dan bahaya.
7)Bercakap secara positif.
Bagi menanam keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya. Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati yang terbuka asasl sahaja mereka belajar sesuatu dari pengalaman itu. Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.
Sumber: www.tengkuasmadi.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI