Membeli-belah permainan untuk si kecil memang menyeronokkan. Ada sahaja yang mahu dibeli sehingga terlupa satu aspek penting iaitu keselamatan mainan itu sendiri.

Pernahkah terfikir anak anda boleh mengalami kecederaan mahupun meninggal dunia yang puncanya datang daripada permainan yang dibeli. Niat asal mahu menggembirakannya tetapi dibimbangi ia boleh mengundang kecelakaan buat dirinya pula.

Anda perlu tahu tidak semua mainan adalah sesuai untuk tahap umur kanak-kanak. Berikut adalah perkongsian maklumat yang boleh membantu anda memilih mainan yang selamat untuk anak tersayang.

1. Sesuai ikut peringkat umur

Lazimnya, dalam setiap bungkusan mainan akan dicatatkan tahap iumur yang sesuai menggunakan mainan tersebut. Sudah pasti ia ditetapkan mengikut saranan pengeluar produk yang mahu memastikan keselamatan para penggunanya.

Jadi, jika anak anda belum cukup umur untuk membolehkan dia bermain alat tersebut, elakkan daripada membelinya. Permainan yang tidak mengikut keseuaian usia anak mungkin boleh menyebabkan bahaya kepada anak anda kerana bentuk strukturpembuatannya.

2. Buang pembalut plastik

Sesetengah mainan akan dibalut dengan plastic bagi menjamin kualitinya. Setelah ia dibuka, tiada lagi gunanya. Oleh itu, anda perlu segera buang plastik pembalut tersebut.

Diperhatikan, plastik pembalut sering menjadi mainan tambahan oleh si kecil. Anda perlu sedar dengan risiko lemas disebabkan oleh plastik pembalut mainan anak anda itu.

3. Teliti saiz mainan

Saiz yang sesuai untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah adalah berdiameter lebih dari 3sm dan panjangnya pula melebihi 6sm. Ukuran ini ditetapkan adalah bertujuan  untuk mengelakkan si kecil ini tertelan mainan yang dipegangnya.

Jika alat mainan yang anda mahu beli tidak menyatakan tahap umur, anda boleh menjadikan panduan mengukur yang mudah ini. Mainan untuk anak bawah tiga tahun seharusnya lebih besar dan tidak boleh melepasi gelung tisu tandas.

4. Beri perhatin mainan perlu cas

Anda tidak digalakkan untuk mainan yang perlu dicas menggunakan plug elektrik. Malah permainan yang beroperasi menggunakan bateri pun, perlu diambil perhatian yang sama. Dibimbangi anak membuka ruang tempat bateri diletakkan lalu boleh meningkatkan risiko keracunan akibat tergigit atau termakan bateri.

Seperti yang anda tahu, bateri mengandungi zink iaitu sejenis logam berat. Kesan akibat termakan zink boleh melambatkan proses tumbesaran anak. Malah, ada kes yang lebih serius hingga menyebabkan kanser dan maut juga.

5. Bebas bahan bertoksik

Perhatikan label permainan. Pastikan ia bebas daripada bahan toksik. Hal ini perlu dititikberatkan terutamanya apabila anda mahu membelikan maian untuk anak di bawah umur satu tahun.

Biasanya mainan si kecil ini dalam lingkungan umur ini akan mempunyai label Bebas Toksik. Kanak-kanak di usia ini memang cenderung memasukkan apa sahaja benda yang menarik perhatiannya ke dalam mulut. Jadi berhati-hatilah dalam memilih mainan untuknya.

6. Awasi risiko tercekik

Pastikan permainan yang mempunyai tali, reben, wayar dan seumpama dengannya tidak diletakkan berhampiran tempat tidur anak. Mainan sebegini mengundang risiko anak anda tercekik akibat terbelit dengan tali, reben atau wayarnya.

7. Periksa bahan pewarna

Pastikan keselamatan bahan pewarna yang digunakan dalam pembuatan mainan anak anda. Bayi anda mungkin menggigit atau memasukkan mainan tersebut ke dalam mulut. Selain itu, anda juga perlu pastikan tidak ada sebarang bahagian tajam atau boleh tercabut pada permainan tersebut sebelum diberi kepada anak tersayang.

 

Tinggalkan Komen