Kekerapan tengking dan marah anak kecil rupanya boleh mematikan sel otak yang sedang berkembang terutama pada tahap umur emas iaitu 2- 3 tahun.
Bagi ibu-ibu terutama yang bergelar suri rumah, melayan anak kerenah anak adalah tugas 24 jam sehari. Tipu kalau boleh tahan sabar selama tempoh tersebut dengan pelbagai ragam dan kerenah anak apatah lagi kalau lebih dari seorang anak.
Kadang-kadang boleh buat ibu mudah hilang sabar sampaikan anak asyik kena marah sahaja. Memang kasihan dengan anak kecil yang belum faham apa-apa tapi bila hati sudah marah memang sukar nak kawal.
Pelbagai cara dah cuba dibuat untuk mengelakkan daripada marahkan anak tapi kadang-kala terlepas juga. Apa kata ibu ayah semua ambil tahu apakah kesan negatif yang anak kita dapat apabila kerap diherdik dan dimarahi seperti dikongsi oleh seorang ibu, UmmuAyyash dalam blognya.
Tahukah ibu-ibu bahawa di dalam kepala setiap anak terdapat lebih dari 10 trilion sel otak yang tumbuh. Satu tengkingan marah atau makian mampu membunuh lebih dari sejuta sel otak ketika itu juga.
Satu cubitan atau pukulan mampu membunuh lebih dari 10 juta sel otak ketika itu juga. Sebaliknya 1 pujian atau pelukan akan membina kecerdasan lebih dari 10 trilion sel otak ketika itu juga.
Herdikan boleh matikan sel otak anak
IKLAN
Hasil penelitian Dr Lise Eliot, Profesor di Department of Neuroscience at the Chicago Medical School pada anak yang masih dalam perkembangan otaknya iaitu pada tahap umur emas atau golden age (2-3 tahun pertama kehidupan), suara tengkingan dan herdikan yang keluar dari ibu bapa dapat mematikan sel otak yang sedang berkembang. Ketika ibu memberikan belaian lembut sambil menyusukan anak, rangkaian otak terbentuk elok.
Penelitian Dr Lise Eliot ini dilakukan sendiri pada anaknya dengan memasang kabel perakam otak yang dihubungkan dengan sebuah monitor komputer sehingga dapat melihat setiap perubahan yang terjadi dalam perkembangan otak anaknya.
“Hasilnya sangat luar biasa. Ketika ibu menyusukan anak akan terbentuk rangkaian indah, namun ketika dia terkejut dimarahi, rangkaian indah menggelembung seperti belon lalu pecah dan terjadi perubahan warna. Ini baru dengar satu herdikan,”ujarnya.
Anak mudah stres
IKLAN
Dari hasil penelitian ini, jelas kesan marah terhadap anak kecil sangat mempengaruhi perkembangan otak mereka. “Maka, kita harus berhati-hati apabila memarahi anak,” Bukan hanya itu, ia juga mengganggu fungsi organ penting dalam badan seperti hati, jantung dan lain-lain.
Tengkingan dan herdikan menghasilkan gelombang suara. Ketika herdikan yang disertai emosi seperti marah menghasilkan suatu gelombang baru merosakkan sel otak anak kecil. Kesan kerosakan pada sel-sel otak akan lebih besar pada anak kecil yang dijadikan sasaran kemarahan ini seperti penderaan. Kesan pada anak remaja dan orang dewasa tidak seteruk pada anak kecil.
Kesan jangka panjangnya dapat dilihat pada orang yang sering mengalami tengkingan pada usia kecil.
IKLAN
* Mereka lebih pasif serta lambat dalam memahami sesuatu.
* Cenderung terikut emosi negatif seperti marah, panik atau sedih.
* Mereka biasanya mengalami stres hingga tertekan dalam hidup. Semuanya akibat dari sel-sel otaknya kurang aktif dari yang sepatutunya.
Oleh sebab itu sebagai ibu ayah, pendidik atau pun orang dewasa yang mendidik dan membesarkan anak kecil, sebaiknya pilihlah untuk bersikap lebih kreatif dalam menghadapi tingkah laku si kecil yang nakal. Belajarlah untuk menyesuaikan arahan dan didikan mengikut tahap umur anak. Elakkan daripada terlalu kerap memarahi dan menengking mereka.
Sumber: ummuayyash.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kepercayaan mengatakan budak belum tumbuh gigi jangan guna sikat rambut, nanti gigi anak jadi jarang itu karut! Anak baru 4 tahun elok tekankan penjagaan gigi dahulu sebelum risaukan susunan gigi yang jarang. Ikuti penjelasan pegawai pergigian ini.
Perkara berkaitan dengan gigi anak, ada sesetengah ibu bapa tidak ambil kisah dan ada juga yang amat menitikberatkanya. Kesedaran awal membawa anak ke klinik gigi untuk mendapatkan pemeriksaan gigi memang baik dan elok dilakukan sejak awal lagi.
Menurut Dr Iqbal Rosali, Pegawai Pergigian, Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia ada ibu bapa yang risau tentang gigi susu anak mereka yang jarang. Ini adalah perkongsian beliau mengenai perkara tersebut;
Haritu ada ibu datang buat pemeriksaan gigi. Selesai semuanya, dia ambil masa sedikit untuk mengadu tentang anaknya. Dia beritahu gigi anaknya jarang-jarang. Gigi itu tumbuh seketul-seketul. Dia kata tak cantik.
Minta pandangan saya ada tak rawatan untuk kes macam tu. Dia tanya juga sesuai tak buat braces untuk rapatkan gigi.
Saya jawablah braces boleh digunakan untuk rawatan gigi jarang. Jika jarang-jarang cuma pada gigi depan, boleh buat veneer. Sejenis rawatan ala-ala gigi palsu untuk tutup jarak antara gigi. Tak perlu ikat dan gerakkan gigi macam braces.
ANAK BARU BERUMUR 4 TAHUN
Ibu pun bertanyalah macam-macam tentang dua rawatan yang saya sebutkan tadi. Banyak dan panjang juga soalan si ibu. Yang mana lebih sesuai, yang mana sesuai untuk umur berapa.
Chup!
Umur berapa?
Terus lupa nak tanya tentang ini. “Puan, umur anak puan berapa?”
“4 tahun.”
“Puan, kalau baru 4 tahun, gigi susu je ni, puan bimbang apa?”
“Gigi dia tak cantik. Saya risau kalau dah tumbuh gigi kekal nanti pun akan jarang macam ni juga.”
DOKTOR TERANGKAN SUSUNAN GIGI SUSU
Ibu-ibu, ayah-ayah,
Saya faham kebimbangan begini. Tapi tidak perlulah bimbang sebegini awal.
Pertama,
Gigi susu jarang-jarang begitu kerana saiz gigi susu ini kecil sahaja. Tidak berubah saiznya. Sedangkan tulang rahang mulut anak itu membesar. Makin besar anak memang akan nampak jarang pada gigi susu.
Kedua,
Gigi susu ada 20 batang. Gigi kekal paling kurang akan ada 28 batang. Saiz gigi kekal juga lebih besar. Ruang antara gigi susu, dan rahang yang membesar adalah untuk persediaan untuk gigi kekal tumbuh.
Ketiga,
Pakar Orthodontik mencadangkan untuk mendapatkan konsultasi tentang susunan gigi bila anak umur 7 tahun. Masa ini gigi geraham dah mula tumbuh. Gigi kacip (orang awam panggil kapak) juga akan mula tumbuh menggantikan gigi susu. Jadi kalau umur 4 tahun tak ada nak bimbang pasal susunan gigi kekal ni.
Keempat,
Gigi anak kecil kita ni memang tak cantik susunannya. Ada gigi nak tumbuh, ada gigi nak tanggal. Sebab tu penting mak bapa tahu bila gigi susu tanggal, bila gigi kekal keluar.
Kelima,
Kebimbangan ibu itu bagus. Tapi pada umur 4 tahun macam tu, adalah lebih baik pentingkan dulu penjagaan kebersihan gigi. Jangan bagi rosak. Ajar anak gosok gigi dengan betul. Itu sepatutnya. Susunan gigi ni nanti-nantilah duk bimbangnya.
Apa yang penting, dapatkan pemeriksaan gigi berkala untuk si anak sejak tumbuh dua batang gigi susu. Biasakan anak dengan klinik gigi, dengan doktor gigi.
Walaupun gigi tak rosak, tak ada mengadu sakit, bawa sahaja. Kita periksa. Kalau semua okay, anak happy, mak bapa pun happy.
Apabila melangkah sahaja ke alam keibubapaan, anda pasti tahu setiap dilema yang dihadapi ibu bapa; daripada pemilihan susu, sekolah, makanan dan pelbagai lagi keputusan yang perlu dibuat. Membuat keputusan mengenai si kecil anda bukanlah mudah, apatah lagi jika keputusan tersebut mungkin memberi kesan jangka masa panjang untuk mereka.
Dengan kemuculan penggunaan gajet atau alat elektronik yang kini ditargetkan untuk kanak-kanak, mungkin akan timbul pula persoalan sama ada ia akan memudaratkan atau tidak.
Apa kata pakar?
Terlalu banyak masa skrin bermakna kurang masa dihabiskan kanak-kanak menjadi aktif, yang boleh memudaratkan perkembangan kemahiran mereka. Garis panduan American Academy of Pediatrics sebelum ini adalah jelas dan tegas. Dilarang sama sekali untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun, dan hadkan kepada kurang daripada dua jam sehari untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 18 tahun.
Tetapi tak usahlah kita menipu diri sendiri, kebiasaan remaja bawah 18 tahun mengahabiskan masa berjam-jam dengan gajet sementara si kecil anda yang berusia 2 tahun mungkin lebih mahir menekan butang ‘play’ pada youtube berbanding diri anda sendiri. Bahkan mungkin ada ibu bapa yang mengatakan “Saya dulu sewaktu kecil pun tengok kartun 5 jam di hujung minggu,” dan merasakan mereka membesar dengan baik tanpa masalah perkembangan.
Jadi, garis panduan apa yang sepatutnya diikuti? Sebagai permulaan, anda bukanlah satu-satunya orang yang mendapati topik ini mengelirukan. Perdebatan tentang kanak-kanak dan teknologi masih menjalani penelitian dan penyelidikan oleh ahli akademik dan pembuat dasar. Sebagai contoh, United Kingdom telah mengumpulkan bukti bertulis dan lisan daripada pakar untuk menyelesaikan pertanyaan parlimen mengenai kesan media sosial dan masa skrin pada kesejahteraan kanak-kanak yang sehingga kini masih berterusan dan belum mencapai kata putus.
Salah satu masalah dengan garis panduan tentang masa skrin, menurut pakar, adalah masalah bahawa masa skrin itu sendiri adalah konsep yang tidak jelas. Walaupun kita mudah untuk melabelkan semua masa skrin sebagai sama, sebenarnya ia tidak. Masa skrin adalah konsep yang mencakupi pendedahan kepada skrin pelbagai alat elektronik, dari televisyen ke telefon pintar dan gajet lain, dengan atau tanpa internet.
Jelasnya, 10 perbualan video tidak akan mempunyai kesan yang sama seperti menonton 10 minit video dalam talian atau 10 minit yang dihabiskan untuk media sosial. Disebabkan itu, garis panduan American Academy of Pediatrics yang dikemaskini pada tahun 2016 mencerminkan aturan yang sangat longgar yang harus diubahsuai oleh ibu bapa sendiri:
Bagi kanak-kanak di bawah umur 18 bulan, masa skrin harus dihadkan kepada perbualan video sahaja
Kanak-kanak 18-24 bulan hanya boleh didedahkan kepada media berkualiti tinggi, dengan ibu bapa menonton bersama untuk membantu mereka memahami dan berinteraksi dengan bahan tontonan
Kanak-kanak 2-5 tahun harus dihadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti tinggi. Ibu bapa juga harus mengawasi bersama mereka untuk membantu mereka berinteraksi
Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke atas harus mempunyai had masa skin yang ditetapkan secara konsisten, dengan ibu bapa memastikan bahawa media digital tidak mengambil masa tidur, aktiviti fizikal atau interaksi peribadi sebenar
Garis panduan berikut mungkin lebih longgar dan mencerminkan keperluan ibu bapa menetapkan had mereka sendiri. Mengetahui beberapa parameter boleh membantu anda membuat keputusan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:
Berhubung atau terlebih berhubung?
Membenarkan telefon pintar ke dalam kehidupan anak-anak anda bermakna rumah tidak lagi menjadi tempat selamat daripada semua perkara yang berlaku dalam lingkungan sosial mereka. Buli siber adalah ancaman yang kerap berlaku bagi kanak-kanak dan remaja bersekolah. Membenarkan telefon pintar boleh bermakna membenarkan pembuli dibawa ke rumah.
Anda juga harus mempertimbangkan jika masa skrin mempengaruhi perkembangan personaliti anak anda. Adakah media sosial memberi kepuasan peribadi kepada anak-anak anda dengan jumlah ‘like’ dan pengikut yang mereka miliki? Adakah ia menjejaskan keinginan mereka untuk membina persahabatan yang sebenar diluar talian?
Semua ini perlu dipertimbangkan dengan menetapkan masa bebas gajet bersama-sama, seperti waktu makan malam atau dalam kenderaan, serta lokasi khusus bebas gajet di rumah, seperti bilik tidur. Anda juga harus berkomunikasi berterusan tentang etika netizen dan keselamatan dalam talian, termasuklah melayan orang lain dengan hormat dalam dan luar talian. Selain ancaman dibuli, anak anda sendiri berpotensi menjadi pembuli.
Kandungan, pengawasan dan interaksi bersama
30% daripada internet adalah pornografi dan pemangsa seksual mungkin bersembunyi di tempat yang tidak anda sangka seperti permainan video. Selain itu, imej badan yang sempurna, kulit sempurna dan pakaian berjenama yang digambarkan dalam talian juga boleh menjadi toksik kepada anak gadis anda yang semakin membesar.
Disebabkan itu, kandungan yang anda benarkan dalam hidup anak anda lebih penting berbanding menentukan masa skrin itu sendiri. Bahkan masa skrin pasif boleh ditukar menjadi aktif dengan permainan video yang mempromosikan aktiviti seperti menari dan bersenam. Dalam kajian membandingkan penggunaan tenaga sewaktu masa skrin, penggunaan tenaga meningkat lebih daripada dua kali ganda apabila masa skrin pasif ditukar kepada masa skrin aktif.
Tetapi kandungan sahaja tidak mencukupi, perkembangan kanak-kanak memerlukan interaksi, disebabkan itu, penekanan pada interaksi bersama digariskan dalam panduan tersebut. Dalam satu kajian, bayi berusia sembilan bulan yang menerima beberapa jam pengajaran bahasa Mandarin dari manusia hidup boleh mengasingkan unsur fonetik tertentu bahasa tersebut sementara pengajaran video yang sama tidak dapat memberikan hasil yang sama.
Oleh itu, menonton bersama anda membolehkan anda menyediakan interaksi manusia secara langsung yang mereka perlukan. Sementara bagi kanak-kanak yang lebih besar, ia membolehkan anda mengawasi mereka daripada ketagihan imej lucah dan yang ancaman lain.
Fokus pada apa yang kita tahu
Selain melaksanakan pengawasan yang munasabah dari segi masa skrin, anda juga patut memberi tumpuankepada apa yang telah kita ketahui mengenai tip keibubapaan yang baik. The British cohort adalah kajian dalam masa 70 tahun yang membabitkan 70,000 kanak-kanak sejak tahun 1946 yang mengkaji corak keibubapaan dan kesannya. Ia adalah satu-satunya kajian komprehensif di dunia mengenai topik tersebut.
Tip keibubapaan yang baik sebenarnya sangat mudah dan kita sebagai ibu bapa seringkali terlupa akibat disibukkan dengan pelbagai perdebatan keibubapaan. Dalam kajian tersebut, perkara-perkara yang paling memberi kesan keapda perkembangan anak kecil ialah:
Bercakap dan mendengar pandangan mereka
Menunjukkan dengan jelas bahawa anda mempunyai cita-cita untuk masa depan mereka
Menunjukkan kemesraan
Mengajar mereka huruf dan nombor
Membawa mereka keluar berjalan
Membaca buku untuk mereka pada setiap hari (dan menggalakkan mereka membaca sebagai hobi)
Menetapkan waktu tidur harian
Sekarang setelah anda diberikan garis panduan mengenai cara menjadi ibu bapa yang baik, tanya diri anda jika masa skrin menjejaskan perkara berikut. 90% kajian mengenai masa skrin dan tidur dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekolah mendapati bahawa masa skrin dikaitkan dengan tempoh tidur yang lebih pendek.
Oleh itu, sekiranya masa skrin menjejaskan tip keibubapaan yang disebutkan itu, betulkan dengan sewajarnya. Anak remaja anda mungkin perlu dinasihatkan untuk menghadkan atau mengurangkan pendedahan masa skrin, terutamanya sebelum atau semasa waktu tidur untuk mengurangkan sebarang kesan berbahaya.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa ibu bapa zaman moden sebenarnya mempunyai lebih banyak masa dengan anak-anak mereka berbanding zaman dahulu disebabkan pengurangan waktu kerja. Tetapi penglibatan antara ibu bapa dan anak-anak kini menjadi kurang berkesan, disebabkan ibu bapa sendiri kurang memberikan kemesraan kerana terikat dengan telefon pintar kita sendiri. Dan barangkali keinginan kita untuk mengawal masa skrin anak-anak adalah cerminan rasa ketidakupayaan kita dalam mengawal masa skrin kita sendiri. Oleh itu, sebelum mula melaksanakan peraturan pada masa skrin anak-anak, mulakanlah dengan diri anda sendiri.