Saya berumur 29 tahun. Anak pertama berusia 10 bulan dan kini saya hamil tanpa dirancang.  Panik kerana ia berlaku kurang daripada dua tahun seperti mana saranan doktor kerana saya melahirkan melalui pembedahan caesarean. Saya risaukan keadaan saya dan anak dalam kandungan. Terbaca mengenai risiko rahim terkoyak dan ia menakutkan saya. Mohon pandangan doktor mengenai hal ini.

Mummy J – Ipoh, Perak.

 

Puan tidak perlu panik kerana terdapat kajian menunjukkan jarak minimum untuk hamil selepas kelahiran adalah enam bulan. Jika puan hamil setelah anak pertama berusia 10 bulan, ini bererti risiko dinding rahim koyak adalah amat rendah.

Masalah dinding rahim koyak (uterine rupture) selalunya berlaku sewaktu puan mengalami sakit kontraksi ketika hendak bersalin. Ia dilaporkan kurang dari 1% bagi ibu yang mempunyai satu pembedahan caesarean sebelumnya. Percubaan untuk bersalin secara normal selepas adanya pembedahan caesarean dikenali sebagai trial of scar (TOS). Bersalin melalui faraj selepas adanya pembedahan caesarean dikenali pula sebagai vaginal birth after caesarean section (VBAC).

Jika seseorang wanita ingin melalui pembedahan caesarean bagi kandungan kedua, ini dikenali sebagai elective repeat cesaerean section (ERCS). Bagi pesakit yang pernah mengalami pembedahan caesarean dan inginkan VBAC bagi kelahiran anak kedua, doktor hendaklah memberitahu bahawa VBAC lebih selamat daripada ERCS. Ini bererti, pesakit yang berjaya melalui TOS tanpa berlakunya uterine rupture dan bersalin melalui VBAC, tidak banyak mengalami masalah. Jika ada 10 orang wanita yang melalui TOS, lapan daripadanya akan berjaya bersalin secara normal.

Amat penting bagi pesakit untuk memahami bahawa uterine rupture berisiko kepada wanita yang melalui proses TOS, sekali pun seseorang wanita dipantau di hospital yang mempunyai perkhidmatan doktor pakar perbidanan dan pakar bius, serta perkhidmatan tabung darah.  Kes-kes uterine rupture boleh menyebabkan masalah-masalah besar seperti di bawah:

  • Tumpah darah dari rahim sehingga memerlukan pemindahan darah.
  • Ibu dibawa ke bilik pembedahan untuk melahirkan bayi secara kecemasan.
  • Anak yang dilahirkan boleh mengalami masalah kekurangan darah dan oksigen. Malah, boleh menyebabkan kecacatan otak dan maut.
  • Rahim yang mengalami koyak kadang kala tidak dapat diselamatkan dan perlu dibuang.
  • Kesan sampingan bius penuh ketika menjalankan caesarean secara kecemasan juga tinggi. Doktor bius akan memberi penerangan sebelum pembedahan.
  • Kehilangan darah yang banyak boleh menyebabkan masalah disseminated intravascular coagulation di mana darah terus menerus mengalir keluar dari badan kerana tidak dapat membeku. Keadaan ini boleh menyebabkan maut.

Saya menasihatkan agar puan merujuk kepada pakar sakit puan & perbidanan yang merawat puan sendiri supaya rekod pembedahan yang pertama boleh disemak sebelum boleh melalui TOS. Hal ini kerana risiko uterine rupture amat tinggi (jika ia berlaku).

SOALAN INI DI JAWAB OLEH DR NORINTAN ZAINAL SHAH, PAKAR PERBIDANAN DAN SAKIT PUAN. 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI