“Adam boleh tak duduk sekejap ke? Penat mama tengok awak lompat sana, lompat sini, memanjat dan berlari tak berhenti-henti.”

Siapa yang ada anak lelaki tentu biasa berhadapan dengan perangai mereka yang tak tahu duduk diam walaupun sekejap. Kadang-kala boleh pening kepala dibuatnya dengan keaktifan mereka.

Tapi orang kata “biasalah budak lelaki memang macam-macam idea mereka.” Mungkin sebab itu mereka tak tahu duduk diam. Tapi kenapa agaknya anak lelaki penuh dengan tenaga dan sukar berasa penat sehingga menyebabkan mereka sukar duduk diam seketika?

1. Rasa ingin tahu yang tinggi

Anak umur 2 hingga 3 tahun mempunyai rasa ingin tahu yang sangat tinggi, ditambah pula dengan tenaga mereka yang sangat berganda. Sebenarnya tak perlu anda penat-penat kejar anak dan suruh mereka duduk diam. Biarkan sahaja mereka aktif berlari dan melompat asalah ia tidak membahayakan. Ia salah satu cara mereka untuk belajar dan meneroka dunia sekeliling.

2. Suka berlari dan melakukan aktiviti fizikal

Memang sikap semula jadi anak lelaki suka dengan aktiviti fizikal terserlah sejak kecil lagi. Jadi jangan berasa hairan kalau si kecil memang tak boleh duduk diam. Aktiviti fizikal seperti berlari, melompat, memanjat memang jadi kesukaan mereka. Ia lebih banyak dilakukan oleh anak lelaki berbanding anak perempuan.

3. Suka ambil risiko

Anak lelaki gemar meneroka perkara baru di sekeliling mereka. Kadangkala mereka suka mencuba buat sesuatu aktiviti tanpa memikirkan risikonya. Sebenarnya si kecil sendiri tak tahu apa yang mereka lakukan itu bahaya. Apa yang mereka tahu cuma ia menyeronokkan. Bagaimanapun sikap ini sebenarnya boleh menanamkan rasa percaya pada diri sendiri, berkeyakinan, berdikari dan bertanggungjawab dalam diri anak lelaki.

4. Kreatif dan bijak

Mungkin pada pandangan mata seorang anak lelaki, pintu pagar rumah adalah sesuatu yang sangat menarik untuk dipanjat. Begitu juga dengan sofa atau rak buku yang ada di rumah dianggap sebagai satu tempat bermain yang menyeronokkan. Kreativiti mereka memikirkan sesuatu objek menjadi alat permainan memang mengagumkan. Ia sebenarnya ciri anak yang bijak!

5. Ingin meneroka dunia sebenar

Keinginan untuk tahu semua perkara di sekeliling membuatkan anak lelaki tak betah duduk diam kerana merasakan ia membuang masa. Mereka tak sabar untuk tahu apa jadi pada sesuatu objek atau perkara bila dicuba atau dilakukan.

Kalau anak lelaki anda jenis tak boleh duduk diam, jangan marah mereka. Ia adalah perangai semula jadi si kecil dalam proses membesar. Apa yang penting pastikan mereka sentiasa selamat semasa sibuk meneroka persekitaran.

Tinggalkan Komen