Kebanyakan ibu takut nak bergerak selepas bersalin secara pembedahan caesarean. Tahukah anda ia boleh meningkatkan risiko kehadiran darah beku secara tiba-tiba di dalam saluran darah ke paru-paru yang boleh menyebabkan maut!

Kita kerap kali mendengar kematian wanita selepas bersalin akibat sesak nafas. Sesak nafas, mungkin asbab kematian yang kelihatan umum tetapi ia berkemungkinan besar disebabkan oleh Pulmonary Embolism atau ringkasnya disebut PE. Ia sepatutnya diberikan perhatian serius di kalangan ibu selepas bersalin!

Jangan Takut Bergerak Lepas Bersalin Caesarean. Pulmonary Embolism Selalu Terjadi Kepada ‘Ibu Manja’!

SALAH SATU PUNCA KEMATIAN WANITA SELEPAS BERSALIN

Menurut Dr Dharmini Veerakumaran, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pulmonary embolism ialah keadaan di mana kehadiran darah beku secara tiba-tiba di dalam saluran darah ke paru-paru. Ia merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian wanita hamil dan selepas bersalin iaitu dalam masa kira-kira enam minggu selepas bersalin. Selain darah tinggi dan tumpah darah, PE ialah antara penyumbang tertinggi kematian wanita selepas bersalin di Malaysia.

Darah wanita hamil adalah lebih pekat daripada biasa. Pembesaran bayi dalam akan menekan saluran darah utama yang terdapat pada badan ibu menyebabkan aliran darah menjadi kurang lancar. Ini akan menyebabkan darah beku akan terbentuk di saluran darah pada betis (deep vein thrombosis). Selain itu, terdapat juga beberapa sebab lain seperti melahirkan melalui pembedahan juga boleh menyebabkan darah beku terbentuk kerana kurangnya pergerakan selepas bersalin.

Jangan Takut Bergerak Lepas Bersalin Caesarean. Pulmonary Embolism Selalu Terjadi Kepada ‘Ibu Manja’!

IBU MANJA

Menurut Dr Dharmini, kurangnya pergerakan selepas bersalin digelar keadaan ‘ibu manja’ terjadi kerana ibu terlalu takut untuk bergerak kerana bimbang luka bersalin akan sakit dan sebagainya walhal perbuatan mereka sebenarnya meningkatkan risiko terjadinya pulmonary embolism.

“Apabila darah beku berkumpul pada bahagian betis, si ibu akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan berasa sakit pada betis ketika berjalan. Gejala ini perlu diberi rawatan awal. Jika tidak, darah beku pada dalam saluran darah dibahagian kaki si ibu boleh ‘dislodge’ dan bergerak bila-bila masa dan menyangkut di saluran darah yang halus di paru-paru. Ini boleh menyebabkan saluran darah di dalam paru-paru tersumbat akibat darah beku ini yang dipanggil pulmonary embolism dan boleh menyebabkan kematian secara tiba- tiba,” kata Dr Dharmini.

Jangan Takut Bergerak Lepas Bersalin Caesarean. Pulmonary Embolism Selalu Terjadi Kepada ‘Ibu Manja’!

12 KEADAAN IBU MENINGKATKAN RISIKO PULMONARY EMBOLISM

Hampir semua ibu yang hamil dan bersalin mempunyai risiko untuk mendapat penyakit pulmonary embolism kerana darah ketika ini lebih pekat daripada kebiasaannya. Namun begitu, risiko anda untuk mendapat pulmonary embolism semasa dan selepas bersalin menjadi lebih tinggi sekiranya anda mempunyai keadaan ini;

  1. Ibu mempunyai berat badan melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2.
  2. Bersalin menerusi pembedahan
  3. Ibu berumur lebih daripada 35 tahun.
  4. Ibu yang melahirkan kandungan kembar.
  5. Mengalami masalah air ketuban banyak atau polihidramnios.
  6. Ibu yang mengalami dehidrasi atau kurang air dalam badan.
  7. Ibu yang pernah mendapat penyakit darah beku sebelum dan semasa mengandung atau pada kandungan terdahulu.
  8. Tumpah darah semasa bersalin (melebihi satu liter).
  9. Mendapat transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin.
  10. Penyakit yang menyebabkan darah menjadi likat seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome.
  11. Ibu melalui pembedahan semasa mengandung atau selepas bersalin seperti pembedahan appendisitis, pembedahan untuk patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
  12. Ibu hidap penyakit pra eklampsia (darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein) semasa hamil dan berterusan selepas bersalin.

Jangan Takut Bergerak Lepas Bersalin Caesarean. Pulmonary Embolism Selalu Terjadi Kepada ‘Ibu Manja’!

KENALI SIMPTOM AWAL

Menyedari bahaya pulmonary embolism dan keupayaannya meragut nyawa, para ibu yang dalam tempoh   minggu pertama selepas bersalin terutamanya sekali yang berisiko tinggi perlu berwaspada dan peka tanda-tanda awal pulmonary embolism. Antara simptom awal adalah seperti berikut;

  • Kembang atau bengkak kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya sebelah kaki kiri)
  • Sukar untuk bernafas.
  • Sakit dada.
  • Batuk berdarah.
  • Denyutan nadi yang sangat laju.

Sekiranya anda mempunyai simptom ini, segera dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan. Doktor yang merawat biasanya akan menjalankan pemeriksaan kepada anda untuk melihat sama-ada anda berisiko tinggi atau tidak untuk mendapat pulmonary embolism. Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin perlu dilakukan segera.

Jangan Takut Bergerak Lepas Bersalin Caesarean. Pulmonary Embolism Selalu Terjadi Kepada ‘Ibu Manja’!

BAGAIMANA PULMONARY EMBOLISM BOLEH DIELAKKAN?

Kebanyakan mangsa yang mengalami pulmonary embolism maut sebelum sempat sampai ke hospital. Oleh itu, rujuklah kepada doktor dengan segera terutamanya jika ada mengalami simptom awal. Sekiranya  anda tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, anda boleh berusaha untuk mengelakkan pulmonary embolism melalui beberapa langkah.

  1. Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi.
  2. Aktif bergerak dan berjalan. Jangan hanya berbaring di katil dan jauhi sifat ‘ibu manja’ yang takut atau malas untuk bergerak!
  3. Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stokin (stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki) pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh.
  4. Suntikan ubat suntikan pencair darah sekiranya dirasakan perlu.

Jangan Takut Bergerak Lepas Bersalin Caesarean. Pulmonary Embolism Selalu Terjadi Kepada ‘Ibu Manja’!

Menurut Dr Dharmini, amalan pantang tradisional yang dilakukan secara sederhana seperti bertungku, bertuam, berdiang, berurut dan mandi air suam semasa dalam pantang amat membantu untuk mengelakkan terjadinya darah beku pada ibu. Walau pun ia baik, ibu perlu mengelakkan ia dilakukan pada bahagian luka caesarean bagi mengelakkan jangkitan kuman dan luka lambat sembuh.

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI