Jika bayi ada masalah kulit jangan bertangguh untuk memberikan rawatan awal kerana akan menjadi punca kepada masalah penyakit kulit yang serius.

Terdapat pelbagai gangguan masalah kulit pada bayi yang berlaku di fasa awal selepas kelahiran mereka. Sebahagiannya adalah mungkin perkara biasa dan dikategorikan sebagai bukan penyakit.

Namun sebahagiannya pula mungkin membawa tanda-tanda awal penyakit kulit serius yang tertentu.

Berikut adalah antara 7 masalah kulit yang biasa berlaku kepada bayi dan cara mengatasinya:

1 – Alahan Kulit

Alahan atau alergi kulit berlaku disebabkan oleh masalah imun pada tubuh bayi. Ia mungkin sama ada petanda biasa di awal kelahiran atau lazimnya diwarisi secara genetik untuk jangka masa panjang.

Alahan menjadikan bayi menjadi sangat sensitif terhadap sentuhan, makanan, debu, persekitaran dan tindakbalas terhadap bahan tertentu.

Akibatnya, muncul tanda ruam kemerah-merahan, iritasi dan kegatalan pada kulit. Jika sangat serius ia boleh mencetuskan masalah ekzema kulit yang kronik.

Setiap bayi mungkin menghadapi masalah dan jenis alergi yang berbeza. Oleh itu, pemeriksaan dan nasihat doktor untuk langkah rawatan dan memahami masalah alergi terhadap bayi adalah sangat penting sebagai persediaan awal dan langkah pengawalan.

Bagi masalah kulit yang ringan akibat alahan, sapuan  krim atau tertentu pada kulit mungkin boleh membantu. Disamping itu, berikan susu ibu untuk membantu meningkatkan ketahanan bayi anda secara dalaman.

Jangan Bertangguh Jika Bayi Ada Masalah Kulit. Mungkin Boleh Jadi Penyebab Penyakit Kulit Serius

2 – Ekzema

Ekzema adalah masalah kulit agak serius dan mendatangkan kesan jangka panjang kepada bayi. Ia boleh muncul buat pertama kali pada bayi sehingga sebelum usia 2 tahun dan mungkin berlaku berulang-ulang dalam tempoh tertentu.

Ekzema merujuk kepada kondisi kulit kering dan gatal dengan gejala kulit timbul kemerah-merahan, bengkak, merekah dan kadangkala mengandungi cecair atau berdarah.

Ekzema kulit pada bayi sering muncul di kawasan muka, tangan, leher, siku dan belakang lutut. Ia disebabkan oleh masalah ketahanan kulit bayi menghalang infeksi, alergi dan sensitif terhadap sentuhan.

IKLAN

Rawatan penyakit ekzema memerlukan pemerhatian dan nasihat dari doktor pakar kulit.

Krim atau losyen tertentu boleh membantu mengatasi ekzema kulit bayi jenis ringan. Ia juga boleh membantu mengurangan kesan iritasi kulit supaya bayi lebih rasa tenang dan kurang menggaru.

3 – Jerawat bayi

Jerawat kecil sering muncul pada kulit bayi di kawasan pipi, hidung dan dahi.

Ia adalah petanda biasa dan sementara yang hadir di peringkat awal selepas kelahirannya. Kemudian ia akan hilang kebiasaannya dalam masa beberapa minggu atau bulan berikutnya.

Mencuci kulit muka bayi dengan air dan pelembab kulit (khas untuk bayi) boleh membantu mengurangkan masalah ini. Elakkan sebarang penggunaan ubat jerawat!

Jika masalah berlanjutan terlalu lama atau semakin teruk, mungkin khidmat nasihat perubatan diperlukan.

4 – Milia

Hampir separuh daripada bayi yang baru lahir mengalami tanda bintik-bintik putih kecil (1 ~ 2mm) yang muncul sekitar hidung, dagu, atas mulut dan pipi. Ia disebut MILIA atau White Spot.

Milia adalah perkara biasa yang berlaku kepada bayi seawal satu hingga dua hari atau lebih selepas kelahiran. Ia tidak mendatangkan gangguan serius pada bayi dan akan hilang dalam masa beberapa minggu sahaja.

IKLAN

Cucian biasa semasa memandikan bayi sudah memadai untuk kebersihan kulit bayi. Jangan gosok muka bayi anda atau gunakan scrub mahupun krim pembersih muka kepadanya!

Jangan Bertangguh Jika Bayi Ada Masalah Kulit. Mungkin Boleh Jadi Penyebab Penyakit Kulit Serius

5 – Ruam Panas

Ruam panas juga disebut sebagai miliria dari segi perubatan. Ruam panas mudah berlaku akibat persekitaran yang rimas dan panas terutamanya dalam suhu cuaca panas-lembap.

Ia hadir dengan tanda serangan bintik-tintik merah terang disekitar leher, bawah ketiak, celah peha, lipatan siku dan lipatan kaki.

Kehadirannya menyebabkan kerengsaan, pedih dan kegatalan kepada bayi. Bayi juga boleh mengalami kesan strok haba, suhu badan meningkat dan masalah hidrasi tubuh jika komplikasi semakin serius.

Letakkan bayi di persekitaran sejuk, tanggalkan bajunya atau pakaikan dengan baju dari kapas dengan pengudaraan yang baik serta kerap mandikan bayi boleh membantu penyejukan tubuh bayi dan mengelakkan ruam panas menjadi lebih teruk.

Penggunaan losyen atau krim sapu tertentu juga boleh mengurangkan kesan ruam panas pada kulit bayi.

IKLAN

6 – Ruam Lampin

Pemakaian diaper atau lampin pakai buang adalah pilihan biasa untuk bayi. Sesetengah ibu bapa pula menggunakan lampin yang boleh dibasuh semula, gaya moden atau lama.

Namun penggunaan keduanya tetap boleh mencetuskan masalah ruam lampin pada bayi. Ia adalah perkara biasa berlaku kepada bayi antara umur 9 hingga 12 bulan.

Kulit punggung bayi kelihatan radang atau kemerah-merahan selepas pemakaian lampin pada jangkamasa waktu tertentu. Biasanya mudah berlaku jika ia lambat ditukar, dipakai terlalu lama atau diaper yang kurang berkualiti.

Jika kesan ini muncul, krim sapuan lembut boleh membantu mengurangkan masalah iritasi atau kegatalan.

Usah dibiarkan ruam lampin menjadi terlalu serius; jaga kebersihan dan kesihatan kulit bayi itu lebih penting. Tukar jenis diaper jika perlu.

7 – Kulit Kepala Bersisik

Ia sering muncul di kawasan kulit kepala bayi berbentuk kerak kecil, bersisik, berkeruping, mengelupas, kekuningan dan berminyak.

Kadang-kadang ia juga muncul di sekitar telinga muka dan leher.

Ia juga petanda biasa yang di awal minggu atau 3 bulan selepas kelahiran bayi. Tanda ini akan hilang tanpa perlukan sebarang rawatan khusus dalam masa beberapa minggu atau bulan.

Untuk mengurangkan kesan kulit kepala bersisik, boleh cuci rambut dan kulit kepala bayi dengan syampu kepala khas untuk bayi. Selepas mandi boleh juga sapukan minyak pelembap kulit khas untuk bayi (baby oil) atau minyak zaitun untuk elakkan kulit kering dan mengelupas.

Kebiasannya tanda kulit kepala bersisik ini tidak mendatangkan kegatalan dan gangguan serius pada bayi. Namun, jika berpanjangan dan kesannya menjadi semakin buruk seperti bengkak, kemerah-merahan dan gatal; bayi mungkin perlukan pemeriksaan dan rawatan doktor.

Sumber: yourfabulousmama

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI