Kebolehan bercakap kanak-kanak umur 2 hingga 3 tahun memang berbeza antara satu sama lain. Tetapi jika mengikut tahap perkembangan normal, anak dalam umur tersebut sudah boleh bercakap banyak dan kita boleh berborak dengannya.

Sebagai ibu bapa, kita sepatutnya kena peka terhadap perkembangan pertuturan anak kerana jika dalam umur yang sama, anak kita masih belum boleh bercakap atau cakap terlalu pelat berbanding anak orang lain yang sebayanya, sesuatu perlu dilakukan.

Ruby Atika, Ahli Terapis Pertuturan Bahasa yang berpengalaman luas dalam bidang linguistik, psikologi, perkembangan bahasa dan neuropsycholinguistik untuk bayi dan kanak-kanak berkongsi apa sepatutunya tahap sebenar kebolehan bercakap anak umur 2 tahun 5 bulan. Ia boleh dijadikan sebagai garis panduan berguna dalam membesarkan si manja anda.

Pada umur ni, kanak-kanak boleh cakap 2-3 perkataan dalam 1 ayat.

“Iyyadh punya” “Iyyadh dulu”

“Nak ikut abi” “Nak roti coklat”

Pada umur ni, pelat adalah biasa. Memang fitrah kanak-kanak belajar bercakap.

Oleh kerana belum boleh buat ayat panjang, dia belum mahir jawab soalan yang panjang. Setakat soalan apa? mana? siapa? dia boleh jawab.

Siapa buat? – Abi buat.

Mana abi? – Abi kerja.

Siapa ni? – ni Ummi.

Seronok bila cakap dengan budak umur ni, sebab pelatnya kedengaran comel dan dia boleh diajak sembang kerana sudah ada komunikasi 2 hala begitu.

Namun, janganlah kita terpedaya dengan kecomelan dia. Janganlah kita pula nak berlagak comel konon nak ikut pelat dia.

Kalau dia cakap “tatot” kita sebut perkataan sebenar “takut”.

Tidak dinafikan, ada anak umur ini yang boleh cakap lebih panjang. Biasanya anak perempuan. Sebutan juga tidak kedengaran pelat. Sudah pandai guna kata hubung.

“Iyyadh nak tidur dengan ummi”

“Nak ikut abi pergi kedai”

Namun, selagi anak itu boleh guna 2 patah dalam 1 ayat, sudah dikira berada dalam julat perkembangan normal.

Apa yang dikira terkeluar dari julat normal?

– Belum ada perkataan. Masih tunjuk atau tarik tangan.

– Perkataan spontan tak sampai 100 perkataan pun.

Pada umur 2 tahun 5 bulan, anak sudah bijak memilih apa yang dia suka. Dia nak pilih baju tertentu atau makanan tertentu.

Maka, anda bayangkan betapa stressnya anak yang tidak boleh bercakap. Dia tak dapat nak jelaskan bahawa dia nak donat! tak nak kuih lapis!

Dia nak pakai baju boboiboy! Tak nak baju raya! Inilah punca utama anak umur 2 tahun 5 bulan tantrum, iaitu benda yang tak masuk dek akal kita orang dewasa.

Apa aktiviti yang seronok dibuat bersama anak 2 tahun 5 bulan?

1. susun blok berbagai bentuk.

2. buku cerita.

3. tugasan rumah : susun kasut, sapu sampah, lap tumpah.

4. jadi penyampai : suruh dia bagi barang tertentu dekat ayah / abang / mama.

5. sampaikan pesan : suruh kejut abang bangun tidur, beritahu abang suruh simpan buku.

6. main sorok-sorok.

7. main bertema baju tertentu (superman, spiderman, elsa, snow white)

8. main berlakon jadi haiwan (arnab, buaya, harimau, ular, katak, burung)

9. nyanyi lagu-lagu mudah atau zikir harian

Banyak lagilah…tak tersenarai rasanya.

Sumber: Ruby Speech Therapy

Tinggalkan Komen