Hari ini berapa ramai ayah kenal siapa Luqman Al-Hakim? Berapa ramai daripada kita menjadikan al-Quran sebagai panduan mendidik anak-anak? Dalam membesar kan anak-anak di zaman digital, ibu ayah kena menjadi individu yangkuat berhadapan dengan cabaran kecanggihan gajet.

Tingkah laku anak-anak yang menguji kesabaran ibu ayah, kesibukan ibu ayah dengan kerja dan rutin harian yang tak pernah habis menjadikan tugas membesarkan anak-anak di zaman teknologi ini sangat mencabar serta membimbangkan.

Sebenarnya penyelesaian paling mujarab untuk menjadi benteng paling kuat melindungi anak-anak daripada pengaruh jahat di zaman digital ini adalah didikan agama serta menjadikan al-Quran sebagai pendamping paling erat. Di dalam al-Quran terkandung panduan menjalani kehidupan di dunia.

Kita patut jadikan perkongsian yang ditulis oleh seorang guru dari Indonesia, Rizka Amalia sebagai panduan berguna mendidik anak-anak soleh dan solehah.

Keluarga Qurani

Keluarga Qurani boleh menjadi penyelesaian menghadapi pengaruh globalisasi. Apa yang dimaksudkan keluarga Qurani dan apa pula globalisasi itu? Mengapa penting untuk melakukannya?

Keluarga Qurani bermakna keluarga yang belajar al-Quran dan mengamalkan nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran. Al-Quran adalah kitab suci yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai 3 aspek penting dalam kehidupan manusia. Al-Quran tersebut merupakan transformasi dari 3 perkara, antara lain: nasihat, uswatun chasanah, dan doa. Begitu banyak dijumpai ketiga hal tersebut dalam al-Quran.

Sebagai contoh, di dalam al-Quran terdapat contoh nasihat yang patut diteladani oleh kita semua, iaitu nasihat yang dilakukan seorang ayah kepada anaknya. Khusus mengenai hal ini,  bukan satu hal yang aneh bila dalam al-Quran tak dijumpai kisah seorang ibu yang menasihati anaknya.

Apa yang banyak dikisahkan dalam al-Quran, ayahlah yang sering melakukan dialog dengan anaknya.

Seorang ayahlah yang suka menasihati anaknya. Hal tersebut menunjukkan betapa pentingnya peranan seorang ayah dalam keluarga.

Nasihat Luqman Al-Hakim Yang Luar Biasa

Luqman, adalah seorang ayah yang disebut kisahnya dalam al-Quran. Luqman bukanlah seorang nabi atau rasul. Namun, namanya diabadikan dalam al-Quran kerana nasihatnya yang luar biasa. Cara Luqman menasihati anaknya  patut dicontohi oleh keluarga di masa sekarang.

Perhatikan bagaimana cara Luqman menasihati anaknya. Beliau mengawalnya dengan menyebut anaknya dengan panggilan yang terbaik, sebuah panggilan yang akan membuat hati seorang anak menjadi lembut. Luqman memanggil anaknya dengan, “Wahai anakku sayang.” (baca QS. Luqman)

Dalam hal ini tak ada perkataan atau nada suara yang akan membuatkan hati seorang anak menjadi terguris. Anak akan merasa diri mereka berharga di hati keluarganya. Setelah itu, Luqman melanjutkan nasihatnya dengan mengatakan ‘jangan’ di awal kalimat kepada anaknya.

Bila dibandingkan dengan teori dari barat ia sangat bertentangan. Akan tetapi dalam Islam yang bersumberkan dari al-Quran, kata-kata ‘jangan’ selalu muncul dalam ayat-ayat al-Quran yang bermaksud nasihat. Tentu saja ini tak menghairankan kerana bila hendak menasihati seseorang, kita harus tegas dalam memberitahunya. Bila suatu perkara itu salah maka katakanlah salah, dan sebaliknya.

Contoh Teladan Untuk Kehidupan

Selain itu, dalam al-Quran juga terdapat uswatun chasanah (teladan yang baik) dan sebaik-baik teladan adalah Rasulullah SAW. Banyak sekali dikisahkan dalam al-Quran tentang Rasulullah. Salah satunya adalah bagaimana kisah Rasulullah dalam berdakwah menyebarkan  Islam dan menghadapi segala ujian.

Terakhir, dalam al-Quran mengandungi pelbagai doa untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Segala macam doa ada di dalamnya. Mulai dari doa yang berkaitan dengan urusan peribadi hingga cara terbaik menguruskan bangsa dan negara. Antara doa yang mesti diamalkan oleh keluarga adalah doa Nabi Ibrahim yang sangat baik untuk dicontohi iaitu doanya untuk keluarganya (QS. Ibrahim: 35-41). Nabi Ibrahim selalu menyebut keluarganya dalam doa.

Berdasarkan semua itu akan lengkaplah sebuah keluarga jika dapat memahami kewajipan sebagai seorang mukmin terhadap al-Quran. Amalkan 6 perkara ini bila menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan.

(1) Mengimani atau meyakini al-Quran

(2) Membacanya

(3) Merenungkan/mentadabburinya

(4) Mengamalkannya

(5) Mendakwahkannya

(6) Menghafalnya

Jom kita amalkan keenam perkara tersebut di dalam keluarga kita!

Tinggalkan Komen