Kenali alat penggendong yang amat bermanfaat untuk menggalakkan bonding antara ibu bapa dan bayi. Ia memberikan keselesaan dan menjaga emosi anak yang dikendong dan umpama “tangan ketiga” buat ibu bapa yang menggunakannya.

Berbanding kereta sorong, bayi yang digendong menggunakan alat penggendong lebih mudah dikendalikan. Lebih-lebih lagi jika anda menyusukan dengan susu ibu. Si anak dapat menyusu dengan tenang kerana emosinya adalah lebih stabil apabila berada dekat dengan anda sepanjang masa dia digendong. Malah, keyakinan diri anda sendiri pun dapat dipertingkatkan apabila berasa selesa dan terlindung tatkala menyusukan anak tanpa perlu khuatir dengan khalayak ramai.

1.Baby pouch

Ia merupakan alat penggendong yang diperbuat daripada kain yang dijahit khas bersesuaian dengan saiz ibu atau bapa yang bakal menggunakannya. Baby pouch akan membentuk poket yang besar untuk meletakan bayi. Anda boleh memilih sama ada saiz S, M, L atau XL. Saiz ini berdasarkan kepada saiz bahu hingga ke tulang pinggul si ibu atau bapa.

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan alat penggendong jenis ini, adakalanya perlu membeli dua saiz baby pouch terutamanya jika anda dan suami berlainan saiz. Jika tidak, anda dan suami tidak boleh berkongsi baby pouch yang sama, melainkan ia adalah baby pouch boleh laras.

2.Ring sling

Berlainan dengan baby pouch, ring sling dihasilkan daripada kain yang panjang iaitu 68 inci (mengikut kesesuaian pemakai) dan mempunyai ring (gegelang) khas. Penggunaan ring membolehkan ring sling dilaraskan mengikut saiz pemakai. Kebanyakan ring yang terdapat di pasaran telah diuji ketahanannya demi memastikan keselamatan bayi sepanjang ia digunakan. Perlu anda tahu bahawa terdapat dua jenis gegelang yang biasa digunakan iaitu nilon dan aluminium. Sesetengah ring sling dilengkapi dengan span untuk memberikan keselesaan pada ibu dan bayi.

Dalam pada itu, dengan menggunakan ring sling juga, anak anda boleh menggunakannya dalam lima posisi berlainan iaitu berbaring, duduk, kendong di bahagian sisi, kanggaru dan belakang. Kelebihannya, anda dan suami boleh menggunakan ring sling yang sama biarpun berlainan saiz tubuh.

3.Wrap

Alat penggendong jenis ini pula adalah sehelai kain yang panjang yang perlu diikat ke tubuh. Terdapat beberapa cara ikatan yang boleh diguna pakai semasa membawa anak. Wrap boleh dipakai sehingga anak berusia tiga tahun bergantung kepada jenis fabrik yang digunakan. Fabrik lembut dan meregang selalunya digunakan semasa awal kelahiran dan fabrik yang lebih kukuh digunakan apabila anak semakin besar dan berat. Pastikan anda boleh mencium bayi apabila bayi berada dalam wrap, kedudukan badannya tetap (bukan bebuai seperti hammock) dan pastikan bayi bernafas dengan baik.

Menariknya, apabila menggunakan wrap, berat badan diampu secara serata oleh tubuh iaitu bahu kanan dan kiri serta bahagian belakang si pembawanya. Apa yang pasti, wrap juga sesuai untuk digunakan oleh anda yang gemar melakukan aktiviti luar.

4.Soft structured carrier

Alat penggendong moden ini mempunyai pengancing (buckle) khas. Alat ini yang lebih dikenali sebagai SSC sangat mudah diguna pakai. Apatah lagi, ia amat sesuai untuk membantu anda menggendong bayi sejak umurnya empat bulan sehinggalah berat badannya mencecah 17kg.

Sesetengah SSC mempunyai ciri unik seperti mempunyai tempat khas untuk bayi menempatkan kedua-dua belah tapak kakinya, tempat anda menggantung beg tangan serta terdapat selungkup yang boleh digunakan untuk melindungi kepala si manja ketika diperlukan.

5.Mei tai

Mei tai kebiasaannya mempunyai tali untuk tujuan pelarasan. Empat tali yang ada pada mei tai adalah untuk membantu sokongan pada ibu, di mana dua untuk bahu manakala dua lagi untuk bahagian pinggang. Terdapat juga mei tai yang menggunakan buckle untuk memudahkan pengendalian.

6 PERINGATAN SEMASA MEMAKAI ALAT PENGGENDONG

a)Setiap kali sebelum menggunakan alat penggendong, pastikan ia berada dalam keadaan baik. Jika ada kesan koyak atau kemungkinan akan koyak, hentikan penggunaannya.

b)Hati-hati apabila melalui pintu kawasan yang mempunyai sudut atau bucu mahupun bergerak di persekitaran yang tajam atau panas. Kepala atau kaki anak mungkin boleh terdedah kepada bahaya tersebut.

c)Walaupun kedua belah tangan bebas bergerak, anda masih perlu memegang anak dengan sebelah tangan demi keselamatannya.

d)Sentiasa pegang anak anda ketika membongkok atau bergerak dengan cepat agar dia tidak jatuh atau terkeluar daripada alat penggendong.

e)Jangan pakai alat penggendong semasa memandu, menunggang motosikal atau ketika mengendalikan mesin.

f)Pastikan bahagian pinggul bagi disokong oleh penggendong bagi mengelakkan masalah hip dysplasia.

 

 

Tinggalkan Komen