Langkah berpantang bagi ibu bersalin caesarean mudah dan tidak seharusnya dilupakan. Ibu Jangan culas untuk melakukan langkah-langkah berpantang ini. Malah ada yang berpendapat ibu bersalin caesarean perlu berpantang lebih daripada ibu bersalin normal.

Bagi berpantang secara moden, ia tidak bermakna meninggalkan langkah-langkah berpantang tradisional. Bersalin secara pembedahan caesarean bukan alasan untuk tidak mengamalkan pantang! Menurut Nur Syatirah Shuib, perawat pantang dan terapis daripada UIS Special Therapy Sdn Bhd, ia diringkaskan cara dan dipermudahkan. Katanya, ibu yang berpantang secara pembedahan ini perlu berpantang lebih daripada mereka yang bersalin secara normal.

1)MINUM AIR HALIA
Sebaik sahaja bersalin, anda digalakkan meminum segelas air halia yang bercampur madu ataupun jus kurma. Ia bertujuan mengelakkan anda daripada terbatuk kerana suhu yang terlalu sejuk di dalam dewan bedah serta membantu mengawal loya akibat angin yang banyak di dalam perut. Selain itu, ia juga bertujuan mengelakkan daripada anda memberi tekanan kepada kawasan pembedahan akibat daripada batuk tersebut. Segelas air halia tidak akan menyebabkan bayi anda kuning. Namun, minuman tinggi gula putih boleh menyebabkan bacaan kuning bayi anda meningkat ke paras tinggi.

2)SAPU MINYAK HERBA
Selepas itu, ibu tersebut juga perlu disapukan dengan minyak herba seluruh badan bagi menghangatkan kembali tubuh ibu setelah sekian lama di dalam dewan pembedahan. Kawasan yang wajib dilebihkan minyak herba ialah di kawasan atas perut dan kawasan bius. Ia bertujuan membantu mengeluarkan lebihan angin dan membantu merawat saraf. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan ibu mudah menggigil kesejukan dan mudah dimasuki angin. Petua bidan lama menyarankan meminum madu dan menyapu madu pada kawasan luka kerana madu bersifat antiseptik dan membantu penyembuhan luka dalaman dan juga luaran.

3)CARA BERBENGKUNG KHAS
Ibu bersalin secara pembedahan sangat takut untuk bergerak. Maka, cara paling mudah untuk menampung perut ialah dengan memakai bengkung dengan kaedah yang betul. Ada dua kaedah yang boleh digunakan sebaik sahaja bersalin;

1.Menggunakan ‘strap-on- binder’. Anda perlu menyapu minyak herba dahulu di perut dan pinggang sebelum memakai bengkung bagi membantu pengeluaran angin panas daripada perut dan melawaskan pengeluaran darah kotor seperti darah bantal dan darah bayam bersama darah nifas. Selepas dua minggu luka jahitan sudah pulih, maka anda boleh menggunakan bengkung bertali yang panjang hingga ke paha agar hujung kain bengkung tidak menekan luka jahitan. Ini adalah pendapat Datin Anisah Barakbah.

2.Pendapat kedua daripada rakan perbidanan Nur Syatirah iaitu Puan Nor Asmah Bt Mohammad. Katanya sebelum memakai bengkung bertali, ibu hendaklah melapis bahagian luka pembedahan menggunakan tuala wanita agar luka tersebut cepat kering. Kemudian, barulah memakai bengkung bertali setelah disapu minyak herba di kawasan perut. Labuh bengkung hendaklah melepasi paha agar tidak memberi tekanan kepada bahagian luka jahitan.

Pada pandangan saya pula, pendapat kedua lebih baik kerana lemak di atas luka pembedahan akan memberi tekanan kepada bahagian luka dan menyebabkan jahitan terbuka. Ibu-ibu sekarang terpaksa ulang-alik ke klinik sebaik selepas bersalin adalah disyorkan berbengkung yang memberi sokongan kepada otot perut dan rahim. Namun begitu, jika anda tiada pembantu, boleh usahakan memakai ‘strap-on-binder’.

4)DISIPLIN MEMAKAN HERBA
Perkara yang paling penting bagi ibu bersalin secara pembedahan ialah hendaklah disiplin memakan herba setiap hari selama minimum enam bulan selepas bersalin. Bagi ibu yang tersalah makan, jika mereka bersalin secara normal, risiko terbesar adalah bayi mudah kembung perut jika mereka menyusukan bayi. Namun, bagi mereka yang bersalin secara pembedahan, risiko untuk kebas-kebas dan kesejukan adalah tinggi.

5)MANDI HERBA SEHINGGA NIFAS KERING
Selain itu, pastikan anda meneruskan mandi herba selagi darah nifas masih lagi mengalir keluar. Ibu yang bersalin secara pembedahan juga hendaklah bertungku. Tungku tidak semestinya di perut. Bertungku di tapak kaki, kawasan pinggang dan punggung. Namun, sebaik-baiknya bertungku seluruh badan kecuali di kawasan luka pembedahan dengan bantuan terapis terlatih.

 

Tinggalkan Komen