Seramai 5,000 rakyat Malaysia, pelajar serta rakyat luar negara mencipta sejarah apabila buat julung kalinya berkumpul di Dataran Merdeka, malam tadi.

Mereka menggemakan takbir dan kalam Ilahi, pada malam Hari Raya Aidiladha bersamaan dengan sambutan Hari Merdeka Ke-60 yang jatuh serentak pada hari wukuf di Padang Arafah.

Ini termasuk dalam acara Merdeka #QuranHour bagi mengisi kemerdekaan dengan interaksi al-Quran; membaca, memahami dan ajakan untuk mengamalkannya sehingga melahirkan bangsa yang berbudi dan penyayang.

“Bangsa Berbudi dan Penyayang” berlandaskan Surah Yasin, adalah tema Merdeka #QuranHour yang pertama ini.

Ia menjadi inspirasi kepada rakyat dan Negara Sehati Sejiwa. Al-Quran dapat memantapkan ikatan hati rakyat dan negara yang matang di usia 60 tahun ini, sehingga lahir rakyat yang sayang pada negaranya dan sebaliknya.

Merdeka #Quran Hour yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 11 malam itu, dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMM), Sekretariat Merdeka, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) bersama dengan 21 media yang bersinergi mempromosikannya.

Bermula jam 8.30 malam, acara bermula dengan solat Isyak berjemaah dan diikuti dengan takbir raya Aidiladha di pentas utama di Dataran Merdeka.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad memulakan bacaan pembuka, Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5.

Solidariti Ngaji selama 5 minit bermula dengan setiap tetamu yang hadir membaca satu muka surat Yasin diberikan, sama ada membaca terjemahannya buat yang belum pandai al-Quran atau membaca dalam bahasa Arab buat yang tahu.

Dalam tempoh pendek tersebut, 30 juzuk Quran dikhatamkan dalam ajakan semangat untuk membaca atau sekurang-kurangnya sebagai permulaan memandang mushaf al-Quran.

Acara kemuncak adalah Solidariti Interaksi Surah Yassin oleh Pembawa Panji-Panji Yasin (Yasin Flag Bearers) yang memimpin interaksi 83 ayat dengan Model Interaksi Surah Yasin yang menceritakan bagaimana cabaran dan isu yang sedang kita hadapi di dalam diri, keluarga dan negara ini akan dapat diselesaikan melalui panduan yang jelas dari Surah Yasin sehingga mengeluarkan nilai-nilai mulia untuk kesejahteraan negara ini.

Yasin Flag Bearers ini terdiri daripada 21 pembaca utama dan 2 pentadabbur, cantuman pelbagai latar belakang dan usia sebagai mesej bahawa semua orang perlu berperanan di dalam membina negara ini dengan nilai berbudi dan penyayang berlandaskan panduan dari al-Quran.

Program diakhiri dengan mengajak tetamu melakukan refleksi diri dengan melihat kebesaran ayat-ayat ALLAH yang dipaparkan di skrin gergasi sepanjang 200 meter dan doa bagi kesejahteraan rakyat, negara dan perjuangan umat di seluruh dunia.

Kempen #QuranHour semalam dimulakan dengan program World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 10.30 pagi yang turut dijalankan serentak di seluruh dunia.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Multimedia dan Komunikasi Malaysia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Tinggalkan Komen