Kisah tular susu tiruan satu jenama terkenal sehingga menyebabkan seorang bayi mengalami muntah dan cirit-birit hingga masuk hospital pasti merisaukan ibu ayah. Syarikat pengeluar susu jenama tersebut tampil berkongsi membuat penjelasan rasmi di laman facebook mereka.

Menyedari hal tersebut menyebabkan kegusaran di kalangan para ibu bapa, mereka turut berkongsi tip bagaimana untuk mengelakkan daripada tersalah beli pek susu tiruan dengan yang tulen.

Kepada ibu bapa sekalian,

Mead Johnson Nutrition bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat laporan susu formula palsu di Johor Bahru. Pemeriksaan yang di buat di pasaran yang dijalankan minggu lalu ini adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh MJN dari hasil siasatan syarikat.

Hanya melibatkan pek bersai 1.8 kg sahaja

Hasil pemeriksaan telah mengenalpasti sebilangan kecil produk yang disyaki di segelintir kedai runcit dalam kawasan geografi yang terhad di Skudai, Johor Bahru. Produk yang terlibat ialah Enfalac A+ Langkah 1 pek 1.8 kg (tiga pek foil dalam setiap kotak) – dan hanya dijual dalam sebilangan kecil kedai di Iskandar Puteri, Taman Mutiara Rini, Taman Orkid dan Taman Nusa Bestari. Pemeriksaan yang luas dalam pasaran telah mengesahkan bahawa produk palsu hanyalah di dapati dalam format pembungkusan 1.8 kg dan hanya di kesan dalam kawasan geografi yang terhad ini.

Dalam kerjasama yang kami jayakan bersama pihak berkuasa Malaysia, pemeriksaan di pasaran setakat ini hanya mendapati 210 pek tiruan, tetapi siasatan lanjut masih berterusan bertujuan menghapuskan produk tiruan sepenuhnya. Pihak berkuasa Malaysia telah mengesahkan bahawa mereka akan meneruskan siasatan secara aktif dalam operasi penghapusan susu tiruan dan memastikan pihak yang berkaitan akan didakwa dan dihukum sekeras-kerasnya oleh pihak yang berwajib.

Periksa pek foil individu

Penyiasatan kami – dan pemeriksaan runcit baru-baru ini – menunjukkan bahawa insiden produk tiruan ini sangat rendah, tetapi kami ingin memastikan pengguna yakin dengan pek produk yang di beli. Cara paling mudah untuk mengenal pasti produk tiruan adalah memeriksa pek foil individu. Bungkusan Enfalac A+ Langkah 1 yang tulen kelihatan mempunyai lebih udara dalam pek. Manakala pek foil tiruan pula mempunyai udara yang kurang dan serbuknya lebih mampat. Bungkusan mempunyai lipatan tajam yang ketara di kedua-dua belah bahagian sisi nya, manakala lipatan tidak ada pada pek foil tulen, seperti ditunjukkan dalam gambar di bawah.

Boleh dapat produk gantian

Sekiranya pengguna menemui pek Enfalac A+ Langkah 1 1.8 kg dengan lipatan tajam pada sisi bungkusan foil dalam produk yang dibeli, sila hubungi talian pelanggan careline Mead Johnson di talian 1-800-88-3585 (Isnin-Ahad 9.00 pagi -9.00 malam) dengan segera untuk mendapat sokongan dan menerima produk gantian.

Sekiranya pengguna mempunyai produk Enfalac A+ Langkah 1 1.8 kg yang tidak lagi dalam bungkusan asal, mereka juga boleh menghubungi kami untuk mendapatkan produk gantian.

Sumber: Enfgrow A+ Malaysia

Tinggalkan Komen