Lepas bersalin, ibu digalakkan mengamalkan mandi air rebusan daun herba kerana ada banyak kebaikan kepada tubuh badan. Mengikut pantang larang tradisional, ibu lepas bersalin tidak digalakkan mandi air paip biasa yang sejuk kerana bimbang boleh memudaratkan diri.

Ibu amat digalakkan untuk mandi air rebusan dedaun yang hangat kerana ia membantu menyegarkan kembali tubuh badan yang letih dan lesu selepas melahirkan bayi. Selain itu mandian ini juga membantu ibu menjaga kebersihan badan dan menghilangkan bau badan yang kerap berpeluh.

Mandian rebusan herba yang menggunakan pelbagai bahan dan daun-daun herba terpilih yang tinggi khasiatnya sememangnya bagus diamalkan oleh ibu dalam berpantang.

Antara kebaikan bagi yang mengamalkan mandian rebusan dedaun ketika berpantang adalah:

1. Menyegarkan kembali badan

Bau-bauan segar pelbagai daun herba yang digunakan seperti serai, daun limau purut, daun pandan, daun kunyit berfungsi seperti aromaterapi yang mampu memberi kesegaran dan ketenangan kepada ibu yang letih, lesu dan kurang bertenaga selepas melahirkan bayi. Selain itu ia juga menjadi penenang kepada ibu yang mungkin rasa tertekan kerana kurang tidur menjaga bayi yang menangis di tengah malam.

2. Membuang angin dalam badan

Seperti kita sedia maklum, ibu dalam pantang memang banyak angin dalam badan. Amalan mandi air rebusan daun dan herba yang banyak khasiat ini mampu membuang angin-angin dalam badan yang boleh mengganggu kesihatan ibu.

3. Melancarkan pengaliran darah dan penghasilan susu ibu

Biasanya ibu akan mandi air rebusan ini selepas selesai mengurut seluruh badan. Ia akan lebih membantu melancarkan pengaliran darah dalam badan sekaligus memberikan kesegaran dan dapat menggembirakan ibu. Bila hati gembira maka hormon oksitosin pun akan meningkat dan sekaligus susu ibu akan mengalir dengan lebih lancar.

Ramuan Untuk Membuat Air Rebusan Mandi Dedaun

1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
10 helai daun limau purut
6 batang daun serai bersama serai
Halia muda sebesar 4 kali ibu jari
7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
Seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
Segenggam halba (dipunjutkan)

Cara Menyediakan Air Mandi:

    1. Ambil periuk tanah ukuran sederhana.
    2. Sediakan bahan-bahannya.
    3. Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana.
    4. Masukkan halba yang dipunjutkan.
    5. Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja.
  • Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua.
  • Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari [kaki kanan] dahulu diikuti kaki [kaki kanan] kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri.
  • Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.
  • Daun-daun rebusan tersebut boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit.
  • Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot di samping menghalang air daripada masuk ke dalam badan.

Sumber: Petua Ibu

Tinggalkan Komen