Rumah asyik bersepah bila ada anak kecil? Tapi kita selalu hairan kenapa ada rumah rakan dengan anak kecil nampak kemas dan bersih sedangkan kediaman kita pula hanya kelihatan teratur seketika saja sebelum bersepah semula.
Sebenarnya pemilik rumah yang sentiasa kemas ini bukanlah melakukan kerja membersih dan mengemas seluruh rumah setiap hari.
Sebaliknya mereka hanya melakukan beberapa kerja di bahagian tertentu untuk memastikan rumah kelihatan rapi dan bersih sentiasa.
Perkongsian dari Ainniena Azney ini dapat membantu ibu yang ada anak kecil untuk memastikan rumah sentiasa kemas dan bersih.
Lakukan 5 perkara ini setiap hari dan anda akan dapat hasil yang sama.
- Kemas katil
Kemas katil dan bilik anda sebaik bangun tidur. Celik je mata terus lipat selimut tu jangan tinggal macam tu je. Selimut lah benda paling penting untuk katil kelihatan kemas.
- Selepas basuh baju terus lipat
Pakaian yang tidak diurus dengan baik selalu jadi punca rumah nampak bersepah. Jadi jangan biarkan baju kotor bertimbun dan jangan juga biar baju yang sudah kering dalam bakul tinggi menggunung. Setiap kali selesai membasuh terus lipat pakaian yang kering dan masukan dalam almari.
- Jangan biar sinki penuh
Sama juga dengan pinggan mangkuk, jangan biar ia memenuhi sinki. Basuh pinggan setiap kali selepas makan.
- Pastikan dapur sentiasa bersih
Selepas basuh, terus susun pinggan mangkuk, kuali dan periuk di tempatnya. Simpan juga baki lauk-pauk dalam bekas berpenutup bukan di atas pinggan. Buang sampah setiap kali bakul penuh. Jangan smpai berulat sudah.
- Kemas ruang tamu tengah hari dan malam
Ruang tamu memang jadi tempat permainan anak, bantal kecil akan bertaburan begitu juga mainan mereka. Anda memang perlu mengemaskannya paling kurang dua kali sehari. Sekali, menjelang tengah hari dan kali kedua sebelum tidur supaya sebaik celik mata pagi hari anda melihat ruang tamu yang bersih dan kemas. Ni antara bahagian yang jadi kegemaran anak-anak.
Tip ekstra
* Sambil mandi bersihkanlah bilik air. Sental lantai atau pun bersihkan sinki dan mangkuk tandas.
* Sekali sehari sapu lantai ruang tamu dan dapur.
* Seminggu sekali mop lantai.
Mudah saja bukan untuk dapatkan rumah yang kemas. Anda hanya perlu jadikan 5 perkara ini sebagai rutin harian.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Asalnya Bercakap Pun Tak Boleh, Suka Hentak Kepala. Sekarang Hebat Mengira & Baca ABC!
Aishah Abdul Rahman atau Eisya, sudah mempunyai tiga orang anak sebelum Muhammad Aqil Rizqy. Jadi ibu ini sudah mempunyai pengalaman melihat perkembangan anak-anak di depan mata. Jadi apabila dia melihat perlakuan Aqil yang berbeza sedikit, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Cari Maklumat Di Internet Dan Join Grup Autisme
“Ciri-ciri autism pada Aqil semakin ketara bila dia masuk dua tahun. Waktu kalau kita bercakap dengan dia, memang tak ada eye contact. Kita pun susah nak tahu sama ada dia mendengar atau tidak. Kalau dia marah lagi teruk, dia akan hentak kepala dia kuat-kuat di dinding.
Aqil juga tak suka berkawan dengan kanak-kanak lain. Dia suka menyendiri. Kalau dia main pun, dia suka dengan objek yang berputar. Kalau tidak, dia yang akan putarkan objek tu. Memang dia suka sangat dengan objek yang berputar. Saya lebih perasan akan ciri autisme ni bila saya lihat Aqil akan pegang tangannya sendiri kalau nak mencapai sesuatu objek. Kemudian kalau dia nakkan sesuatu pun, dia tidak akan tunjuk dengan jari. Memang tak pernah tengok dia pointing finger.
Saya tak nak buang masa, saya cari maklumat tentang autisme ni. Bukan saja pencarian di internet, saya juga join grup berkaitan autisme. Untuk tambah pengetahuan. Waktu bawa dia untuk check up di Klinik Kesihatan, saya beritahu doktor semuanya. Kemudian kes Aqil ni dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan oleh pakar pula.
Suami Banyak Membantu, Cari Kelas Terapi Untuk Aqil
Bila dah nampak semua ciri-ciri ni dan kumpul maklumat, saya ceritakan hal ini pada suami. Dia tak cakap apa pun, cuma mendengar dengan tenang. Waktu tu, Aqil ni tak disahkan lagi ada austime tapi suami nasihatkan saya untuk redha walau apa pun yang berlaku. Katanya lagi, kalau kita redha, semua urusan Allah SWT akan permudahkan.
Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan penerimaan suami. Kami tak putus berusaha untuk memahami tentang autisme. Suami memang banyak membantu, dialah yang cari pusat terapi untuk Aqil sebab kalau di hospital sesinya cuma sebulan sekali. Suami saya juga daftarkan Aqil untuk mengikuti kelas renang khas untuk anak autisme. Kami juga hantar anak kami ni ke sesi playgroup untuk terapi pertuturan di Bangi.
Selain kelas-kelas yang kami daftarkan untuk Aqil, saya sendiri ambil kursus berkaitan terapi anak autisme. Saya percaya, terapi terbaik adalah apabila ibu dan ayah tu sendiri buat bersama dengan anak. Saya ikuti kelas autisme secara online dan mengikuti playgroup juga. Selain itu, kalau ada seminar yang dianjurkan oleh Permata Kurnia, saya akan join sekali.
Boleh Mengira 123 Dan Obses Dengan ABC
Alhamdullilah, sebelum ini anak saya speech delay dan non verbal tetapi hasil terapi yang dibuatkan dia mula sebut beberapa patah perkataan sepertti ‘I want eat’ bila dia lapar. Jika tidak, sebelum ini Aqil akan masukkan tangan ke mulut dan gigit-gigit tangannya bila lapar. Bila dia pegang sesuatu dia akan sebut ‘What it is’, dan ketika itulah juga saya terangkan pada Aqil untuk membantu Aqil menyebut lebih banyak perkataan.
Paling membanggakan kami, Aqil dah boleh baca ABC dan mengira 123. Dia sangat obses dengan ABC. Sekarang ni, dia dah mula ada eye contact bila bercakap dan boleh menerima arahan. Aqil juga boleh bermain dengan kanak-kanak lain cuma ada kesukaran untuk berkomunikasi.
Tantrum Takutkan Haiwan Tunggangan
Kesukaran pada awalnya tu sebab tak faham lagi apa itu autisme. Waktu tu kita pelik bila tengok perkembangan anak tak selaras dengan umurnya. Bila pergi berjalan ke shopping complex, memang tak boleh lalu langsung di Kawasan yang ada kanak-kanak bermain atau taman permainan. Dia akan tantrum, menangis sekuat hati. Kalau nak dipujuk, hanya saya yang boleh. Kalau suami cuba nak pujuk, dia punya mengamuk tu, tenaganya lebih kuat daripada ayahnya.
Ada satu hari tu, kami bawa dia ke IOI Mall. Kebetulan ada haiwan yang boleh kanak-kanak tunggang untuk keliling satu kawasan tu. Kami tak tahu yang dia takut, habis dia mengamuk. Menangis sekuat-kuatnya. Tantrum dia waktu tu sangat teruk sampai dia hentak-hentakkan kepalanya pada suami saya. Waktu itu kiranya dia memang mengamuk habislah.
Untuk mulakan terapi sangat memerlukan kesabaran yang tinggi. Tak boleh putus asa. Autisme ni adalah spektrum, berwarna-warni seperti pelangi. Ada cara dan keunikan sendiri.
Mula-mula sahaja rasa sukar tapi bila kita dah mula faham kehendak dan keperluan anak yang mengalami autisme ini, maka kita akan mudah menguruskannya. Alhamdulillah sekarang Aqil sudah banyak perubahan yang dia tunjukkan. Awal tahun ni, dia dapat bersekolah di Genius Kurnia di Sentul. Dah tak ada mengamuk dan boleh ikut kita solat sampai selesai. Memang kami bangga sangat dengan dia.”
Sesungguhnya anak autisme ini mempunyai keistimewaan mereka sendiri. Biasanya mereka akan menunjukkan minat terhadap sesuatu dan jika diberi sokongan yang betul, anak-anak ini akan cemerlang dalam bidang yang mereka suka.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebab Bina Keberanianlah Anak-Anak Boleh Capai Kecemerlangan
Berani tak anak anda? Berani dalam konteks pendidikan awal kepada kanak-kanak maksudnya boleh berdikari, yakin diri dan berani mencuba perkara baru. Memang nak didik anak, kena dilakukan pada awal usianya .
Oleh itu, pepatah ada yang menyebut ,’melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mendidik anak pada zaman serba moden ini memang mencabar minda. Sebagai ibubapa sudah pasti kita ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Namun, cara memberikan yang terbaik itu adakalanya silap tanpa kita sedari.
Salah satu cara didikan adalah membentuk keberanian dalam diri anak sejak kecil lagi. Perkongsian Dr. Hj. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang merupakan pakar motivasi diharap dapat mengubah cara didikan kita kepada anak.
Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian. Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya. Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang.
Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan. Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti.
Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan. Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan.
Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin.
Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat.
Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya. Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani:
1)Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara
Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka. Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan. Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga. Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.
2)Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka lakukan kesalahan
Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda. Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama maka kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah. Tetapi bagaimana pula kalau masalah yang sama dilakukan oleh anak berulang kali? Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab. Oleh itu biarkan anak dimarahi dan didenda oleh gurunya. Dari situ dia akan belajar. Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya. Sebagai ibu bapa usah campur tangan.
3)Berikan anak-anak peluang bergaul
Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa sahaja melalui laman sembang, facebook, twitter dan seumpamanya. Namun begitu, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang dari keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asal sahaja kita tahu siapa rakan-rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya. Dalam masa yang sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
4)Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak
Aktiviti-aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah, berenang dan seumpamanya dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak. Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan. Tetapi apabila selesai mencubanya pastilah keberanian diri meningkat. Malah di Malaysia kini sudah ada aktiviti ‘bungee jumping’ ini. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilibatkan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak. Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.
5)Bawa anak ke majlis orang dewasa
Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa dari usianya. Berikan dia ruang bertanya dan bercerita. Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti. Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab. Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi kalau majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri kendara, perkahwinan dan sebagainya maka bawalah mereka bersama.
6)Latih anak mengambil risiko
Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Mengambil risiko bukanlah bermakna melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli atau meletakkan dirinya pada kedudukan yang membahayakan. Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko. Memanjat pokok itu kerja berisiko. Tetapi kalau bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan itu adalah kerja berbahaya. Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu adalah kerja berisiko. Tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya. Anak-anak perlu tahu beza antara risiko dan bahaya.
7)Bercakap secara positif.
Bagi menanam keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya. Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati yang terbuka asasl sahaja mereka belajar sesuatu dari pengalaman itu. Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.
Sumber: www.tengkuasmadi.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Tahu Anak Dominan Tangan Kanan Atau Kiri, 6 Cara Ringkas Ini Boleh Buat
Ketika anak masih belum masuk tadika, ibu bapa tertanya-tanya macam mana nak tahu anak lebih dominan menggunakan tangan mana satu. Ini kerana tangan anak sentiasa bertukar-tukar penggunaannya ikut rasa keselesaan.
Menurut Puan Mahfuzah Zainol, terdapat 6 cara untuk mengenalpasti kecenderungan tangan kanak-kanak yang boleh ibu bapa praktikkan.
Ada beberapa test ringkas untuk mengenalpasti anak anda ini mempunyai kecenderungan tangan kanan atau kiri.
1. Bean bag
Cuba bagi bean bag di hadapan anak anda dan lihat tangan mana yang akan diguna untuk mengambil dan membaling bean bag.
2. Bola
Guna bola kecil seperti bola tenis untuk membaling. Perhatikan tangan mana yang dia guna untuk membaling.
3. Makanan kegemaran
Letakkan makanan kegemaran (yang kering) anak anda di tengah-tengah meja. Biar mereka ambil. Perhatikan tangan mana yang mereka guna dahulu untuk ambil.
4. Vertical writing
Guna whiteboard marker untuk menulis nombor 8 melintang (Lazy di dinding (whiteboard sticker). Buat nombor 8 dengan cepat. Dan berulang-ulang pergerakan nombor 8 tersebut.
5. Menaip atau ‘touch screen’
Boleh guna alat berteknologi tinggi seperti komputer atau tablet untuk mengesan tangan mana yang anak anda selalu guna.
6. Handwriting
Letak pensel di tengah meja. Lihat tangan mana yang digunakan untuk mengambil pensel.
Pastikan tiada verbal prompts atau arahan untuk ubah tangan. Kita nak lihat secara spontan ‘hand dominance’ tersebut.
Kesemua 6 ujian di atas harus dilakukan dalam situasi santai dan tidak formal. Kita hendak mengesan kecenderungan tangan. Letak objek-objek di hadapan untuk diambil sendiri oleh anak. Bukan bagi dan letak terus di tangan mereka.
Ibu bapa boleh perhatikan tangan mana yang mereka guna untuk ambil objek tersebut.
Selain ‘hand dominance’, boleh juga gunakan teknik dan permainan yang sesuai untuk ‘foot dominance’ juga. Boleh guna bola. Secara spontan kaki mana akan menyambut dan menendang bola tersebut?
Sedikit perkongsian saya sebagai ahli terapi carakerja di pendidikan khas.
Kredit: Puan Mahfuzah Zainol (Occupational Therapist)
ARTIKEL MENARIK [Anak Slow Sebab Tak Bantu Dengan Mainan, Bukan Wajib Kena Sentiasa Beli, Berkreatiflah]
LAGI ARTIKEL MENARIK [Anak Pelat & Ada Kesukaran Bertutur, Lollipop Alat Sesuai Bantu Rangsangan Oral]
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI