Selepas melahirkan cahaya mata sulung, ada di kalangan anda yang berasa serik untuk hamil lagi lantaran mengalami beberapa komplikasi semasa hamil mahupun semasa melahirkan.

Walau bagaimanapun, perasaan itu hanya seketika. Apabila anak itu semakin membesar, akan mula timbul rasa rindu untuk kembali hamil. Benar, kan?

Berikut adalah antara keistimewaan dan kelebihan yang dilalui oleh para ibu hamil yang mana hanya boleh dirasai sepanjang tempoh 40 minggu kehamilan.

  1. Wajah berseri

Ada segelintir ibu hamil mempunyai wajah yang lebih berseri berbanding sebelum hamil. Menurut kata orang tua-tua, hal ini terjadi disebabkan kandungan itu adalah lelaki.

Namun, berdasarkan fakta sains, ia berkemungkinan besar berkaitan dengan peningkatan hormon dan aliran darah yang lebih banyak semasa hamil.

Selain daripada itu, ia mungkin juga mempunyai hubung kait dengan tahap kesihatan anda semasa hamil. Sekiranya tiada apa-apa komplikasi kehamilan, tentu sahaja anda lebih gembira dan itu memberi kesan positif terhadap penampilan dan rupa wajah anda.

  1. Tiada tekanan tentang masalah berat badan

 

Sebelum hamil, kalau ada yang menegur tentang pertambahan berat badan, anda pasti rasa tertekan. Namun, lain halnya kalau anda hamil. Kata-kata itu pasti tidak diendahkan. Apa yang penting ialah anda dan bayi sama-sama sihat.

Apa-apa pun, anda janganlah mengamalkan pemakanan untuk dua orang ya. Hal ini kerana anda hanya perlukan tambahan 300 – 500 kalori sehari berbanding sebelum hamil.

  1. Boleh mengidam

Tentu seronok bila suami sanggup dan sentiasa bersedia menyediakan atau mencari apa sahaja jenis makanan yang anda idamkan. Sehubungan itu, perlu anda tahu bahawa rasa mengidam yang dilalui itu adalah disebabkan oleh kekurangan nutrisi yang mungkin boleh didapati dalam makanan berkenaan.

Jika suami gagal mendapatkan makanan yang digambarkan dalam bayangan anda, janganlah kecewa. Sebaliknya, anda boleh minta suami untuk mencari makanan yang lebih kurang sama dengan gambaran anda.

  1. Tendangan bayi

Tendangan bayi dalam kandungan sememangnya saat yang dinantikan oleh semua ibu yang sudah hamil. Kali pertama dapat merasai tendangannya pasti mampu membuatkan anda menangis kegembiraan.

Hal ini kerana ia menandakan bahawa bayi anda berada dalam keadaan yang sihat. Selain itu, ia juga petanda ikatan kasih sayang antara ibu dan anda lebih kuat terjalin. Momen itu pasti meninggalkan kenangan yang tidak dapat anda lupakan.

  1. Dapat status ‘VIP’

Di mana-mana tempat awam, anda pasti menjadi keutamaan. Di dalam tren, bas, kaunter bank dan banyak lagi tempat yang lainnya, anda diberi keistimewaan apabila ada pengkhususan untuk wanita yang sedang hamil.

  1. Lebih perhatian daripada ramai orang

Apabila hamil, suami akan bertambah sayang. Begitu juga dengan ibu bapa kedua belah pihak. Pasti mereka memberi lebih perhatian kepada anda dan tahap kesihatan bayi di dalam kandungan.

Lebih daripada itu, saudara-mara, kawan-kawan, rakan sepejabat pun akan memberi perhatian kebajikan diri anda dan bayi.

Jika ada anak terdahulu pun, dia pasti lebih mudah mendengar kata kerana kasih kepada bayi yang sedang anda kandungkan.

  1. ‘Tiket’ membeli-belah

Kalau sebelum hamil, mungkin anda sukar membeli-belah tidak kira waktu kerana perlu mengutamakan hal-hal lain yang lebih penting. Namun, apabila hamil, suami anda pasti tidak berkira kerana apa yang anda beli adalah untuk kemudahan kalian berdua dan bayi yang bakal dilahirkan juga.

Tinggalkan Komen