Bila anak jadi kurang menyusu, ibu ayah risau jika berat badan anak akan menurun. Pakar diet mendedahkan dua kemungkinan yang menjadi sebab kepada masalah ini.

Bayi yang sudah mula makan iaitu berusia enam bulan ke atas lama kelamaan akan kurang berminat untuk menyusu. Kalau biasanya bayi minum 6oz dengan kekerapan empat hingga lima kali sehari  ia boleh berkurangan kepada 4oz sebanyak dua atau tiga kali sehari sahaja. Ada bayi yang kurang menyusu tetapi dia tiada masalah dengan makanan pejalnya.

KURANG MENYUSU TAPI ADA SELERA MAKAN YANG BAIK

Menurut Nur Baidurah Bazid, Pakar Diet, Hospital Pakar KPJ Kajang, bagi bayi yang kurang menyusu selepas makan makanan pejal dan tiada masalah selera untuk memakan makanan pejal, kurang minum susu tidak menjadi masalah sekiranya pengambilan tenaga daripada sumber makanan pejal tersebut mencukupi.

Salah satu penentu ukuran pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak adalah kenaikan berat badan, mengikut Carta Pertumbuhan (Growth Chart). Kurang minum susu tidak menjadi masalah sekiranya pengambilan tenaga daripada sumber makanan pejal mencukup.

Namun, sekiranya anak tersebut mengalami penurunan berat badan dikhuatiri kemungkinan makanan pejal yang diambil tidak mencukupi untuk menyokong keperluan tenaganya.

MAKANAN TINGGI SERAT

Mengenai pilihan makanan pejal, saya perlu tahu dengan lebih terperinci jenis makanan yang diberikan kepada si kecil ini. Berkemungkinan makanan yang diberi tinggi seratnya sehingga menyebabkan si kecil berasa terlalu kenyang lalu tidak mahu atau kurang minum susu, sedangkan kandungan tenaganya tidak mencukupi.

MENGANDUNGI CECAIR TINGGI

Makanan atau minuman yang mengandungi cecair tinggi juga boleh menyebabkan si kecil cepat kenyang atau kenyang terlalu lama. Hal ini juga boleh menyebabkan dia kurang minum susu. Perlu difahami, kenyang tidak bermaksud makanan tersebut mengandungi tenaga atau nutrisi tinggi. Begitu juga sebaliknya.

Bagi ibu bapa yang mendapati bayi yang mengalami masalah ini, rujuk mereka kepada Pegawai Dietetik (Dietitian) yang berdekatan untuk nasihat yang lebih lanjut. Dalam pengurusan diet atau pemakanan, analisa terperinci terhadap pengambilan pemakanan amat penting sebelum saranan boleh dibuat. Hal ini kerana, pengambilan diet seseorang individu berbeza dengan individu yang lain.

 

Tinggalkan Komen