Siapa sangka anak yang dilahirkan cukup sempurna, secara tiba-tiba disahkan menghidap hydrocephalus with dandy walker malformation atau bahasa mudahnya memiliki saiz kepala besar. Tidak dinafikan sepanjang mengandungkan buah hatinya, Nor Fatihah Najiha Mohd Isa, lima tahun, dirinya mengalami alahan teruk dan kerap kali keluar masuk hospital untuk menambah kandungan cecair di dalam badan.

Sejak di trimester pertama hingga kandungan mencecah umur tujuh bulan, barulah alahan Nurul Wahida Hasbullah, 26 tahun, beransur baik. Itu pun setelah melalui proses pemindahan darah. Selepas itu, dia mula berselera makan dan bertenaga seperti biasa. Namun, perkara tersebut bukanlah punca kepada penyakit anaknya kerana Nor Fatihah Najiha atau panggilan manjanya Najiha dilahirkan sihat dan normal.

“Mula-mula neneknya tegur, kenapa kepala Najiha nampak besar ketika usianya dua bulan. Mungkin disebabkan saya melihat dia setiap hari. Jadi, tak sedar dengan perubahan tersebut. Kebetulan, selepas teguran itu, Naiha ada temujanji di klinik berdekatan untuk mengambil suntikan imunisasi.

Selepas menimbang berat, jururawat yang bertugas turut mengambil panjang bayi dan ukur lilit kepala. Ketika mengukur kepala, muka jururawat tiba-tiba berubah. Dia beritahu kepala anak saya besar dan ukur lilitnya naik mendadak berbanding bulan lalu. Jadi, dia minta saya untuk bawa anak ke hospital.

Melalui CT scan yang dijalankan di Hospital Seremban, doktor dapati memang ada lebihan cecair di otaknya dan sahkan Najiha menghidap hydrocephalus. Kami dinasihatkan untuk bawa Najiha ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut kerana di sana ada pakar dan pelbagai kemudahan khas untuk kes anak saya. Di sanalah, baru saya jelas dengan penyakit ini dan bermulalah episod Najiha berulang-alik ke hospital,” jelas Nurul Wahida.

Jika mengikut cadangan, Najiha perlu dibedah segera tetapi naluri keibuan Nurul Wahida memberontak untuk tidak izinkannya memandangkan anak kecilnya baru berusia dua bulan. Dengan berat hati, Nurul Wahida mengambil keputusan untuk membawa anaknya pulang untuk berfikir dan berikhtiar cara lain.

Berserah

Si ibu mengambil jalan tengah dengan membawa anak sulungnya berubat kampung. Barangkali serasi dengan cara alternatif ini, kesihatan Najiha yang konsisten biarpun saiz kepalanya makin membesar.

Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila dia mengalami demam ketika gigi mahu tumbuh dan diserang sawan. Bimbang dengan sesuatu yang di luar jangkaan, Nurul Wahida membawa anaknya ke Hospital Kuala Pilah. Di sana, keadaan anaknya baik dan tiada serangan sawan. Jadi mereka dibenarkan pulang pada keesokan hari. Tetapi belum panas punggung, tiba-tiba sekali lagi sawan meyerang Najiha dan lebih teruk hingga mata hitamnya nampak hanya sedikit.

Langsung, ibu dan bapanya ke HKL. Kali ini Nurul Wahida menyerah kalah. Dia membenarkan doktor jalankan pembedahan segera untuk memasukkan shunt iaitu tiub silikon untuk mengimbangi dan mengeluarkan air dari kepala anaknya.

IKLAN

Hanya tawakal dan doa mengiringi Najiha yang berada di bilik pembedahan. Ternyata keputusan membawa Najiha ke HKL dengan segera adalah pilihan terbaik kerana jika lambat mungkin Najiha sudah tiada.

Hidap Hydrocephalus Sejak Umur Dua Bulan, Najiha Kini Sudah Mampu Berjalan

Dibedah berkali-kali

“Sebelum pembedahan itu, saya memang tidak tanya apa-apa kepada doktor kerana cemas dengan apa yang berlaku kepada Najiha. Mulanya, saya ingat pembedahan adalah satu-satunya cara untuk pulihkan anak saya, rupa-rupanya tidak. Selesai pembedahan, doktor terangkan satu-satu, barulah saya tahu situasi sebenar.

Selepas dua bulan, tiba-tiba tiub yang dipasang tersebut terkeluar di bahagian lubang punggung Najiha. Terkejut dengan perkara tersebut, saya dan suami terus bawa Najiha ke hospital. Sepanjang perjalanan dari Felda Lui Timur hingga HKL, Najiha muntah. Setelah menjalani pemeriksaan rupanya berlaku jangkitan dan Najiha perlu dibedah untuk menukar tiub.

Tidak lama kemudian ketika umurnya satu tahun enam bulan, sekali lagi berlaku jangkitan dan rutin yang sama perlu dilalui Najiha. Perlu dibedah dan tukar shunt. Perkara ini berulang-ulang dan dalam tempoh dua tahun, 12 kali Najiha tukar shunt,” luahnya sebak.

IKLAN

Cari alternatif

Melihat keadaan Najiha yang sebegitu, doktor mengambil keputusan untuk mencuba alternatif baru iaitu menggantikan shunt sedia ada dengan silver coated programmable shunt. Saat itu doktor mengandaikan Najiha alah kepada material shunt yang sedia ada. Tetapi kosnya perlu ditanggung oleh keluarga pesakit kerana barang tersebut tidak disediakan di hospital.

Khuatir dengan kesihatan anak yang makin meruncing, Nurul Wahida dan suaminya, Mohd Isa Zainal Abidin, yang bekerja sebagai pemandu lori berusaha mencari bantuan untuk anak tercinta. Kos yang diperlukan iaitu RM6500 merupakan jumlah yang besar buat keluarga kecil ini.

Entah bagaimana, terlintas di fikiran Nurul Wahida untuk berkongsi kisah anaknya di akaun media sosial milik suaminya bagi mengumpul dana. Tidak sangka perkongsian di Facebook mendapat perhatian sebuah organisasi bukan kerajaan, Telekung Project. Dalam masa 24 jam, dana yang dicari mencukupi.

Hanya Allah tahu perasaan kami kala itu. Tidak sangka secepat itu Allah memudahkan urusan. Nurul Wahida amat berterima kasih pada pihak Telekung Project. Usai pembedahan tersebut tiada lagi episod duka Najiha.

Alhamdulilah sejak pasang silver coated programmable shunt, tiada lagi jangkitan kuman. Saya bersyukur kerana Najiha tidak perlu dibedah lagi buat masa ini. Sekarang sudah dua tahun lebih dia pakai shunt baru dan nampaknya Najiha serasi. Cuma enam bulan sekali, kami akan bawa Najih untul follow up kesihatan dia,” ungkapnya syukur.

IKLAN

Hidap Hydrocephalus Sejak Umur Dua Bulan, Najiha Kini Sudah Mampu Berjalan

Sudah mampu berjalan

Pernah Nurul Wahida bertanyakan pendapat doktor, adakah Najiha mampu berjalan memandangkan dia memiliki sepasang kaki yang kecil tetapi beban kepalanya berat. Doktor tidak memberi sebarang jaminan kerana agak sukar kanak-kanak sepertinya berjalan.

Namun Nurul Wahida tidak pernah berputus asa dan sentiasa mendoakan keajaiban untuk anaknya. Dari kecil, dia mengajar Najiha untuk duduk sendiri. Tidaklah memaksa tetapi mengikut kemampuan dirinya. Kini, dia mampu berbangga kerana anaknya sudah mampu berjalan.

Dari kecil lagi saya biasakan Najiha untuk duduk, saya sendalkan bantal untuk dia duduk dengan baik. Untuk berjalan pula, saya pimpin dia berjalan. Saya tak pernah putus asa untuk lihat Najiha berjalan. Saya bawa dia pergi berurut setiap kali pulang ke kampung ibu saya. Lagi pun Najiha seorang yang aktif. Selama ini, biarpun tidak mampu berjalan, dia akan mengesot ke dapur.

Najiha makin bersemangat untuk berjalan apabila saya letakkan syarat jika dia mahukan adik, dia mesti boleh berjalan. Dengan semangat yang kuat di usianya empat tahun lebih, dia boleh berjalan. Hanya Allah sahaja tahu betapa gembiranya hati saya. Allah makbulkan doa saya untuk lihat Najiha berjalan dan dalam masa yang sama Najiha dapat adik yang dia inginkan selama ini,” ungkapnya sebak.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkan sumbangan anda ke akuan, 7612355706 (CIMB) atas nama Nurul Wahida Hasbulah.

Kredit: Nur Syazwani Mehat, Mingguan Wanita

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI