Bergaduh adik beradik memang menjadi  kebiasaan. Kalau dalam tempoh masa sehari tidak bergaduh sesama mereka, memang tak sah! Ada- ada yang tidak kena.

Kaunselor ini kongsi peranan ibu hadapi pergaduhan anak-anak, bukan menjadi hakim tentukan siapa yang salah.

Menurut Puan Farhan Salleh, seorang kaunselor dan juga ibu kepada dua anak, pergaduhan antara anak hanyalah gaduh-gaduh sayang. Berikut ialah perkongsian beliau;

GADUH GADUH SAYANG

Ada orang kata semakin lama kita menjadi ibu atau ayah, kita akan jadi semakin matang. Semakin bertambah anak semakin kita tahu bagaimana mengurus anak anak. Namun hakikanya bertambahnya bilangan anak anak di dalam rumah akan menyebabkan bertambahnya cabaran.

Saya teringat dahulu ketika anak hanya seorang saya hanya berdepan dengan kerenah Aufa sahaja, namun bila dia dah ada adik semakin banyak kerenah yang saya perlu tempuhi dan hadapi.

TERIMA ADUAN

Bukanlah namanya adik beradik kalau tidak bergaduh dalam sehari. Kita dahulu pun sama kan? Ada sahaja perasan tak puas hati sesama adik beradik.Pengalaman saya sendiri, dalam sehari tidak sah sekiranya tidak ada bunyi ini.

“Ibu!!! Tengok adik ni”

“Ibu, adik kacau kakak menulis”

“Ibu…adik gigit kakak”

Adakalanya Si adik datang pada saya dengan bekas gigitan di tangan dan menangis tersedu sedu tanda mengadu. Si kakak pula menjeling tajam

“Bukan kakak buat, adik dulu koyak kertas kakak”

Phewww. Berpeluh kita menerima aduan setiap hari. Kalau boleh dicatat berjela jela aduan dalam sehari. Itulah lumrah adik beradik kan. Bagaimanapun, kita sebagai ibu bapa haruslah bijak menghadapi situasi seperti ini.

TINDAKAN

Dalam situasi yang saya ceritakan di atas, biasanya apa tindakan yang kita buat?

Mungkin ada yang terus marah pada anak yang lebih besar

Mungkin ada yang bagi sepit ketam aka cubit kepada kedua dua anak yang terlibat

Mungkin juga ada tidak memberi apa apa respon dan membiarkan sahaja segalanya selesai sendiri.

Sejak kedua dua anak saya membesar, saya belajar cara yang lebih bijak untuk membantu mereka apabila mereka bergaduh. Sebenarnya, bila anak anak bergaduh dan kita mahu menyelesaikan isu pergaduhan itu, jangan hanya fokuskan kepada misi menghentikan pergaduhan.

Sebaliknya, dalam masa yang sama kita harus memastikan anak anak kita dapat menjaga hubungan sesama mereka.

Kuncinya:

Solving issue and at the same time maintaining relationship

JADI ORANG TENGAH, BUKAN SEBAGAI HAKIM

Biasanya bila Aufa dan adiknya bergaduh, saya akan datang sebagai orang tengah atau mediator. Bukan sebagai hakim untuk menentukan siapakah yang betul atau salah. Apabila saya jadi orang tengah, saya tidak akan memihak kepada sesiapa.

Sebaliknya saya akan pegang kedua kedua tangan anak saya dan seorang akan berada di sebelah kiri dan seorang akan berada di sebelah kanan.

Ketika itu, sebenarnya masih sempat lagi mereka menyambung bergaduhan mereka.

Tetapi, sebagai orang tengah saya haruslah SABAR dan TIDAK MENGHUKUM sesiapa pun.

Elakkan menjadi hakim.

BERI MASA BERTENANG

Sebelum memulakan proses menyelesaikan masalah, saya beri mereka masa untuk bertenang dalam 5 minit.Setelah kedua-dua sudah agak reda dan tidak lagi naik kaki dan tangan, saya mula memainkan peranan saya.

Memandangkan hanya si kakak yang boleh bercerita, saya mula mendengar cerita dari pihak kakak.

“Ibu, bukan salah kakak, adik yang buat kakak dulu. Kakak tengah buat kerja, lepas tu dia datang tarik buku kakak”

Panjang lebar aduan kakak

“Ok, lepas adik tarik buku kakak, apa jadi selepas itu?”

“Kakak tolak lah dia, dia pun jatuhlah. Tapi bukan salah kakak!”

(Masih lagi mahu menang)

“Ok, faham, maknanya adik kacau kakak, lepas tu kakak tolak dia sebab marah?”

“Yelah, adik buat kakak dulu, bukan kakak, kakak tak kacau pun dia”

“Ok, kakak, ibu tahu kakak tak suka adik kacau, tapi kakak tolak dia sampai jatuh tu bagus tak?”

“Tak…”

Balas Aufa perlahan

PELUK ANAK, PASTIKAN MINTA MAAF & SALING BERPELUKAN

Biasanya ketika ini, saya akan peluk kedua dua mereka. Saat ini biasanya kedua duanya sudah semakin tenang.

Langkah seterusnya yang saya ambil adalah, memastikan kedua duanya meminta maaf dengan penuh perasaan dan kesedaran. Bukan memaksa mereka untuk meminta maaf, tetapi saya ajar mereka.

“Ok adik, sekarang minta maaf kakak. Adik ambil tangan kakak. Aminnn kakak”

“Ok, kakak pula minta maaf pada adik”

Oleh kerana kakak sudah besar, saya biasanya akan ajar dia meminta maaf dengan cara yang lebih berkesan. Biasanya ayat yang saya ajarkan kepada Aufa begini

“Adik, kakak minta maaf sebab……(tolak adik)”

“Lain kali kakak tak nak buat dah”

“Sayang adik”

Selepas si adik bersalam, saya akan menyuruh kedua kedua peluk antara satu sama lain.

Maka selesai lah 1 babak drama dalam rumah saya.

PISAHKAN SEKETIKA KALAU TIDAK MAHU MENGALAH

Harus saya ingatkan proses di atas bukanlah 1 penyelsaian magic. Adakalanya anak tetap akan keras dan tidak mahu mengalah.  Kalau saya, biasanya saya akan pisahkan mereka seketika apabila kedua keduanya tidak mahu beralah. Biasanya saya akan dukung si adik bawa dia ke tempat lain sementara kedua duanya bertenang. Tetapi, pada kebiasaanya saya akan gunakan jalan penyelesaian seperti dibawah.

Kalau perhatikan cara saya di atas itu banyak melibatkan si kakak kerana anak saya yang sulung berumur 5 tahun dan adiknya baru sahaja setahun setengah. Jadi, sekiranya anak tuan dan puan sekalian kedua duanya berumur 3 tahun lebih dan ke atas kedua duanya harus dilibatkan dalam setiap langkah yang saya ceritakan.

Contohnya, dalam proses bercerita tentang apa yang terjadi, sekiranya kedua dua sudah mencecah usia 3 tahun lebih dan sudah pandai bercerita.  Maka dengarlah cerita dari kedua dua belah pihak.

  1. Ketika anak anak anak bercerita tentang apa sebenarnya yang berlaku jangan menyampuk atau mencelah. Dengar sahaja dengan penuh minat.
  2. Ibu dan ayah jangan sesekali menyebelahi atau menyalahkan mana mana pihak yang terlibat.
  3. Cuba untuk memahami perasaan anak anak kita dan jangan merendah rendahkan mana mana pihak.
  4. Elakkan kekerasan ketika menyelesaikan masalah pergaduhan anak anak kerana cara kita itu akan digunakan semula apabila mereka bergaduh.

RINGKASAN

  1. Harus ingat dalam menyelesaikan pergaduhan anak anak jangan lupa, dalam masa yang sama kita harus maintain hubungan mereka.
  2. Ibu dan ayah bukan hakim untuk tentukan siapa bersalah tetapi jadi lah orang tengah yang tidak menyebelahi mana mana pihak
  3. Orang tengah itu harus sabar dan tenang. Bukan menghukum
  4. Adakan tempoh bertenang sebelum mula menyelesaikan masalah anak bergaduh
  5. Dengar dengan penuh perhatian cerita dari mulut anak anak
  6. Rasionalkan pemikiran mereka tanpa menyalah kan mana mana pihak. (Betul tak tindakan kakak tolak adik tadi?)
  7. Ajar anak anak meminta maaf dari hati dan tanpa paksaan
  8. Peluk

Apa yang penting, mereka harus faham bahawa kedua dua nya menyumbang kepada pergaduhan itu.Walaupun ada 1 pihak yang memulakan, tetapi kedua duanya tetap menyumbang kepada pergaduhan itu. Jadi kedua keduanya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan pergaduhan antara mereka.

Pergaduhan adik beradik itu lumrah yang kita sebagai ibu ayah perlu hadapi setiap hari. Cuma akhirnya terpulang bagaimana kita melatih anak dalam menghadapi setiap masalah itu agar mereka membesar menjadi insan yang tahu untuk menyelesaikan masalah dengan baik tanpa perlu menggunakan kekerasan dan kekasaran.

Anak anak kita, gaduh gaduh pun mereka tetap sayang antara satu sama lain. Kadang kadang saya terharu juga melihat anak anak sendiri. Siang bergaduh, tetapi bila malam sebelum tidur masing masing bergurau manja seolah olah tidak pernah bergaduh. Bila tiada pula masing masing rindu menyebut di mulut. Itulah gaduh gaduh sayang. Bila tiada terbayang-bayang.

Sumber: Puan Farhan

Tinggalkan Komen