Seperti yang semua sedia maklum, penyusuan susu ibu dapat membantu diri anda membakar kalori lebih banyak berbanding ibu yang tidak menyusukan anaknya. Namun mengapa ya, ada juga segelintir ibu menyusu yang menrungut dirinya tidak berjaya menurun berat badan.
Bagi anda yang mengalami konflik sebegini lantaran tidak berjaya menurunkan berat badan walaupun mengamalkan penyusuan susu ibu, ketahuilah masalah ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor sampingan. Kadang-kala anda sendiri pun tidak sedar ia adalah punca sebenarnya.
Hormon prolaktin
Semasa hamil dan menyusukan anak, hormon yang berkaitan menjadi aktif. Tahukah anda bahawa prolaktin, hormon yang bertanggungjawab dalam urusan pengeluaran susu ibu ini turut berperanan dalam meningkatkan selera makan.
IKLAN
Hormon prolaktin berada pada tahap paling tinggi dalam tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran bayi di mana penyusuan susu ibu berlangsung. Kajian menunjukkan hormon ini boleh menghalang penurunan berat badan, malah menyebabkan pertambahan berat badan. Selain daripada itu, hormon yang sama juga bertindak mengurangkan metabolisme. Oleh sebab itulah sesetengah ibu menyusu sukar menurunkan berat badannya.
Terlalu memilih makanan
Punca anda gagal menurunkan berat badan semasa menyusu adalah disebabkan oleh faktor terlalu memilih makanan. Ada segelintir ibu menyusu langsung tidak mengambil karbohidrat, lemak, manisan dan lain-lain.Apabila anda terlalu memilih, risiko untuk makan mengikut nafsu adalah sangat tinggi. Jadi, adalah lebih baik jika anda ambil semua jenis makanan asalkan ia berkhasiat dan seimbang. Makanlah apa sahaja secara sederhana dalam kuantiti yang kecil berbanding langsung tidak mengambilnya.
IKLAN
Tekanan dan kurang tidur
Tekanan dan kurang tidur adalah antara punca yang menyebabkan kelenjar adrenal menjadi lemah. Peranan kelenjar ini ialah menguruskan tekanan yang dihadapi dan mengawal metabolisme badan.Apabila kelenjar adrenal lemah disebabkan oleh diri anda mengalami stres, tubuh letih, tidak cukup tidur dan sebagainya, maka tidak hairanlah berat badan pun susah untuk turun. Hal ini kerana metabolisme turut sama terjejas.
IKLAN
Bersenam terlalu lama
Tanggapan bahawa bersenam dalam masa yang lama dalam satu-satu masa lebih membantu anda mengurangkan berat badan adalah kurang tepat. Senaman dalam jangka masa yang pendek dan intensif seperti 20 hingga 30 minit setiap sesi senaman sudah memadai untuk membolehkan tubuh membakar kalori yang sedia ada.
Tambahan pula senaman untuk jangka masa yang pendek lebih sesuai anda yang kini banyak tanggung jawab menguruskan bayi yang menyusu susu ibu, keluarga dan kerjaya. Bersenamlah dengan rasa seronok kerana kegembiraan akan meningkatkan hormon endorfin lalu memperbanyakkan susu ibu. Pada masa yang sama, anda juga berupaya untuk menurun berat badan dengan jayanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Misi nak turun berat badan akan berjaya kalau anda elak 6 jenis makanan terutama kalau anda nak langsing balik lepas bersalin. Walaupun menyusukan bayi tak bermakna ibu tak boleh jaga pemakanan. Bahkan masa menyusukan bayilah paling bagus untuk berdiet sebab kena makan makanan yang berkhasiat sahaja.
Jadi pastikan ibu-ibu ikut nasihat pemakanan oleh Pakar Dietetik, Ruqayyah Muhd ini. Ada beberapa makanan yang mesti dielakkan terus kalau nak turun berat badan dan ia juga tak bagus untuk kualitit susu ibu yang dihasilkan.
MAKANAN YANG DINASIHATKAN UNTUK DIELAKKAN JIKA MAHU TURUN BERAT BADAN.
Kita sering ber’diet’ dengan matlamat ingin menurunkan berat badan kita. Namun kadangkala kita tidak sedari makanan/minuman di bawah ini meningkatkan pengambilan kalori melebihi keperluan tubuh.
1. MINUMAN MANIS
Minuman manis biasanya tinggi dengan gula. Samada air soda atau minuman kordial atau minuman berkotak pasti mengandungi gula. Gula apabila diambil dalam jumlah yang sedikit tidak memberi kesan kepada kenaikan berat badan. Namun, apabila diambil berlebihan akan memberikan kesan yang besar kepada pengawalan berat badan.
1 sudu besar gula memberikan 15g karbohidrat dan 60 kcal.
Bayangkan jika sekiranya setiap hari sebanyak 8sudu besar gula diambil sehari sudah memberikan hampir 500kalori sehari. 500kalori yang berlebihan setiap hari secara konsisten mampu menaikkan berat badan sehingga 2kg sebulan.
Air manis dikategorikan sebagai makanan yang mempunyai nutrien yang rendah. Ia hanya mempunyai kalori daripada gula, namun kandungan mineral dan vitaminnya tersangat rendah dan tidak memenuhi keperluan tubuh.
Saranan WHO untuk menghadkan pengambilan gula sebanyak 10% daripada jumlah pengambilan kalori sehari. Sekiranya keperluan tubuh hanyalah 1800kcal sehari, hanya sebanyak tiga sudu besar gula daripada minuman dan makanan sahaja dibenarkan.
2. JUS BUAH
Buah mengandungi gula ringkas glukosa dan fruktosa. Apabila buah diambil secara asli, serat yang terkandung di dalam buah memperlahankan kenaikan gula darah. Glukosa daripada buah digunakan sebagai sumber tenaga. Fruktosa pula dibawa ke hati dan ditukarkan menjadi asid lemak yang akan disimpan di bahagian perut, punggung, dada dan pinggang.
Namun begitu, apabila buah-buahan dijadikan jus, seratnya dibuang. Menyebabkan kandungan glukosa fruktosa tadi menjadi lebih pekat. Jus mengandungi kandungan gula yang tinggi. Namun kandungan serat yang rendah. Apabila diambil dengan kerap dan dalam jumlah yang banyak, ia akan menyebabkan lebih banyak asid lemak disimpan di dalam tisu tubuh. Secara tak langsung, kenaikan berat badan akan terjadi.
Hadkan pengambilan jus buah segar sebanyak 120ml sehari sahaja. Atau ambil buah 2-3 hidangan sehari.
Elakkan jus buah terproses kerana kandungan seratnya yang rendah dan telah ditambahkan gula menyebabkan ia mempunyai kalori yang tinggi.
3. MINUMAN ISOTONIK
Minuman isotonik adalah antara minuman yang kaya dengan elektrolit dan gula. Ia diformulasikan untuk menggantikan garam mineral yang hilang semasa bersukan atau berlaku perpeluhan yang banyak seperti membuat kerja berat.
Minuman isotonik ini tinggi kandungan gula dengan tujuan membekalkan tenaga dan mengekalkan hidrasi dan elektrolit kepada atlit semasa sesi latihan atau sukan yang mengambil masa yang lama seperti maraton.
Pengambilan minuman ini tanpa menjalani latihan sukan yang panjang menyebabkan tenaga yang diambil tidak digunakan dengan baik dan dikaitkan dengan masalah obesiti dan penyakit kronik.
Untuk satu hidangan 240ml minuman ini membekalkan 3-4sudu teh gula. Manakala minuman tenaga membekalkan sebanyak 11sudu teh gula.
Hadkan pengambilan minuman ini mengikut keperluan. Ambil air kosong atau mineral sekiranya bersenam.
4. YOGURT BERPERISA dan MINUMAN YOGURT
Yogurt adalah antara hasil tenusu yang bagus untuk tubuh. Selain ia kaya dengan protein, ia juga merupakan sumber kalsium yang baik untuk tubuh. Probiotik yang terkandung di dalamnya juga membantu proses penghadaman makanan.
Namun begitu, kebanyakan yogurt yang terdapat di pasaran mempunyai kandungan lemak yang rendah atau 0 lemak. Apabila dilihat kembali pada label makanan, kandungan gulanya adalah tinggi. Tambahan buah-buahan juga turut menaikkan kandungan gulanya.
Ambil yogurt asli atau Greek Yogurt tanpa tambahan gula di dalam diet. Tambah potongan buah asli ke dalam yogurt bagi meningkatkan rasanya. Hadkan pengambilan minuman berkultur 1-2 botol kecil, seminggu.
5.KRIMER PEKAT MANIS
Krimer pekat manis atau dikenali dengan susu pekat manis atau susu tin sering ditukar ganti dengan susu tepung atau susu segar. Hakikatnya, krimer pekat manis dihasilkan daripada campuran gula, pepejal susu dan minyak kelapa sawit. Ia tinggi kandungan kalori, gula dan lemaknya namun rendah protein.
Untuk satu hidangan 20g krimer pekat manis (1 sudu besar) ini boleh menyumbangkan sebanyak 60-70kalori, 2-3g lemak dan 12-15g gula. Namun begitu protein yang disumbangkan hanyala lebih kurang 1-2g sahaja. Untuk satu hidangan protein yang baik ia perlulah menyumbang 7-8g protein untuk satu hidangan iaitu 4kali ganda hidangan krimer pekat manis.
1 gelas susu penuh krim memberikan 150kalori, 15g gula, 8gram protein dan 5gram lemak. Namun 4 hidangan krimer pekat manis memberikan 240kalori, 48g gula, 8 gram protein dan 8gram lemak.
Bandingkan perbezaan nutriennya. Mengambil krimer pekat manis umpama menambah minyak dan gula sahaja ke dalam minuman.
6. SNEK TERPROSES
Kerepek dan keropok segera biasanya tinggi kandungan garam dan lemaknya. Ini adalah kerana ia telah diproses dan ditambahkan pengawet bagi memastikan ia tahan lama dan sedap dimakan. Namun begitu, kandungan vitamin dan mineralnya rendah dan tidak berkualiti untuk keperluan tubuh badan. Sesetengah snek yang disira gula atau madu pula akan meningkatkan kalori dan kandungan gulanya.
Mengambil dalam jumlah yang sedikit tidak mengapa, satu ke dua minggu. Namun, menjadikan ia sebagai snek harian mnggalakkan budaya ‘mindless eating’ di mana kita makan sambil menontkn TV, memandu atau membaca tanpa mengambilkira jumlah yang diambil. Sedar tidak sedar satu pek sudah habis dimakan dan hampir 400kalori sudah diambil. Secara tak langsung pengambilan kalori sehari telah melebihi keperluan tubuh.
Amalkan makanan yang sihat dan seimbang. Bersenam secara konsisten.
Elakkan suplemen atau produk pelangsing yang menjanjikan berat turun dengan banyak untuk tempoh masa yang pendek. Berhati-hati dengan testimonial ‘overclaim’ dari produk. Bimbang memakan diri.
Setiap kelahiran mempunyai cerita yang tersendiri. Bagi ibu-ibu baru ia merupakan satu pengalaman berharga untuk dikenang dan diceritakan. Chryseis Tan, usahawan dan isteri kepada ahli perniagaan SM Faliq Nasimuddin berkongsi pengalaman melahirkan puteri sulungnya secara pembedahan kepada umum.
Menerusi entri terbarunya itu, anak kepada Tan Sri Vincent Tan ini memuat naik dua foto bersama suami dan puteri mereka yang diberi nama Arianna Kyla Tan untuk tatapan semua.
Melalui kapsyen posting tersebut, Chryseis berkongsi cerita tentang pengalaman kehamilan dan juga proses bersalin yang dilaluinya.
“Jadi, ramai yang tanya sama ada saya melahirkan anak secara normal atau C-section. Inilah pengalaman bersalin saya, Arianna merupakan bayi songsang dan cara paling selamat untuk melahirkannya adalah melalui C-section walaupun saya berharap dapat bersalin secara normal.
“Saya gementar untuk dibedah namun ia perlu dilakukan. Kami check-in ke Hospital Pantai dan esoknya saya dibawa masuk ke bilik pembedahan. Epidural dilakukan dan saya merasa kebas dari pinggang ke bawah.
“Dalam keadaan sedar saya sudah berada di dalam bilik pembedahan dengan Faliq berada di sebelah, lagu cinta klasik 70-an dimainkan dan Arianna berjaya dikeluarkan dan ditunjukkan kepada kami.
“Kepada yang bertanya adakah saya berasa sakit, saya tidak merasa sakit sehingga ke hari ini (walaupun sedikit tidak selesa bila perlu berjalan buat pertama kali selepas dibedah).
“Saya takut sebelum dibedah dan nampaknya is berjalan dengan sangat lancar. Kalau saya boleh buat, saya yakin anda semua boleh. Saya berharap pengalaman seterusnya juga akan sama seperti yang ini.
“Saya masih tak percaya saya seorang ibu sekarang tetapi inilah permulaan kepada kehidupan baru saya dan Faliq, alhamdulillah,” tulis Chryseis sebagai kapsyen.
Arianna Kyla Tan dilahirkan pada 16 Julai lalu dengan berat 2.9kg.
Imbas kembali, pasangan anak jutawan Naza Group dan Berjaya Group ini telah mendirikan rumah tangga pada 4 Februari 2018 di The Chateau, Bukit Tinggi, Pahang.
Tatkala melihat keadaan anak yang dilahirkan tak sama seperti kanak-kanak lain, hati ibu mana yang tak sedih. Lagi-lagi diuji dengan penyakit yang belum dapat dikenal pasti lagi. Tiada seorang ibu pun yang nak lihat anak sakit tapi jika dah ketentuan Allah, hati perlu reda menerima takdir ini.
Melalui perkongsian di FB Nor Siti, kisah adik Abdul Hanifah yang mengalami masalah abnirmal tongue ini mendapat perhatian orang ramai. Malah kisah si comel ini turut menarik perhatian bapa kepada adik Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin.
Keadaan yang dilalui Abdul Hanifah ini seakan sama dengan apa yang dilalui oleh Ainul ketika bayi dan mungkin selepas pemeriksaan secara terperinci doktor boleh menjelaskan keadaan sebenar.
Lahir normal, seberat 3.01kg
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada kenalan kami. Ini anak kami Abdul Hanifah bin Muhammad Afiq, baru berusia 11minggu. Alhamdulillah dia dilahirkan secara normal dengan berat 3.01kg tetapi menghadapi masalah abnormal tongue (penyakit belum dikenalpasti).
Perlu jalani pembedahan secepat mungkin
Dia mengalami penyukaran menyusu melalui mulut dan kini dia bergantung menggunakan ricetube sahaja. Dia perlu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur secepat mungkin dan masih menerima rawatan di HPSF dan HKL.
Terima kasih yang tak putus bagi kata semangat
Kami menyusun 10 jari meminta maaf kerana tidak memberitahu hal ini kepada adik beradik, saudara mara dan rakan handai. Kekangan dalam menguruskan hal-hal harian, keluar masuk hospital menyebabkan keadaan tidak mengizinkan untuk kami berkongsi hal ini. Diharapkan janganlah ada yang berkecil hati dan faham akan situasi kami.
Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang sudi memberi dan mengumpulkan sumbangan kepada anak kami terutamanya staff-staff nurse KD Sungai Rambai dan guru- guru Sekolah Kebangsaan Sebatu.
Serta berterima kasih juga atas kunjungan dalam mengambil berat hal ini. Dalam musim covid yang melanda ini, kami perlu mengehadkan kedatangan kepada sesiapa yang ingin mengunjungi anak kami.
Sekiranya sesiapa yang ingin memberi sumbangan di atas kos keperluan dan rawatan dia, boleh menyalurkan sumbangan tersebut di akaun ibu Abu Hanifah 154053489623 -Maybank (Norliza Binti Jamain)
Terima kasih sekali lagi diatas pemberian sumbangan anda yang kami hargai. Akhir kata dari kami, doakan semoga dipermudahkan segala urusan kami di hospital dan kami tabah dalam mengharungi dugaan /ujian ini.
** Teringin nak dapatkan keperluan anak pada harga berbaloi, lihat di sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!