Mama dan papa yang bakal menimang cahaya mata sulung, pasti teruja nak membeli barang keperluan dan kelengkapan bayi yang bakal lahir. Ada yang menunggu sehingga usia kehamilan cukup 7 bulan, baru mahu mulakan misi mencari barang bayi. Tidak kurang juga yang membeli sedikit demi sedikit sejak daripada awal.

Bagi mama dan papa jenis suka menyimpan daripada awal kehamilan, pasti sudah siap sedia mengasingkan wang khusus untuk bayi setiap bulan bukan? Jadi, di saat-saat akhir tak adalah terasa beban menanggung pertambahan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan.

Baiklah, di sini disertakan panduan dan tip yang boleh anda berdua guna pakai dalam membeli barang keperluan si manja.

  1. Ekspo bayi dan ibu hamil

Selain daripada iklan di akhbar, radio, televisyen, laman sosial di Facebook, Instagram atau Tweeter; anda boleh dapatkan maklumat berkenaan ekspo bayi dan ibu hamil menerusi carian di Google.

Antara barangan yang kerap menjadi rebutan di ekspo seperti ini ialah lampin pakai buang kerana ia lebih murah berbanding harga pasaran biasa. Tambahan pula pembelian anda akan disertai bersama hadiah istimewa daripada pempamer.

Antara lain, boleh dikatakan semua keperluan yang anda perlu miliki boleh didapayi di sini. Pakaian ibu hamil, pakaian bayi, produk berpantang, katil, stroller malah insurans untuk si kecil pun boleh didapatkan di ekspo bayi dan ibu hamil.

Anda tidak perlu pergi ke banyak kedai. Satu lokasi meliputi semua barangan jualan. Sebab itulah anda wajib pergi ke ekspo-ekspo sebegini!

  1. Waktu sesuai membeli-belah

Awal trimester ketiga adalah waktu paling sesuai untuk anda membeli-belah. Lazimnya, pada usia kandungan seperti ini, anda sudahpun dapat mengenalpasti jantina bayi dalam kandungan. Dengan itu, ia memudahkan diri anda untuk memilih keperluan yang bersesuaian dengan jantinanya.

Tambahan pula, ketika ini anda belum benar-benar sarat. Jadi, masih punya kekuatan untuk berjalan ke sana-sini demi mendapatkan barangan keperluan bayi. Bagi anda yang lebih gemar membeli-belah secara online, tentu sahaja ia lebih mudah dan menjimatkan masa.

  1. Banyakkan pakaian bersaiz besar

Saiz bayi selepas dilahirkan tidak dijangka. Mungkin dia bersaiz besar. Mungkin juga bersaiz kecil. Jadi, baju yang anda patut belikan kepadanya digalakkan bersaiz 0 – 3 bulan. Sebaik-baiknya jangan beli pakaian bersaiz bayi baru lahir.

Tambahan pula, bayi memang cepat membesar. Kalau dibeli pakaian bersaiz kecil, tidak semena-mena anda perlu membeli pakaian yang lain pula dalam masa yang singkat. Selain daripada itu, anda tidak perlu membeli terlalu banyak pakaian bayi kerana mungkin ahli keluarga atau kawan-kawan rapat anda menghadiahkan bayi set pakaian.

  1. Lampin bercorak

Masa kini, para ibu gemar menggunakan lampin pakai buang untuk bayi. Walaupun begitu, kain lampin masih perlu dibeli. Selain boleh dijadikan lampin, kain jenis ini juga boleh dijadikan sebagai kain bedung, tuala ataupun selimut!.

Oleh yang demikian belilah beberapa helai kain lampin. Jika mahu anda boleh dapatkan kain lampin bercorak yang lebih menarik pandangan.

  1. Utamakan barangan terpakai

Jika anda kurang berkemampuan, tidak usah membazir wang dengan membeli stroller ar seat, baby carrier, baby chair dan katil yang mencecah harga ribuan ringgit. Anda boleh dapatkan barangan second-hand. Sudah pasti harganya lebih murah. Namun anda perlu lebih teliti dengan barangan tersebut. Pastikan ia masih elok dan dapat berfungsi dengan baik.

Perlu anda ketahui bahawa kadang-kadang bayi tidak suka duduk di dalam stroller atau car seat. Mungkin tidak selesa dengannya ataupun mahu berdamping dengan ibu bapanya. Sama juga halnya dengan baby carrier, baby chair dan katil.

Sebagai langkah permulaan, disarankan untuk gunakan barang terpakai terlebih dahulu. Bila anak sudah biasa dan serasi dengan penggunaan produk tersebut, barulah anda pertimbangkan untuk membeli produk yang baru.

Tinggalkan Komen